Thursday, November 19, 2015

Kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi...

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
***

PEMIMPIN terus 'berkokok'. Mereka 'berkokok' mendakwa membuat pelbagai perancangan dan projek untuk kesenangan dan kesejahteraan rakyat. 

Mereka 'berkokokkan' janji manis, kononnya rakyat akan mendapat faedah daripada perancangan penuh berwawasan mereka; hakikatnya kehidupan orang awam sekarang ini berterusan ditekan - mutakhirnya ini tol lebuh raya dan tambang pengangkutan awam dinaikkan pada kadar melampau!

Cendekiawan mengungkapkan bahawa ayam jantan, sifatnya berlagak, ego dan sentiasa menunjuk gagah, lebih-lebih lagi jika hendak memikat si ayam betina! Dengan bulunya yang berwarna warni, dengan megah dan gagah ia akan berkokok ke serata alam. Namun, demikian gagah, megah dan cantiknya si ayam jantan, ekornya meleret dan ada kalanya 'menyapu' tahi yang diberaknya sendiri.

Pemimpin ramai yang berlagak, bijak bermain bahasa. Percakapannya (kokokan) begitu hebat, berdegar-degar mempamerkan kebaikan namun bukanlah lidah itu tidak bertulang, menyebabkan kebanyakannya 'cakap tidak serupa bikin'. Itulah sebabnya di akhirat nanti, mulut manusia dikunci, yang akan menjadi saksi kepada perbuatan mereka adalah anggota tubuh seperti mata, telinga, kaki dan tangan.

Satu pengajaran penting janganlah lagi kita menilai pemimpin (juga orang lain) berdasarkan percakapannya. Ternyata pada 'zaman fitnah' ini cakap manusia banyak yang bohong daripada benar. Malah penyanyi Jay Jay daripada Kumpulan Carefree ada mengingatkan sikap temberang manusia ini melalui lagunya 'Rindu Bayangan' - "Oooh... inilah ragam manusia, manis di bibir, pandai bermain lidah, berputar-putar membelitkan kata-kata..."

Pemimpin sekarang ini lebih banyak bercakap bohong daripada benar. Mereka terutama daripada komponen parti pemerintah sering mendakwa (berkokok), "we are the best in the world" (kita yang terbaik di dunia) namun hakikatnya mereka 'fail' (gagal) dalam banyak perkara. Kes 'derma' RM2.6 bilion pun tak dapat diselesaikan 'misterinya', jadi bagaimana mahu mengaku kita "the best in the world?"

Sekarang ini jelas pemimpin Umno BN gagal menyekat kenaikan kadar tol, harga barangan keperluan manakala duit rakyat banyak dihabiskan untuk melakukan 'bailout' kerugian yang dibuat kerajaan dan kroninya, misalnya, dalam kes Bank Bumiputera yang membabitkan kerugian RM10.4 bilion, Perwaja Steel (RM10 bilion), Konsortium Perkapalan (RM1.7 bilion) dan LRT Putra dan Star (RM6 bilion). Senarainya begitu panjang, menggambarkan begitu dahsyatnya pemimpin pecah amanah ini. Ya, apa kesudahan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan kewangan berpuluh-puluh bilion ringgit itu?

Pemimpin 'kuat berkokok' ini dikhuatiri ada kaitan dengan sifat-sifat munafik - apabila bercakap berbohong, apabila berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah, pecah amanah. Bohong, dusta, pecah amanah seolah-olah sudah menjadi biasa, dan orang (pemimpin) tidak lagi malu melakukannya. Apabila malu (sebahagian daripada iman) hilang, maka hilanglah segala-galanya. 

Akan jadilah manusia itu tidak bermaruah, menjalankan kerja berdasarkan nafsu syaitannya sehingga tidak sedar kejahatan diri sendiri serta anggota keluarga seperti isteri yang bagaikan 'tahi sudah bergelumang di ekor ayam jantan'!

Pemimpin 'auta' dan kaki kelentong ini 'berkokok berdegar-degar'. Minta rakyat berjimat cermatlah (termasuk bangun awal pagi ke tempat kerja) selepas kenaikan harga minyak, tol dan tambang, tetapi diri sendiri dan anak bini kaki joli, boros - menghabiskan harta negara.  Minta rakyat beramanahlah, sedangkan ada antara mereka khianat, melarikan wang berkarung-karung ke luar negara. Minta rakyat cintakan bahasa kebangsaanlah, sedangkan mereka menghancurkannya, menjayakan sesuatu projek untuk mengisi kantung sendiri dan kroni-kroni. 

Pemimpin jenis tak tahu malu ini meminta rakyat bersikap patriotik, tetapi apabila berlaku jerebu, mereka hantar anak bini ke 'oversea', bercuti di LA dan Australia. Anak-anak juga ke hantar belajar di luar negara, tidak payah mengikuti sukatan pelajaran di tanah air yang tiada 'standard' ini. 

Selepas rakyat nampak kemunafikan pemimpin-pemimpin ini yang bagaikan 'ayam jantan berkokok berdegar-degar tapi ekor bergelumang tahi ini', apakah mereka mahu terus dipilih memimpin kita? Tepuk dada, tanya selera...

No comments: