Sunday, March 22, 2015

Dari UKM ke Harakah (7): Pencen 62 tahun dan ragam anak-anak...

************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Bahawasanya tiada Tuhan yang patut disembah melainkan hanya Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." (Maksud ayat 87 Surah al-Anbiya)

************
SEBELUM 'masuk UKM' pada Mei 1999 sempat saya membuka sebuah kelas tuisyen di rumah sendiri yang saya sendiri bertindak sebagai pengurus dan pengajarnya. 

Kelas yang menawarkan pengajian subjek Bahasa Inggeris dan Matematik bagi murid daripada Tahun 1 sampai Tahun 6 dengan caj RM2 setiap kali seseorang murid itu mengikuti pengajian itu, mula-mula mendapat sambutan hangat namun selepas itu kedatangan pelajar merundum dan akhirnya tiada murid yang datang.

Pada awalnya, sepanjang Mac 1998 dapatlah saya perolehan kira-kira RM800 kemudian bulan berikutnya merosot kepada kira-kira $600, kemudian kira-kira RM500 dan akhirnya selepas murid-murid menduduki peperiksaan akhir dan cuti sekolah, pendapatan saya bagi bulan Oktober, November dan Disember adalah sifar.

Namun kelas itu masih berjalan pada Sabtu dan Ahad setiap minggu sekali pun saya sudah masuk UKM dan Harakah sehinggalah ia 'mati terus' pada 2004. Pada tahun itu, mudir sebuah sebuah pondok tahfiz meminta saya mengajar Bahasa Inggeris dan Matematik kepada murid-muridnya pada hujung minggu. Ya, bertambahlah pengalaman saya, jika dulu 'menghadapi' murid sekolah harian, kini pelajar tahfiz pula.

Berceloteh mengenai pengalaman saya mengajar murid sekolah harian ini, saya tidaklah 100 peratus mengajar mereka Bahasa Inggeris dan Matematik tetapi memasukkan elemen agama. Antaranya, saya bertanya mereka tentang ibadat harian, terperanjat juga saya apabila ramai pelajar membuat pengakuan mereka tak solat dan lebih memeranjatkan lagi memberitahu ibu bapa mereka pun tak solat.

Sebahagiannya memberitahu ibu bapa masing-masing sangat sibuk termasuklah daripada kalangan pekerja kilang yang bertugas mengikut syif. Jika syif bapa dan ibu sama, siapa mengawasi anak-anak dan jika syif ibu dan bapa tak sama; bila pula mereka berjumpa sebagai sebuah keluarga?

Hampir semua ibu bapa keluar rumah membanting tulang hari demi hari mencari rezeki menyebabkan ramai anak-anak terbiar. Mereka tidak mendapat kasih sayang dan bimbingan secukupnya antara sebabnya ibu bapa kerap tiada di rumah; situasi ini diperburukkan lagi apabila umur persaraan pekerja dinaikkan daripada 55, 56, 58, 60 dan kini ada ura-ura kepada 62 tahun. Persoalannya bilakah ibu bapa mempunyai masa secukupnya bagi mendidik anak-anak?

'Kerakusan' hampir semua orang termasuk penulis ini sendiri dalam mengejar kebendaan menyebabkan kebanyakan kita kehilangan 'waktu emas' untuk mendidik anak-anak sendiri. Sekarang dalam 'usia tua' ini barulah penulis 'nampak' betapa ruginya diri ini kerana tidak memberi banyak tumpuan kepada anak-anak. Sekarang ini anak-anak sudah menginjak dewasa, sudah payah dibentuk; bukankah orang tua-tua berkata, kalau hendak melentur buluh biar daripada rebungnya...

Seorang pesara guru memberitahu penulis ketika bekerja dulu dia sibuk mendidik 'anak orang' tetapi anak sendiri terabai. Katanya, jika anak sendiri 'kurang menjadi' kalau pencen awal (55 tahun) boleh juga "kita menebus dosa" dengan cuba-cuba mendidik cucu pula tetapi "kalau kita pencen 62 tahun, apa lagi kita boleh buat? Ya, nak kejar cucu pun kita tak larat lagi!"

Menyambung kisah murid-murid kelas tuisyen saya, pada sambutan Hari Raya Aidilfitri ramailah anak murid berkunjung ke rumah. Maklumlah saya cikgu mereka. Kebanyakannya datang berkumpulan. Selepas puas menjamu selera dan sebelum memberi duit raya saya bertanyakan mereka beberapa 'soalan cepumas' antaranya "sudah solatkah belum?"

Ramai 'terperangkap', mereka menjawab belum; saya pun menyuruh mereka mengambil wuduk dan meminta mereka menunaikan solat secara berjemaah di situ juga.

Ternyata 'tindakan' saya tidak disenangi murid-murid saya. Buktinya pada Aidilfitri tahun berikutan tiada murid atau bekas murid saya datang ke rumah saya. Mungkinkah saya 'seorang guru yang kurang baik' kerana tidak memahami psikologi anak-anak? Ya tugas seorang guru bukan mudah dan akuilah bukan semua orang boleh jadi cikgu, mungkinkah hal ini termasuklah diriku!

No comments: