Tuesday, February 17, 2015

Dari UKM ke Harakah (2): Istiqamah antara punca kejayaan...

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***


SESEKALI 'terserempak' kawan-kawan lama, terasa malu juga diri ini. Nama sebahagian daripada mereka bermula dengan Dr menandakan mereka adalah pakar perubatan ataupun sudah mendapat ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang masing-masing. 

Ada juga dipanggil Tan Sri, Dato' Seri dan pelbagai gelaran lain tetapi dalam ruangan ini, penulis merakamkan kekaguman kepada mereka 'yang berjaya' dari segi akademik. 

Sebahagian daripada mereka yang bergelar Dr dan ada ditambah dengan Profesor dan Profesor Madya ini ketika zaman persekolahan bersama penulis dulu, pencapaian mereka dalam kelas adalah 'biasa-biasa saja', malah ada yang 'lebih teruk' daripada penulis. Apa rahsia mereka boleh berjaya dalam bidang masing-masing?

Sebahagian daripadanya menjawab istiqamah. Mereka konsisten belajar - ramai seperti penulis memperolehi ijazah pertama (sarjana muda) dalam usia 23-24 tahun, kemudian berkahwin dan membesarkan anak-anak tetapi sebahagian daripadanya gigih meneruskan pengajian ke peringkat sarjana seterusnya doktor falsafah.

Tidak lama dulu penulis dikunjungi seorang sahabat lama - seorang sarjana bahasa Melayu. Beliau yang bergelar Dr mengajar di sebuah universiti tempatan. Apa yang menarik dicelotehkan pensyarah ini adalah mengenai ketinggian martabat serta kedudukan bahasa Melayu dan satu perkara yang tidak dapat dipisahkan berhubung perkembangan dan kemajuan bahasa ini adalah Islam.

Katanya, Islamlah yang memartabatkan bahasa Melayu sekali gus bangsa Melayu; sebarang langkah untuk 'memperkecil-kecilkan' atau 'mengnyahkan' bahasa ini bermakna orang Melayu dikhuatiri tidak akan maju tamadunnya. Tanpa bahasanya yang maju, tidak mungkin orang Melayu yang hampir semuanya beragama Islam akan maju hatta longgar juga dalam pegangan Islam mereka.

Sejak Islam datang dan diterima di alam Melayu dengan pengislaman raja-raja Pasai, Perlak, Aceh, Mataram (Jawa), Melaka, Kedah, Kelantan, Terengganu, Petani, Brunei dan banyak lagi wilayah, bahasa Melayu yang mengadaptasi tulisan Arab (Jawi) mengalami perkembangan teramat pesat sehinggakan bangsa ini maju dari segi budaya, kesusasteraan, pemerintahan dan teknologinya. 

Islam telah mengangkat bahasa dan bangsa Melayu - bangsa dan kerajaan di rantau ini diiktiraf seantero dunia termasuk pemerintah China, India dan paling penting empayar Islam yang menguasai dunia ketika itu, Uthmaniyah yang berpangkalan di Turki.

Bahasa Melayu dengan huruf jawi amat berkait rapat dengan Islam termasuk amalan beragama. Di ruangan kecil ini memadailah diberi contoh mudah. Istiqamah satu sifat penting dalam melakukan peribadatan dalam Islam. “Daripada Aisyah r.ha., Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, bermaksud: “Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” ((Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam bahasa Melayu ada 'bunga bahasa' seperti peribahasa yang bermaksud seakan-akan selari dengan maksud hadis tersebut seperti 'sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit' dan 'sehari selembar benang lama-lama jadi sehelai kain'.

Kata sarjana itu, ini menunjukkan pengaruh Islam amat hebat dalam bahasa Melayu dan perkara ini disedari penjajah yang sedaya upaya 'memisahkan Islam daripada bahasa Melayu'. Maka dibuang dan dihapuskan huruf Arab (jawi) digantikan dengan huruf rumi dan mutakhir ini ada pemimpin berpendapat bahasa Melayu tidak berupaya membicarakan ilmu teknologi seperti Sains dan Matematik. Lantas mereka 'memandulkan' bahasa Melayu dengan 'tidak membenarkan bahasa ini membicarakan Sains dan Matemik di sekolah dan universiti sebaliknya diagung-agungkannya bahasa Inggeris.

Hakikatnya, kata sarjana itu bahasa Melayu hebat dalam memperkatakan teknologi jika tidak masakan bangsa Melayu suatu ketika dulu terkenal sebagai pelayar hebat dan menjelajah lautan dunia; rumusannya istiqamahlah dalam memperkasa bahasa Melayu walaupun secara berdikit-dikit, namun jika cuba 'dimandulkan' bahasa Melayu, dikhuatiri bangsa Melayu juga akan memasuki zaman gelapnya.

Ya, penjajah sudah berjaya sebahagiannya 'menanggalkan' Islam daripada bahasa Melayu, namun wahai pejuang bangsa dan bahasa, istiqamahlah, terus berjuang memperkasa bahasa Melayu yang amat bertaut rapat dengan Islam. Jika dipisahkan elemen Islam daripada bahasa Melayu, bukan saja bahasa ini akan mati tetapi juga bangsa ini!

No comments: