****************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)
*************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)
*************
BIASANYA saya ke UKM bagi mengikuti pengajian hari Jumaat dan Sabtu dengan menaiki bas ekspres dari bandar Melaka sebelum subuh hari Jumaat. Jam 5.00 pagi bas itu sudah bertolak dari stesen bas ekspres Melaka (dulunya di tebing Sungai Melaka menghadap pawagam Cathay yang terletak di seberang sungai; Melaka Sentral hanya dibuka pada 2004).
Apabila bas itu lalu di persimpangan bertingkat Bangi/UKM saya meminta pemandu bas berhenti di bawah jambatan. Biasanya kira-kira jam 6.15 pagi. Saya menaiki lereng bukit dan berjalan ke pejabat Plaza Tol Bangi seterusnya solat subuh di sebuah surau di situ.
Kemudian saya berjalan/berjoging ke Masjid UKM. Jaraknya mungkin 2-3 kilometer dan saya memerlukan hampir sejam untuk sampai. Di masjid itu saya mandi-manda, bersarapan dan kemudian bersiap untuk ke kelas jam 9.00 pagi.
Demikianlah 'pengorbanan seorang siswa tua yang kekurangan dana' dalam menyambung pengajian. Selain menaiki bas, ada kalanya saya menunggang motosikal Yamaha Cup. Saya memulakan perjalanan pada petang Khamis. Malamnya menumpang di rumah saudara atau berada dalam masjid.
Menunggang motosikal di lebuh raya meninggalkan satu pengalaman pahit yang tak dapat dilupakan. Suatu petang Sabtu ketika mahu balik ke Melaka, motosikal saya pancit. Lokasinya di tengah-tengah perjalanan antara Plaza Tol Linggi dan Ayer Keroh. Subhanallah, selain berdoa kepada Allah agar bantuan segera sampai, saya tiada pilihan lain kecuali menolak motosikal itu. Naik turun bukit, berbatu-batu jauhnya sehinggalah saya sampai ke Hentian Rehat Ayer Keroh. Sedih saya, tiada siapa mahu membantu!
Terfikir di kotak fikiran saya, mungkin saya tidak menolong orang agaknya, jadi saya pun tidak ditolong. Ya sebelum kejadian itu, ketika memandu di lebuh raya terutama di waktu malam ketika terlihat ada kereta 'tersadai' di tepi lebuh raya (mungkin keretanya rosak), saya tidak pernah berhenti. "Jangan cari pasal," selalu orang rumah mengingatkan, "entah-entah mereka penyamun agaknya. Perompak sekarang ada macam-macam taktik."
Dari Hentian Rehat Ayer Keroh saya keluar dari lebuh raya, menyusuri jalan lama ke pekan Alor Gajah. Jauh juga. Di Alor Gajah barulah saya ketemui sebuah bengkel motosikal. Alhamdulillah, saya dapat meneruskan perjalanan pulang ke Melaka selepas 'menderita' berjam-jam lamanya.
Demikianlah dalam meniti kehidupan, kita akan ketemui susah dan senang. Ada pasangan dalam kehidupan - Nabi Muhammad s.a.w. ada memperingatkan dalam sebuah hadis - jagalah lima sebelum datangnya lima: sihat sebelum sakit, berada sebelum tiada, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan akhir sekali hidup sebelum mati.
Ya, sentiasalah berbuat baik sebelum kita mati. Jika kita tolong orang, insya-Allah jika kita susah, pertolongan akan datang dengan segera. Namun kadang-kala Allah SWT mahu menguji, sabarkah kita dengan ujian?
Berceloteh pasal 'tolong menolong' ini; suatu hari selepas solat subuh, termenung saya memikirkan perlakuan semut yang saya saksikan sendiri di atas permaidani masjid berwarna cerah yang memungkinkan makhluk kecil itu boleh dilihat dengan jelas.
Selesai memberi salam, saya mengangkat kaki dan secara tidak sengaja terkena seekor semut. Binatang itu nyawa-nyawa ikan. Lama semut itu berkeadaan begitu. Kemudian datang seekor semut lain. Saiznya lebih besar sedikit. Kedua-duanya bersentuhan.
Apa yang menakjubkan saya, semut yang baru datang itu bertindak mengangkat dan membawa pergi semut yang cedera parah tadi. Saya amat-amati semut itu bergerak jauh sekali, ia tidak melepaskan 'dukungannya' sama sekali. Bertungkus-lumus ia 'menyelamatkan' semut yang cedera itu yang mungkin tidak dikenalinya sebelum itu. Mungkin kedua-dua semut ini daripada jenis berlainan tetapi masih mahu tolong menolong, kita manusia yang 'berakal sempurna' pula, macam mana?
Terfikir di benak saya; 'dahsyat' sekali perlakuan semut dalam membantu 'makhluk sejenisnya'. Tidakkah boleh kita manusia mengambil iktibar daripada kisah semut ini? Tolonglah siapa saja selagi kita boleh menolong, ini tidak kita nafsu-nafsi saja, macam enau melepaskan pucuk masing-masing.
Nauzubilah, mungkin saya juga bersikap nafsu nafsi juga; sebab itu tiada yang segera menolong apabila motosikal saya pancit...Allah SWT tidak campakkan rasa hati orang untuk menolong saya dengar segera, maka terpaksalah saya menolak motosikal saya sepanjang lebuh raya!
No comments:
Post a Comment