Saturday, February 28, 2015

Dari UKM ke Harakah (4): Harakah sebagai universiti kehidupan...

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

APABILA kembali bergelar siswa pada Mei 1999 selepas belasan tahun meninggalkan kampus universiti, Masjid UKM seolah-olah menjadi 'rumah kedua' saya. Kelas pengajian sarjana saya hanya diadakan pada Jumaat dan Sabtu. Saya ke universiti ini sekali dalam seminggu. Selepas selesai pengajian pada petang Jumaat saya menuju masjid ini untuk bermalam bagi memudahkan saya mengikuti kelas pagi hari Sabtu.

Tidur di Masjid UKM ada pengalaman manis dan pahit. Masjid ini dua tingkat - biasanya saya tidur di tingkat atas. Nyamuk cukup banyak. Berdengung-dengung di telinga. Sukar untuk saya tidur. Namun sejumlah 'siswa berkelana' lain saya lihat boleh tidur dengan nyenyak malah berdengkur pula!

Selepas beberapa kali tidur dan 'mahir' dengan suasana dan persekitaran masjid, setiap kali mahu tidur saya akan membakar lingkaran ubat nyamuk berhampiran tempat tidur saya. Serangan nyamuk berkurangan, tetapi terpaksalah saya 'sedut' asap ubat nyamuk dan satu kemungkinan yang sangat ditakuti, ketika tidur manalah tahu selimut saya terkena nyalaan api ubat nyamuk yang boleh menyebabkan kejadian tidak diingini.

Pada tahun-tahun awal Reformasi itu, ketika bersembahyang Jumaat dan mengikuti khutbah di Masjid UKM, saya amat-amati bahawa isi khutbah kadang-kadang dipetik daripada laporan akhbar Harakah. Antara isi khutbah paling terkesan di hati saya ialah mengenai pemberitahuan khatib mengenai derita rakyat yang perlu diambil perhatian oleh golongan cendekiawan di universiti.

Khatib memberitahu ada rakyat terpaksa makan nasi dengan hanya berlaukkan kangkung goreng dan ikan lombong atau parit; saya tahu pendedahan ini dipetik daripada laporan akhbar Harakah - yalah ramai rakyat terutama nun jauh di pedalaman yang menderita; si politikus hanya cepat membantu jika mereka mendapat 'keuntungan politik' jadi tak hairanlah jika ada pilihan raya sesetengahnya sanggup berlakon menjadi 'penoreh getah', 'penjual ikan' dan sebagainya!

Tentunya sebagai seorang siswa, saya tidak terlepas daripada mengemukakan tajuk tesis - subjek apa yang hendak saya ketengahkan sebelum layak dianugerahi 'skrol ijazah'. Fikir punya fikir, akhirnya saya mengambil keputusan untuk membuat tesis berkaitan Harakah yang mana ketika diberitahu kepada pensyarah berkaitan, reaksi mukanya dapat saya 'teka' kurang berkenan'!

Pada peringkat awal, pelajar perlulah meneliti kajian lalu iaitu tesis yang telah dihasilkan 'senior'. Ya, kajian dan penelitian dilakukan di Perpustakaan Tun Seri Lanang yang tersergam gah itu, dan hasilnya saya dapati sejumlah pelajar yang telah membuat kajian mengenai Harakah. Kajian mereka pelbagai, jadi saya berpendapat saya mesti membuat sesuatu yang lain daripada apa yang sudah didedahkan...

Pada September 1999, saya 'sudah masuk' Harakah sekalipun masih bergelar pelajar UKM. Pengalaman di Harakah agak unik; jadi mungkin tidak keterlaluan jika saya menyatakan institusi ini adalah sebuah lagi universiti kehidupan yang amat penting dalam hidup saya.

Selama 12 tahun saya menjadi 'pelapor' (wartawan) di sebuah akhbar harian terkemuka tanah air, tetapi di Harakahlah saya belajar untuk terbabit dan mengambil bahagian dalam arus gerak rakyat. 

Dulu sebagai wartawan, saya hanya 'melapor' dan 'membuat analisis' tetapi kali ini saya terbabit sama - jika ada demonstrasi saya turut mengambil bahagian yang mana menyebabkan saya turut sama merasai bagaimana pahit maung rakyat biasa jika dihujani air asid oleh FRU atau dikejar bagaikan anjing kurap!

Terbayang di mata ini, seolah-olah 'diriku ini seorang hero hebat' berlari beramai-ramai menyerbu Kedutaan Amerika Syarikat dari Masjid Tabung Haji pada suatu petang usai solat Jumaat kerana marahkan Amerika yang menyerang dan menghancurkan Afghanistan pada tahun 2001 selepas peristiwa tumbangnya WTC. Demikian juga dalam sejumlah demonstrasi lain seperti penentangan terhadap PPSMI, ISA dan gerakan memurnikan demokrasi - Bersih.

Daripada 'berlari-lari' ke Kedutaan Amerika itu, akhirnya saya 'betul-betul' dihantar oleh Harakah ke sempadan Afghanistan-Pakistan untuk 'cuba-cuba merasai' derita rakyat Afghanistan yang diperangi Amerika.

Peluang untuk bersama gerak rakyat melalui Harakah adalah pengalaman amat berharga; saya 'terasa amat beruntung melaluinya' kerana di sinilah  saya melalui sebuah lagi 'universiti kehidupan' namun amat penting diperingatkan bahawa diri kita "perlulah menjadi benih yang baik, kerana jika dicampakkan ke laut ia akan menjadi pulau..."

No comments: