****************************** DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ***************************** Renungan ****************************** "Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) *********************************
MUSIM cuti sekolah pada penghujung tahun akan bermula tidak lama lagi. Tahun baharu 2016 akan menjelma, dinasihatkan kepada ibu bapa bersedia awal terutama dari segi kewangan agar persekolahan anak-anak berjalan lancar.
Berdasarkan Belanjawaan 2016 lalu, bukan semua murid sekolah akan diberi wang bantuan RM100 bagi meringankan beban ibu bapa pada awal persekolahan sebaliknya hanya murid-murid yang penjaga mereka berpendapatan kurang RM3,000 sebulan akan dibantu.
Bagi ibu bapa, kembalinya anak-anak ke sekolah bermakna mereka perlu menyediakan peruntukan kewangan yang bukan sedikit. Sebagai bapa lima orang anak, berdasarkan pengalaman, saya mendapati seorang anak yang bersekolah rendah harian dan sekolah agama rakyat (biasanya pada sebelah petang), persediaan kelengkapan persekolahan seperti pakaian dan beg serta pembelian buku kerja dan tulis serta yuran PIBG boleh meningkat sehingga RM500.
Bagi seorang anak yang bersekolah menengah dan menetap di asrama pula, pembayaran yuran seperti PIBG dan makan boleh meningkat sehingga RM1,000. Apa tidaknya, bagi yuran makan saja seorang pelajar yang ibu bapa mereka berpendapatan lebih RM5,000 sebulan, bayaran bagi sehari adalah RM3; jadi sepanjang tempoh persekolahan yang lebih 200 hari setahun, yuran makan mereka saja sudah mencecah RM600.
Bagi mereka yang baru memasuki atau menyambung pengajian di IPT bagi sesi Januari nanti, peruntukan kewangannya tentu lebih tinggi, yuran pengajian sesetengah universiti awam boleh mencapai RM1,500 satu semester manakala bagi bagi universiti swasta boleh mencecah RM30,000.
Sudah tentu keadaan ini sangat membebankan pelajar dan ibu bapa mereka. Kini pelajar kita mempunyai akses kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tetapi perlu diingat, ia dalam bentuk pinjaman, pelajar dikehendaki membayar balik selepas menamatkan pengajian, sesetengah bekas pelajar begitu terbeban, apatah lagi ada yang masih tidak mendapat pekerjaan setelah bertahun-tahun menamatkan pengajian.
Berhubung beban pendidikan ke atas ibu bapa dan pelajar ini, kita tertarik dengan tawaran gabungan pakatan pembangkang bahawa mereka berupaya melaksanakan dasar pendidikan percuma kepada rakyat. Bagaimanapun, menteri yang bertanggungjawab dalam bidang ini, Idris Jusoh berkata perkara ini 'mustahil' kerana "negara Barat yang mengamalkannya mengenakan cukai pendapatan 50 peratus ke atas rakyatnya."
Kebanyakan negara Barat sudah diiktiraf negara maju, jadi dari segi penyediaan pendidikan negara kita yang dakwa pemimpinnya akan menjadi negara maju pada 2020, perlulah setaraf mereka; oleh itu tidak ada alasan untuk menjadikan pendidikan sebagai percuma di negara ini mulai sekarang apatah lagi mulai 2020! Sekarang ini pun kerajaan dapat menjana pendapatan berpuluh-puluh billion ringgit melalui cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus yang kadar ini boleh dinaikkan oleh mereka pada bila-bila masa.
Bagi menyediakan pendidikan percuma, pengkaji berpendapatan penjimatan seperti penghapusan konsesi tol lebuh raya berupaya menjana sehingga RM5 bilion setiap tahun dapat membantu usaha ke arah itu. Demikian juga dengan penjimatan di bidang lain dan sumber perolehan seperti dana Petronas dan penghapusan ketirisan dan aneka penyelewengan seperti dialami 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Berhubung pendidikan percuma ini, kita berharap ia benar-benar dilaksanakan bukan hanya gah dari segi ungkapan saja. Beberapa tahun lalu diuar-uarkan pendidikan adalah percuma hakikatnya pihak berkuasa hanya memansuhkan yuran persekolahan RM4.50 bagi murid sekolah rendah dan di sekolah menengah dengan bayaran yang lebih sedikit daripada itu.
Tentunya rakyat berharap pendidikan percuma dalam erti kata sebenarnya dan perkara inilah yang ditawarkan oleh pemimpin Pakatan demi kesejahteraan dan masa depan anak bangsa tidak kiralah anak Melayu atau Orang Asal yang tinggal di pedalaman Kelantan, murid Cina dan India yang tinggal di kawasan setinggan KL, anak Iban atau Melanau di Sarawak dan anak orang Kadazan di Sabah.
Anak-anak ini semuanya mendambakan ilmu formal (dari peringkat pra-sekolah sehingga ke universiti) yang sewajarnya ditawarkan secara percuma (maaflah, kenapa agaknya prasarana sekolah-sekolah kita terutama di luar bandar masih agak teruk manakala di bandar besar termasuk KL masih ada sekolah bersesi pagi dan petang); takkan perkara ini tidak boleh dilakukan selepas kita sudah merdeka lebih separuh abad dengan pemimpin kita kerap mendakwa dalam banyak perkara; "kitalah yang terbaik di dunia!"
Kalau pemerintah sekarang ini 'sudah mengalah' menyatakan tidak boleh melakukannya (memberi pendidikan percuma seperti diakui oleh Idris Jusoh), apa kata beri peluang kepada pihak yang berkata "boleh." Ya, Pakatan kata boleh...jadi serahkan tugas ini kepada mereka; kamu yang tidak mampu sila ketepi, beri peluang kepada pihak lain!
No comments:
Post a Comment