Saturday, March 28, 2015

Dari UKM ke Harakah (8): Bas ekspres bagaikan rumah ketiga...

************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Bahawasanya tiada Tuhan yang patut disembah melainkan hanya Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." (Maksud ayat 87 Surah al-Anbiya)

************

PENGUMUMAN peningkatan tambang bas ekspres sehari dua lalu sebanyak 22.6 peratus berkuat kuasa 15 Mei 2015 (kemudian dilaporkan ditangguhkan) menggembalikan ingatan saya menggunakan pengangkutan itu ketika belajar di UKM dan bekerja di Harakah yang menjangkau waktu hampir 15 tahun.

Tempoh yang lama itu menyaksikan terminal bas (hala selatan) di Kuala Lumpur dipindahkan dari Hentian Puduraya (kini Pudu Sentral) ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) manakala di Melaka dari stesen bas di Jalan Kilang ('off' Jalan Hang Tuah) ke Melaka Sentral di Peringgit. Sungguh banyak kisah dapat dicelotehkan sama ada ketika saya berada di terminal atau semasa perjalanan dari Melaka-KL atau sebaliknya.

Seribu langkah bermula daripada langkah pertama, demikian antara kata-kata hikmah cendekiawan Cina, Konfucius. Ribuan langkah kaki saya sama ada ketika menapak menuju atau meninggalkan terminal bas, di terminal sendiri dan di dalam bas diharapkan mendapat keredaan Illahi dalam kejerihan dan kepenatan saya mencari sesuap rezeki demi anak isteri tercinta, Hakikatnya, tinggal di Melaka dan sama ada belajar di UKM atau bekerja di Harakah, saya telah mengembara beratus-ratus kilometer setiap hari!

Berada dalam bas berjam-jam lamanya menyebabkan pengangkutan awam ini seolah-olah menjadi rumah saya yang ketiga. Pastinya yang pertama adalah rumah sendiri dan kedua pejabat, di mana seseorang pekerja itu menggunakan masa sekurang-kurangnya lapan jam sehari. Masa saya dalam bas ekspres tidak disia-siakan di mana selalunya saya akan merangka kerja hari itu atau membaca dan terus membaca sehinggalah saya tertidur ...

Sepanjang bertahun-tahun 'mengembara dengan bas ekspres', sedarlah saya sungguh ramai orang senasib saya. Dari Melaka, seawal jam 5.00 pagi sudah ada bas ekspres bertolak ke Kuala Lumpur. Kemudian ada bas bertolak jam 5.30 pagi; 6.00 pagi; 6.30 pagi dan 7.00 pagi bagi mengangkut penumpang terutama pekerja yang memulakan tugas jam 8.00 pagi bagi kakitangan kerajaan manakala bagi pekerja di sektor swasta jam 9.00 pagi atau waktu anjal yang lain.

Bas yang bertolak pada satu-satu masa itu bukan sebuah atau daripada satu syarikat saja...bayangkan berapa ramai pekerja diangkut bas jika ada tiga syarikat bas ekspres yang menjalankan perkhidmatan yang sama...demikianlah betapa ramai anak Melaka bekerja di Kuala Lumpur atau di kawasan sekitarnya.

'Pengembaraan' saya menemukan saya dengan pelbagai manusia dan ragam mereka. Di ruangan terhad ini memadailah saya mencelotehkan kisah seorang insan senasib saya, Zul, seorang pengurus di sebuah syarikat swasta di Brickfields. Zul berulang alik dari Melaka-KL enam hari seminggu untuk bekerja bagi menyara sebuah keluarga seramai tujuh orang.

Hari Zul bermula jam 4.30 pagi. Selepas membereskan 'urusan diri', dia menunggang motosikal dari rumahnya di Ayer Keroh ke terminal bas. Dia menaiki bas jam 5.30 pagi ke Kuala Lumpur. Bas itu singgah di kawasan rehat dan rawat Ayer Keroh bagi membolehkan penumpang Muslim solat subuh. Bas biasanya tiba di Puduraya kira-kira jam 7.30 pagi. Zul kemudian menaiki sebuah bas kota ke tempat kerja yang memulakan operasi jam 8.30 pagi.

Waktu kerja Zul berakhir jam 5.30 petang tetapi disebabkan banyak kerja perlu dibereskan dan masalah kesesakan jalan raya, biasanya dia hanya dapat naik bas ekspres pulang ke Melaka jam 7.00 petang. Dia sampai rumah kira-kira jam 9.30 malam. Selepas mandi, makan malam dan berbual-bual ringkas dengan anggota keluarganya, Zul 'masuk tidur' - bersedia untuk memulakan hari keesokannya yang bermula jam 4.00 - 4.30 pagi.

Zul sudah berulang-alik lebih lima tahun. Sekali sekala dia merasakan betapa bosannya cara hidup begini. Bayangkan bangun jam 4.30 pagi setiap hari; menghabiskan masa kira-kira enam jam sehari dalam perjalanan (dalam bas dan pengangkutan lain serta waktu menunggu) namun dia masih dapat bersabar kerana "kerja adalah tanggungjawab saya dalam menyara keluarga." 

Untuk pengangkutan (termasuk bas ekspres, LRT, bas kota dan minyak motosikal) Zul terpaksa memperuntukkan kira-kira RM500 sebulan. Ditambah dengan perbelanjaan makan minum dan keperluan lain seperti akhbar dan majalah, sekurang-kurangnya RM800 daripada wang gajinya habis untuk perjalanan pergi balik kerja.

Demikianlah pengorbanan seorang pekerja yang juga seorang bapa demi menyara anak isteri. Jerih payah rakyat biasa seperti Zul tidak banyak pihak atau orang peduli. Sekarang ini rakyat semakin tertekan. Kos sara hidup terlalu tinggi, tambang pengangkutan awam termasuk bas ekspres berterusan naik. 

Teringat penulis semasa mula-mula kerap menaiki bas ekspres dulu (1994) tambang Melaka-KL kira-kira RM6 saja sekarang sudah lebih RM12. Mungkin tambang baru RM15 dan apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berkuat kuasa mulai 1 April; agak-agaknya RM1,000 sebulan tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan peribadi seorang pekerja untuk berulang alik antara Melaka-KL. Jika perbelanjaan diri sendiri sudah ribuan ringgit apa yang dapat diberikan kepada keluarga?

No comments: