DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)
SEBAGAI wartawan yang membuat liputan pilihan raya pelbagai kaum pertama Afrika Selatan pada April-Mei 1994 (20 tahun lalu), termenung saya sejenak apabila Anwar Ibrahim dalam siri ceramahnya di Bukit Piatu, Melaka, dua hari sebelum beliau disumbat ke dalam penjara, antara lain mengungkapkan: "Mandela (Nelson Mandela) ditangkap ketika lari daripada buruan pihak berkuasa tetapi saya tidak akan lari walaupun berpeluang berbuat demikian..."
Mandela, Presiden pertama Afrika Selatan (1994-1999) daripada kalangan kulit hitam selepas berkuburnya aparteid yang mencengkam negara itu, dipenjara selama 27 di Pulau Robbins tetapi selepas berkuasa memilih menerajui Afrika Selatan buat sepenggal saja (lima tahun) sekalipun mempunyai peluang besar untuk terus berkuasa.
Presiden Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) itu membuktikan beliau adalah negarawan ulung; baginya kuasa 'bukan untuk dikekalkan pada diri sendiri' sebaliknya menggunakannya bagi membantu 'rakan senegara' dalam sebuah negara berwajah baru yang sebelumnya 'dijarah' dan 'dijajah' oleh golongan kulit putih. Dalam era aparteid, orang kulit hitam tiada hak untuk terbabit dalam pemerintahan negara termasuklah hak mengundi dalam pilihan raya.
Mandela semasa mudanya memilih perjuangan agresif (hanya selepas tua beliau memilih perjuangan secara aman dan perkara ini diakuinya dalam satu wawancara beberapa tahun sebelum beliau meninggal dunia pada 2013) dan suatu ketika beliau diburu menyebabkan dia melarikan diri tetapi akhirnya tertangkap jua sebelum disumbatkan ke penjara di tempat yang begitu terasing.
Ya, Mandela melarikan diri sebelum tertangkap tetapi bagaimana dengan Anwar?
Dalam ucapan di Bukit Piatu itu, Anwar menjelaskan ada pihak di Turki dan Indonesia bersedia memberi perlindungan kepadanya tetapi beliau memilih untuk bersama rakyat sekalipun terpaksa meringkuk dalam penjara.
Kata Anwar, Mandela melarikan diri, tetapi tidak bagi dirinya. Beliau mendapat tepukan gemuruh daripada lebih 1,000 hadirin pada malam itu, sebahagiannya adalah daripada kalangan orang Cina dan India.
Anwar telah memilih untuk dipenjarakan daripada melarikan diri; jadi apakah kita sebagai orang awam boleh lakukan selepas dia meringkuk dalam kurungan?
Berhubung perkara ini, saya begitu tertarik dengan penjelasan seorang ustaz yang saya dengar baru-baru ini berhubung pengaduan seorang ibu bahawa anaknya telah dipenjarakan sedangkan dia benar-benar yakin anaknya itu tidak bersalah.
Sang ustaz menjelaskan bahawa penjara hanya boleh mengurung fizikal (tubuh badan seseorang) tetapi tidak terhadap jiwa (roh)-nya. "Ingatlah bahawa tiada penjara yang 'boleh memenjarakan jiwa seseorang'," katanya.
Beliau mengingatkan si ibu supaya tidak lemah semangat kerana jika si ibu sendiri sudah 'mengaku kalah'; situasi itu akan turut menyebabkan si anak tidak bersemangat untuk menghadapi hari-hari mendatang.
Sebaliknya si ibu perlu berpendirian dan bersikap positif; demikian juga orang-orang yang rapat dan dikasihi seperti saudara dan sahabat handai. Apabila si ibu berpeluang berjumpa si anak, kata-kata semangat dan perangsang perlu diberikan agar si anak dapat membuat perkara-perkara manfaat bagi kepentingan dirinya dunia dan akhirat.
Kata sang ustaz, doa adalah senjata orang mukmin; doa orang teraniya (termasuk keluarga mereka) amat mustajab, jadi teruslah berdoa sehingga akhir hayat.
Menurut beliau ramai daripada kalangan ulama dan cendekiawan dipenjara; mereka termasuklah Imam Ahmad bin Hambal dan di rantau kita Allahyarham Hamka. Dalam penjara, Hamka dapat menyiapkan Tafsir Azhar yang katanya mungkin tidak dapat disiapkan jika Allahyarham hidup bebas.
Bagi Mandela, sepanjang tempoh pemenjaraannya, isterinya Winnie (malangnya selepas dibebaskan berlaku krisis antara suami isteri ini menyebabkan mereka bercerai) dan ANC begitu bersemarak dalam perjuangan mereka sehinggalah aparteid runtuh dan Mandela serta ANC dijulang ke puncak kuasa selepas menang besar dalam pilihan raya pelbagai kaum 1994.
Dan bagi Anwar, isterinya; Dr Wan Azizah Ismail serta kaum keluarganya dan penyokong KEADILAN serta Pakatan Rakyat dalam landasan yang betul; sehubungan itu tingkatkanlah perjuangan yang tidak berkesudahan, hanya mati mengakhirinya di mana Tuhan Allah Rabbul Jalil akan menyediakan perbicaraan seadil-adilnya berlawanan dengan mahkamah manusia yang tidak diketahui setakat mana keadilannya!
No comments:
Post a Comment