Thursday, November 26, 2015

Sabar, sabar, sabar; akhirnya Suu Kyi menang!

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
***

TAHUN 1988 saya dipindahkan daripada Unit Berita ke Unit Luar Negara sebuah akhbar harian nasional. Sejak itu, hampir saban hari saya 'bermandikan' berita-berita luar negara. Antara perkembangan menarik global ketika itu adalah kebangkitan rakyat Burma (kini Myanmar) yang menentang rejim tentera.

Selain menyunting dan menterjemah berita luar negara, saya juga menulis rencana, salah satu daripadanya bertajuk 'Suu Kyi bakal Presiden Myanmar?' Antara lain saya menulis: "Ada pemerhati politik berpendapat, kebangkitan rakyat bagi menjatuhkan kerajaan komunis dan sosialis bermula di Myanmar. Ketika kemuncak tunjuk perasaan rakyat Myanmar pada September 1988, kira-kira 2,000 orang dilaporkan terbunuh.

"Selepas tragedi Myanmar, penentangan rakyat terhadap pemerintahan komunis kemudiannya merebak ke China. Selepas berminggu-minggu mengadakan bantahan di Medan Tiananmen di Beijing, China melaksanakan gerakan menghancurkan tentangan rakyat terutama pelajar dengan menggunakan 'kekuatan kereta kebal'.

"Kira-kira 2,000 orang juga dilaporkan terbunuh dalam tragedi yang menggemparkan dunia Barat itu. Akhir tahun 1989, menyaksikan kebangkitan rakyat negara-negara Eropah Timur untuk melucutkan kuasa monopoli Parti Komunis. Pembaharuan melanda Poland dan kemudian ke Hungary, Jerman Timur, Czechoslovakia, Yugoslavia, Romania dan Bulgaria.

"Natijah kebangkitan semula di Eropah Timur adalah hampir semua kerajaan komunis terpaksa tunduk kepada kemahuan rakyat. Bagaimanapun perkara itu tidak berlaku di Myanmar. Tentera Myanmar yang bertindak pantas berikutan kebangkitan rakyat pada September 1988, segera mengambil alih kuasa dan kemudian bertindak 'menghancurkan' penunjuk perasaan.

"Genap setahun kemudian, Myanmar dikejutkan dengan dengan satu lagi kebangkitan rakyat yang dipelopori oleh seorang tokoh pembangkang berwibawa, Aung San Suu Kyi. Beliau adalah anak tokoh kemerdekaan Myanmar, Aung San."

Ketika menulis rencana ini, saya mencatatkan umur Suu Kyi 44 tahun. Kini lebih 25 tahun sudah berlalu. Ini bermakna umur Suu Kyi lebih kurang 70 tahun. Ketika itu saya berumur 38 tahun, kini saya sudah berumur 53 tahun. Saya sudah berpindah kerja daripada akhbar nasional berkenaan ke sebuah akhbar parti pembangkang dan kini sudah tiga tahun bersara tetapi Suu Kyi masih tetap (istiqamah) menerajui Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) sekalipun beliau ditekan hebat oleh junta tentera Myanmar termasuk dipenjara dan dikenakan tahanan dalam rumah selama 21 tahun! 

Kesabaran Suu Kyi yang cukup tinggi dan lama dilihat berhasil apabila pada pilihan raya Myanmar baru-baru ini parti pimpinan beliau memenangi lebih 90 peratus kerusi yang telah diumumkan di Dewan Rendah Parlimen selain mengatasi pemerintah di Dewan Tinggi dan beberapa dewan undangan negeri.

Suu Kyi di ambang untuk menjadi Presiden baru Myanmar tetapi kesabaran beliau diperlukan lagi kerana pihak tentera pimpinan Jeneral (kini Presiden) Thein Sein masih memegang kuasa dan berkemungkinan besar mewujudkan satu fasal dalam perlembagaan yang melarang wanita bersuamikan warga Inggeris itu (Michael Aris, sudah meninggal dunia) daripada menjadi Presiden dengan alasan anak-anaknya, Alexander dan Kim adalah warga asing (British).

Namun Suu Kyi bertekad menjadi 'pemerintah' Myanmar sekalipun dia bukan Presiden. Difahamkan partinya, NLD akan menamakan Presiden baru dengan Suu Kyi membuat penegasan: "Hal ini tidak akan menghalang saya daripada membuat semua keputusan sebagai ketua parti yang memperolehi kemenangan!"

Sabar, sabar dan terus bersabar adalah kunci kejayaan Su Kyi; demikian juga tokoh-tokoh besar politik dunia lainnya. Seorang lagi tokoh yang menunjukkan sikap sabar, sabar dan sabar lagi sebelum berjaya ke kemuncak kuasa adalah mendiang Nelson Mandela. 

Mandela meringkuk dalam penjara di Pulau Robbins selama 27 tahun sebelum berjaya membawa Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) memenangi pilihan raya pelbagai kaum pertama Afika Selatan pada 1994. Pilihan raya ini mencatatkan sejarah dunia kerana berjaya 'mengebumikan' dasar aparteid buat selama-lamanya sekalipun ada pihak mendakwa ia masih hidup kerana rejim Zionis Israel berterusan mengamalkannya.

Mandela membuktikan beliau seorang negarawan tulen apabila meminta parti pesaing seperti Parti Kebangsaan (National Party) pimpinan FW de Klerk untuk menyertai kerajaan perpaduan malah beliau menerajui Afrika Selatan cuma sepenggal saja (lima tahun). Pada pilihan raya 1999, beliau memberi laluan kepada Thabo Mbeki untuk menjadi presiden baru Afrika Selatan.

Demikianlah betapa kesabaran demi kesabaran adalah antara kunci kejayaan tokoh-tokoh ulung dunia. Kepada pemimpin kita, wajarlah kesabaran tokoh-tokoh seperti Suu Kyi dan Mandela yang dicoretkan untuk difikirkan sejenak dalam kolum ini dapat memberi semangat untuk kita istiqamah dalam perjuangan; ya 'Lawan Tetap Lawan'!

No comments: