Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)
SEORANG doktor pemilik sebuah klinik swasta di selatan tanah air yang penulis kenali dengan rapat pernah mengemukakan slogan ini ketika bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) tidak lama dulu - bapak-bapak dan ibu-ibu percaya akan rawatan saya, jadi berilah kepercayaan dengan mengundi saya - namun beliau yang bertanding sebanyak dua kali dalam PRU tidak juga menang.
Orang ramai termasuk pengundi yakin dengan kaedah pengubatannya, tetapi ramai juga tidak yakin memberi undi kepadanya. Mengapa? Sesetengah penganalisis politik tempatan mendakwa situasi ini ada kaitan dengan sikap dan kecenderungan sesetengah manusia yang walaupun jauh dalam sudut hati mereka mengakui sesuatu kebenaran itu tetapi mengetepikannya kerana mereka ada kepentingan tertentu.
Reaksi pemimpin dan rakyat terhadap kepulangan ke rahmatullah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Februari lalu membuktikan kecenderungan ini di kalangan anggota masyarakat. Ramai daripada kita menyakini kebenaran diperkatakan Tok Guru yang memimpin Kelantan selama 23 tahun itu, tetapi ketika hayatnya ramai yang memilih untuk mencemuhnya disebabkan ada kepentingan tertentu tetapi selepas beliau meninggal dunia, 'kita tidak dapat lagi mendustai suara hati kita'.
Jadi, pada hari kematian Tok Guru kita dapat menyaksikan sesuatu yang 'kontra' sebelumnya. Di sebuah masjid yang penulis hadiri untuk solat Jumaat, selepas solat ada dibacakan doa untuk Tok Guru sedangkan ketika kehangatan pilihan raya dulu, kata-kata kurang enak dihamburkan termasuk di dalam masjid, merujuk kepada petikan kata-kata Tok Guru yang diambil secara terpesong seperti dalam isu 'Tuhan Samseng'.
Ya, kebenaran tidak dapat disembunyikan - hanya masa yang akan mendedahkannya. Sementara itu yang batil tetap sirna - lambat laun akan ditelan masa seterusnya dilupakan orang. Orang lama bijak mengungkapkannya; hanya jauhari mengenal manikan, permata tetap permata sekali pun sudah terbenam bersalut lumpur namun 'kaca yang bergermelapan tidak akan bertahan lama'.
Dalam sejarah perkembangan Islam ada dinyatakan antara faktor mengapa sesetengah orang Musyrikin Makkah tidak dapat menerima Islam bukannya kerana mereka tidak menyakini ajaran Nabi Muhammad s.a.w. tetapi menolaknya disebabkan kepentingan tertentu mereka akan terjejas.
Misalnya, mereka yang terbabit dalam 'industri berhala' - daripada tukang ukir, pedagang dan penjaganya - akan 'kehilangan sumber pendapatan lumayan' jika menerima Islam. Mereka mengakui kebenaran Islam tetapi demi memastikan kesinambungan 'bisnes' (kepentingan sendiri) mereka menolak ajaran Nabi Muhammad s.a.w. sekalipun sebelum kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., baginda sudah diberi gelaran 'Al-Amin' (Yang Amanah) oleh mereka sendiri.
Demikianlah dalam berpolitik hari ini, ramai orang sudah melihat atau merasai sesuatu kebenaran itu (berdasarkan rasa atau suara hati nuraini), tetapi mereka tetap tidak mahu berubah - mereka mahu kekal 'dulu, kini dan selama-lamanya'.
Sesetengahnya bertindak sedemikian kerana mereka ada kepentingan tertentu. Ada kerana hanya setakat 'menjaga periuk nasi' (memastikan pakai dan makan mereka mencukupi) tetapi ada pula yang mahu memastikan kesinambungan kuasa, pangkat, darjat dan dari segi material pula mereka mahu menghimpunan ' harta yang tujuh keturunan pun tak habis dimakan'!
Namun ada suatu perkembangan menarik hari ini apabila sesetengah generasi muda yang terdedah kepada kepelbagaian maklumat tidak termakan dengan kecenderungan untuk menolak kebenaran ini. Generasi Y dan seterusnya amat kritis, mereka begitu 'hauskan' kebenaran termasuk untuk menyatakannya secara terbuka.
Apa yang membanggakan penulis, 'pencari kebenaran' ini bukan terdiri daripada satu bangsa saja - sebagai contoh dalam siri program ceramah Anwar Ibrahim sebelum beliau disumbatkan ke penjara - penulis dapat saksikan bagaimana anak-anak muda Cina dan India begitu bersemangat hadir. Mereka mahu mencari kebenaran, membuka hati kepada hujah-hujah dan tidak jumud menerima saja sesuatu dakwaan itu. Ternyata propaganda kurang berbekas di kalangan generasi muda ini.
Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa mereka perlu dibimbing secara berhemah dan berhikmah jika tidak mereka akan bertindak bagaikan peribahasa Melayu ini - marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Ya benar, ada 'banyak bahaya' (nyamuk) dalam kelambu (negara kita) tetapi usahlah bertindak semberono sebaliknya ikutilah saranan orang-orang tua ini - menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus tepung pun tak rosak!
No comments:
Post a Comment