Monday, March 30, 2015

Di sebalik ketenangan Wan Azizah

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

IBU saya berusia lebih 70 tahun. Katanya, dia suka melihat pembawaan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail iaitu Presiden KEADILAN yang sentiasa mempamerkan wajah dan aksi 'cool' (tenang). 

Orang 'setenang' isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tentunya yakin dengan kebenaran suaminya, kalau tak masakan dia boleh 'cool' sebegitu, katanya.

Isteri pasti tak 'cool' jika 'suami buat perangai'. Tak payahlah jika si suami dihadapkan dengan tuduhan-tuduhan dahsyat apatah lagi membabitkan seks atau perbuatan keji lain, apabila suami sebut 'nak tambah cawangan' yang halal pun, silap-silap pinggan mangkok sudah terbang melayang ataupun paling kurang muka si isteri masam mencuka dan diam membatu apabila ditegur atau disapa suami buat sekian lamanya.

Ya, berbicara mengenai isteri yang 'cool' seperti Wan Azizah, teringat saya kuliah seorang ustaz yang mengupas persoalan isteri solehah yang menjadi anugerah Illahi yang tidak ternilai bagi seorang lelaki. 

Beliau menyatakan berhubung tanggungjawab si isteri terhadap suami ada tiga (ini perkara besar saja) - yang pertama melayannya, kedua menjaga makan minumnya dan yang ketiga menjaga maruahnya. Nampak cukup mudah, tetapi memenuhinya tidak semudah dicakap atau ditulis.

Jika 'syurga' seorang isteri berada 'di bawah 'telapak kaki suami', 'syurga' seorang anak pula berada 'di bawah telapak kaki ibu'. Demikianlah betapa Islam memberi penghargaan tinggi kepada seorang perempuan sebagai seorang isteri dan juga ibu. 

Namun perlu diingat, seorang isteri dan ibu pastinya adalah seorang anak jadi ingat-ingatlah bagaimana sikap atau pembawaan kita sebagai seorang anak. Jika kita sendiri seorang anak yang tidak taat, jangan marah jika anak kita sendiri tidak taatkan kita.

Pada kesempatan ini, marilah sejenak kita menjenguk sedikit sebanyak mengenai menjaga maruah suami. Saya bukan hendak 'berkhutbah' mengenai perkara ini, tetapi mengajak pembaca menyorot kisah Siti Zubaidah, seorang puteri rupawan yang terpaksa menyamar seorang pahlawan (tentulah lelaki) bagi mengesan suaminya yang difitnah dan dibawa pergi. Mungkin juga suaminya jadi tawanan perang. Jadi terpaksalah Siti Zubaidah mengembara dari sebuah negara ke sebuah negara menjejaki suaminya yang tercinta. 

Perihal kisah Siti Zubaidah terdapat dalam sebuah syair yang terkenal dalam persuratan Melayu Lama.

Tersebutlah hikayat cerita yang lama,
Seorang puteri bernama Siti Zubaidah,
Suaranya merdu parasnya cantik jelita,
Hingga terpikat seorang raja mulia.

Tetapi malang setelah jadi permaisuri,
Suaminya ditawan oleh ketujuh puteri,
Siti Zubaidah menangis siang dan malam,
Memikir suaminya yang di dalam tawanan.

Sebagai lelaki Zubaidah menyamar diri,
Untuk mencari suaminya yang dicintai,
Setelah puas menanggung azab sengsara,
Akhirnya ia berjaya menuntut bela.

Pencarian, perjuangan dan pengorbanan Siti Zubaidah berbaloi. Akhirnya selepas menghadapi 1,001 tribulasi, Siti Zubaidah dapat bersatu kembali dengan suaminya. 

Alangkah beruntungnya seorang lelaki yang memperolehi isteri sebijak, secantik dan daripada keturunan orang baik-baik dan bangsawan seperti Siti Zubaidah. 

Sewajarnya kepahlawanan Siti Zubaidah dalam mendapatkan semula haknya dicontohi dan disemarakkan di kalangan wanita terutama isteri-isteri. 

Jika Siti Zubaidah menyamar dengan berlagak seorang kesatria, gagah menunggang kuda dengan ladamnya berapi di medan perang, tiada sebab untuk isteri-isteri teraniaya termasuk di kalangan orang kena zalim (OKZ) pada hari ini terus meratapi si suami yang dibawa pergi tanpa berbuat apa-apa. 

Memang benar, doa itu senjata paling ampuh bagi orang Islam yang teraniaya tetapi semuanya hendaklah didahulukan dengan usaha dan pengorbanan!

No comments: