Monday, November 23, 2015

Bauksit: Orang Barat sayang negara mereka, kita?

****************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)

*************

TERKEJUT besar saya melihat jalan raya, bangunan dan rumah diselaputi debu kemerah-merahan sebaik keluar dari Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menuju Indera Mahkota dan Kuantan baru-baru ini.

Di jalan raya, lori termasuk treler, kebanyakannya diselaputi debu dan tanah kemerah-merahan membawa muatan tanah dipercayai mengandungi bauksit, bergerak bersama-sama kenderaan lain yang ada daripadanya juga berdebu.

Bangunan kedai dan rumah di sisi jalan berdebu merah; ringkasnya bahagian bandar Kuantan di kawasan ini mengalami pencemaran teruk akibat perlombongan bauksit. Antara kawasan perlombongan bauksit terbabit adalah di Felda Bukit Goh, Felda Bukit Kuantan dan Felda Bukit Sagu. 

Amat menghairankan kawasan bandar 'dibiarkan punah' akibat kegiatan memburu kekayaan dunia ini. Malah ketika memandu di jalan raya menuju Indera Mahkota, dapat dilihat aktiviti melombong bauksit (jengkaut mengangkut tanah untuk dimasukkan ke dalam lori) berlaku berhampiran rumah penduduk dan bangunan kedai.

'Kemusnahan alam' sedang berlaku dengan hebatnya di depan mata kita (di bandar besar seperti Kuantan dan bukannya dalam hutan yang tersembunyi daripada mata orang awam), persoalannya apakah "kita terutama pihak berkuasa sudah buta mata dan pekak telinga?" 

Baru-baru ini penduduk negara kita termasuk pemimpinnya kecut perut apabila negara dilanda jerebu yang tidak reda berminggu-minggu lamanya. Kebanyakan orang menuding jari kepada pihak penyebab kebakaran hutan di Indonesia yang didakwa sebagai punca jerebu. Mereka dituduh tidak peka dalam pemuliharaan alam sekitar - kononnya mereka adalah pemusnah alam sekitar dalam mengaut keuntungan semaksimum mungkin.

Subhanallah, sekarang ini berlaku pemusnahan alam sekitar dalam skala paling dahsyat 'di depan mata semua orang' iaitu di Kuantan; persoalannya tidak ada pihakkah berani menegur? Jawapannya ada, tetapi semuanya bagaikan menjirus air ke daun keladi. Misalnya, ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh sudah meminta kerajaan Umno-BN menggantung serta-merta lesen pengeksportan bauksit demi keselamatan penduduk yang menderita teruk akibat kegiatan itu, tetapi pihak berkenaan tetap 'memekakkan telinga'.

MP Indera Mahkota, Fauzi Abdul Rahman juga sudah menyuarakan kebimbangannya kerana semakin ramai penduduk mengalami tahap kesihatan buruk antaranya kerana menyedut debu kotor sepanjang masa manakala alam sekitar kawasan terbabit seperti sungai, tumbuh-tumbuhan, kehidupan air dan ternakan teruk terjejas.

Kenapa teguran-teguran ini tidak diambil peduli? Sebahagiannya mungkin kerana pihak-pihak terbabit 'hati mereka sudah menjadi keras' - keuntungan dunia yang menjadi sebahagian daripada nafsu jahat manusia sudah menguasai mereka. Mereka tidak lagi mengenal kebenaran lantas tidak peduli derita orang lain...penduduk mahu matikah, itu persoalan mereka. Apa yang penting aku mahu hidup dulu, kini dan selamanya.

Mereka yang menutup pintu hati (hati keras) daripada kebenaran inilah adalah sejahat-jahat manusia. Kemelut demi kemelut yang melanda negara sebahagiannya adalah disebabkan oleh orang berkuasa terutama pemimpinnya yang sudah keras hati, tidak dapat menerima kebenaran. Hati mereka sudah beku, Mereka pekakkan telinga kepada teguran, mereka fikir mereka saja betul. Mereka mahu kaut keuntungan kononnya bagi menjamin 'tujuh keturunan mereka tak habis makan'!

Di negara kita, gunung, rimba, sungai, lembah dan paya banyak sudah punah. Kalau kita naik kapal terbang dan berpeluang melihat ke bawah ketika pesawat mahu berlepas atau mendarat, kita akan dapati banyak kawasan sudah digondolkan (botak) tetapi jika kita melakukan hal sama di sebahagian besar negara Barat kita akan dapati bumi mereka terpelihara. Orang Barat tidak sesuka hati menggondolkan bukit dan hutan di negara mereka seperti apa yang kita lakukan.

Orang Barat sayangkan negara dan mereka buktikannya dengan sedaya upaya tidak merosakkan alam sekitarnya tetapi kita yang tak habis-habis mendakwa mencintai negara ini begitu rakus 'membotak' dan 'memusnahkan' anugerah pemberian Illahi demi memenuhi nafsu jahat masing-masing. Hal ini taklah terkecuali dalam industri pelombongan bauksit!

No comments: