Saturday, February 21, 2015

Dari UKM ke Harakah (3): Pesanan Tok Guru dan perihal 'Manchester'


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 


 Renungan 

 "Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)


SUATU hari sedang saya menjelaskan bayaran di kaunter sebuah kedai runcit, seorang pemuda 'memotong' saya sambil meneriakkan 'Manchester'. Saya kurang faham, mungkin dia penyokong pasukan bola sepak Manchester United atau Manchester City; tetapi kenapa pula dia menjerit begitu di kedai runcit.

Rupa-rupanya dia hendak membeli rokok Manchester. Harganya RM3.50 sekotak besar 20 batang. Selepas pemuda itu beredar, saya bertanyakan pekedai mengenai rokok. Katanya, ramai 'customer' sekarang 'suka pekena' rokok 'lokal' yang murah. Nak yang berjenama, mahal. Benson, Dunhill, Peter semuanya lebih RM13 sekotak. Ramai tak mampu, tapi kerana sudah 'gian punya pasal', Manchester pun kira okey...

Berceloteh pasal rokok, terkenang saya pesanan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai perokok. Ya, sidang pembaca, telitilah baik-baik kata-kata mutiara Tok Guru yang disayangi ini. Almarhum pernah menyamakan perangai perokok dengan lembu, malah lebih teruk daripada lembu.

Kenapa perokok berperangai lebih teruk daripada lembu? Kalau nak tahu, ambil dan telitilah sekotak rokok. Pada kotak rokok ditulis, 'Amaran Kerajaan Malaysia. Merokok Membahayakan Kesihatan'. Di bawah perkataan AMARAN, ada gambar besar leher seorang pesakit kanser. 

Teruknya penyakit itu. Ngeri melihatnya. Leher itu berlubang, kemerah-merahan dan bernanah. Kebanyakan bahagiannya kehitaman. Ada benjolan di sana sini. Di bawah gambar itu ada perkataan: 'Rokok Penyebab Kanser Leher'. 

Di sisi kotak itu ditulis: 'Produk ini mengandungi lebih 4,000 bahan kimia termasuk tar, nikotina dan karbon monoksida yang membahayakan kesihatan'. Ada juga perkataan, 'Dilarang Jual Kepada Orang Bawah Umur 18 Tahun'. 

Pada kotak rokok lain tertera gambar paru-paru kehitam-hitaman dan berlubang-lubang dengan perkataan 'Rokok Penyebab Kanser Paru-Paru'. Melihat gambar dan tulisan amaran pada kotak rokok itu sudah cukup untuk menakutkan seseorang. Manusia bukan lembu, jadi sudah pasti kebanyakannya (sekalipun kalau tidak boleh membaca) tahu mesejnya.

Apabila diserang pelbagai penyakit termasuk masalah jantung, kos rawatannya cukup tinggi; membazirkan masa doktor dan jururawat untuk merawat mereka di hospital selama berbulan-bulan malah bertahun-tahun. Demikianlah seseorang perokok itu membayar puluhan malah ratusan ribu ringgit (penjimatan dengan tidak merokok membolehkan seseorang membuat pelbagai pelaburan misalnya membeli rumah atau menunaikan haji) untuk mendapat pelbagai jenis penyakit termasuk kanser dan masalah-masalah lain. Jadi bijakkah orang ini? Oleh itu amat tepatlah untuk Tok Guru Nik Abdul Aziz menyifatkan perangai perokok sebagai lebih buruk daripada lembu

Pada usia senja ini, saya mengakui saya pun 'pernah berperangai macam lembu'. Dulu ketika belajar Sarjana Komunikasi di UKM, ketika 'break' daripada kelas selama empat jam setiap mata pelajaran, saya dan seorang kawan mesti 'pekena' satu dua batang di parkir kenderaan. Ya, kalau tak 'pekena' terasa 'boring' dan 'mengantuk'. Selepas 'pekena' barulah mata boleh buka untuk mengikuti baki pengajian selama dua jam lagi. Itulah kelas terlalu lama...kalau tak 'pekena' tak ada idea ketika pembentangan kertas kerja...

Apabila mula bekerja di Harakah pada September 1999, kerap juga saya 'pekena' sebatang dua terutama pada hari 'deadline' - pada masa itu setiap hari Selasa dan Jumaat. Kerja berlarutan sampai larut malam. 'Tension'. Bagi menghilangkan 'ketegangan' kononnya; saya dan seorang dua lagi 'rakan sekapal' akan naik ke bumbung bangunan (pejabat redaksi dulunya terletak di bangunan pentadbiran sekarang) dan 'pekenalah' sebatang dua. Oh, nikmatnya 'menyedut-nyedut' asap racun sambil menikmati keindahan malam Kuala Lumpur yang bergemerlapan!

Sekalipun berterusan menghisap rokok, di Harakahlah saya belajar istiqamah dan akhirnya terus berhenti merokok, harap-harap untuk 'selama-lamanya'. Ya, saya 'tidak mahu menjadi lembu' lagi. Saya berhenti merokok pada usia 40 tahun dan alhamdulillah sehingga sambutan hari jadi saya yang ke-53 pada 17 Februari ini belum pernah saya sentuh sebatang rokok pun.

Bagaimana cerita saya berhenti merokok? Sejurus sebelum menunaikan haji pada Februari 2002, saya diserang batuk-batuk yang sangat teruk, jadi fikir saya lebih baiklah saya buangkan tabiat itu sebelum kaki saya menjejak Tanah Suci. Di Makkah saya perhatikan, segelintir jemaah haji membeli rokok secara 'sembunyi-sembunyi' (black market). Mereka menghisap rokok dalam 'jamban' agaknya, sebab di tempat terbuka saya tidak nampak pun orang merokok.

Alhamdulillah, sejak bergelar 'haji' sehingga kini, saya tidak pernah menjepit pontong rokok di bibir saya. Ringkasnya saya 'sudah suci' daripada rokok, insya-Allah. Selain daripada batuk teruk itu, ada 'faktor besar' lain menghalang saya kembali merokok; misalnya selepas balik haji dengan kopiah sentiasa di kepala, takkan saya nak menjepit rokok di mulut, malulah orang lihat 'pak haji' merokok; kawan-kawan saya di Harakah (ada yang berserban besar) hampir semuanya tidak merokok, jadi malu saya nak merokok jika bersama mereka. Ya, 'terima kasih' kawan-kawan dan Tok Guru kerana 'banyak membantu' saya keluar daripada 'kategori insan berperangai macam lembu'!

No comments: