Monday, March 16, 2015

Dari UKM ke Hakarah (6): Harakah sebagai media alternatif No 1...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan 

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)


PADA penghujung semester pertama pengajian Sarjana Komunikasi saya di UKM iaitu pada Julai 1999, saya dikehendaki mengemukakan cadangan (rangka) tesis. Cadangan reka bentuk penyelidikan projek itu saya beri tajuk 'Peranan akhbar alternatif dalam pembangunan masyarakat'.

Projek ini baru cadangan tesis; diterima atau tidak terpulanglah kepada pensyarah. Selepas berulang kali membuat rujukan di Perpustakaan Tun Seri Lanang, siaplah 'kertas kerja cadangan' itu dan di dalamnya antara lain saya menulis: "Kajian ini akan membincangkan peranan Harakah sebagai akhbar alternatif utama dalam pembangunan masyarakat..."

Sudah tentu dalam membicarakan perkara ini saya perlu mencari definisi 'kata kunci' dalam tajuk dipilih; antara perkataan terpenting adalah 'akhbar alternatif''. Jadi apakah sebenarnya akhbar alternatif itu?

Dalam pencarian saya dalam jurnal dan penerbitan-penerbitan lain; ada sejumlah pengertian diberi mengenai 'akhbar alternatif' itu. Antara lain; Chris Atton dalam artikelnya 'A Reassessment of The Alternative Press' dalam jurnal 'Culture & Society (Volume 21, Number 1, January 1999)' menulis bahawa 'Alternatives in Print Media' mengesyorkan tiga kriteria mudah mendefinisikan penerbit alternatif.

Mereka berpendapat bahawa sesebuah penerbit itu boleh dikatakan sebagai penerbit alternatif jika ia memenuhi salah satu syarat ini:

1. Penerbit bukanlah bersifat komersial, mempamerkan keprihatinan asas idea dan bukannya keuntungan sebagai matlamat penerbitannya.

2. Subjek perkara penerbitan mereka sewajarnya memfokus kepada tanggungjawab sosial atau ekspresi kreatif atau biasanya kedua-duanya sekali.

3. Akhir sekali, penerbit mempunyai bukti cukup bagi mendefinisikan dirinya sebagai penerbit alternatif.

'Royal Commission on the Press 1997' dalam laporannya mengenai akhbar alternatif British menegaskan sesebuah penerbitan alternatif mengetengahkan pandangan kumpulan minoriti, menjadi suara kepada golongan berpandangan melampau kepada yang mempunyai pandangan yang sama dengan orang ramai dan mengetengahkan pandangan atau membicarakan perkara yang tidak dibuat liputan oleh akhbar biasa.

Berdasarkan definisi ini jelas sekali dalam masyarakat yang teguh demokrasinya peranan media alternatif diiktiraf sekali gus diberi ruang mengambil peranan sebagai sebahagian sistem masyarakat. 

Tetapi bagaimana 'situasi' atau 'nasib' akhbar alternatif seperti Harakah di negara kita? Nampaknya, bagi menyatakan pandangan berbeza sebagaimana 'ditafsirkan' antara ciri-ciri akhbar alternatif,  'tidak disediakan ruang dan peluang'. Banyak perkembangan dalam negara membuktikan suara golongan minoriti, malah boleh jadi kumpulan majoriti (mereka bersikap mendiamkan diri) tidak diketengahkan oleh media massa yang didakwa sebagai arus perdana.

Sebagai contoh, bantahan dan demonstrasi rakyat berhubung kenaikan harga minyak tidak disiarkan oleh kebanyakan media massa tempatan. Ertinya kumpulan rakyat ini dinafikan hak mereka mendapat tempat dalam media massa arus perdana.

Apabila ini berlaku, adalah penting untuk media alternatif memikul tanggungjawab itu. Malangnya di negara kita yang mendakwa mengamalkan demokrasi, hak media alternatif disekat. Ya, media alternatif kerap juga membawa pandangan kedua; hal ini sangat penting kerana dalam kehidupan, pandangan pertama tidak sentiasa betul. Oleh itu kita perlukan pandangan kedua dan seterusnya. Dalam terjemahan Ayat 6 Surah Hujurat, Allah SWT meminta manusia berwaspada, memeriksa setiap berita yang datang kepada mereka. Berita perlu disahkan kebenarannya, salah satu daripadanya dengan menyemak sumber atau pandangan kedua dan seterusnya.

Pandangan kedua dan seterusnya inilah yang dinamakan pandangan alternatif. Sama seperti pandangan pertama, peranan pandangan alternatif ini amat penting, tidak wajar ia dikesampingkan atau lebih teruk dibunuh. Jika pihak pemerintah atau peneraju media kita tidak membenarkan pandangan kedua dan seterusnya dalam media yang didakwa sebagai 'arus perdana', sewajarnya berilah peluang kepada rakyat 'bereksperimentasi' dengan media alternatif, tetapi realitinya ia tidak begitu kerana akhbar alternatif seperti Harakah yang begitu cepat meningkat edarannya ketika era Reformasi kerap diberi tekanan seperti dirampas dan pada suatu ketika digantung permitnya!

Berdasarkan perkembangan semasa adalah penting untuk masyarakat terutama pemimpin disedarkan kehadiran media massa alternatif yang semakin berkembang dalam masyarakat menjunjung demokrasi. Akuilah bahawa di sesetengah negara maju, media massa alternatif mempunyai tempat dan peranan besar bagi mengetengahkan kehidupan golongan atau kumpulan minoriti tetapi di sini kita membunuhnya! Namun di tengah-tengah 'keserabutan' ini, Harakah dapat berdiri kukuh sebagai akhbar alternatif No 1 negara; jadi syabas diucapkan kepada peneraju dan warga kerjanya!

No comments: