Tuesday, February 10, 2015

Dari UKM ke Harakah (1): 'Teori Pembohongan Media'...

***********
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Sesungguhnya solat itu adalah fardu yang ditentukan waktunya atas orang-orang beriman." (Maksud Ayat 103 Surah An-Nisa')

*************

AMAT jarang wartawan menjadi subjek berita. Ya, mereka melaporkan aneka kejadian atau peristiwa membabitkan orang lain, bukan diri sendiri. Namun mutakhir ini, nama saya dipalitkan dalam laporan sesetengah pihak; ada daripada membuatkan saya tergamam lantas tergerak 'hati dan tangan ini' untuk mencoret atau mencelotehkan 'pengalaman kewartawanan' saya sejak saya bergelar siswa Sarjana Sastera (Komunikasi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1999 membawa saya menyertai Harakah pada tahun sama.

Ada sejumlah komentar di alam maya yang mengerakkan saya untuk mencoretkan sesuatu. Misalnya, sebuah portal berita melaporkan 'Tiga pengarang Harakah hilang kerja bakal sertai Utusan' yang antara lain memuatkan "Cerita berkaitan tiga pengarang Harakah yang diberhentikan baru-baru ini oleh Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali dilaporkan kian hangat diperkata orang ramai, khususnya di kalangan pemerhati politik dan pengamal media.

"Khabar angin mengenai isu berkenaan bertiup kencang hingga ke utara mengenai terdapat ura-ura yang mengatakan ketiga-tiga orang kuat Harakah itu berkemungkinan akan menyertai akhbar pro-Umno, Utusan Malaysia.

Menurut sumber yang menjelaskan khabar angin itu, bekas pengarang Harakah tersebut, Tarmizi Md Jam, Pengarang Rencana, Roslan Hamid (LanH), dan Ketua Pengarang Ahmad Lutfi Othman dikatakan telah bertemu wakil Utusan bagi membincangkan soal tersebut."

Ada banyak perkara tidak benar dalam laporan ini. Bagi diri saya, fitnah ini sudah keterlaluan dan perlu dijelaskan. Saya tidak pernah bertemu dengan sesiapa yang didakwa sebagai wakil Utusan; malah tiada siapa pun daripada pihak berkenaan yang pernah menghubungi saya ataupun saya menghubungi mereka.

Bagi pembaca yang belum mengenali diri kerdil dan daif ini, ada sedikit sebanyak maklumat dalam blog Lanh14.blogspot.com. Juga ada dicoretkan sedikit sebanyak pengalaman dalam buku 'Dilema Seorang Wartawan Islam' terbitan sendiri yang kemudian dikemaskinikan oleh penerbit Kemilau Publika yang memberi tajuk baru 'Travelog Wartawan Islam'.

Apa yang ingin diceloteh dalam ruangan ini adalah lanjutan kisah yang dipaparkan dalam buku berkenaan. Pada tahun 1998, penulis dengan berat hati meninggalkan sebuah akhbar harian terkemuka tanah air kerana tidak menyetujui sejumlah perkara berkaitan dasar penerbitan seperti menyiarkan keputusan empat nombor ekor dan gambar-gambar artis yang kurang senonoh dan bagi penulis 'tiada jalan kembali' namun siapakah diri ini untuk meneka perkembangan pada hari-hari mendatang. Ya, hanya Allah Yang Maha Mengetahui...Dia yang berkuasa membolak-balikkan hati manusia.

Pada Mei 1999, penulis 'masuk' UKM. Zaman itu panas dengan Reformasi Rakyat. Siswa siswi juga dilanda angin panas. Sungguhpun cengkaman sang penguasa ke atas pelajar amat keras, ia tidak menghalang sejumlah siswa siswi 'bereksprerientasi', sebagai contoh ketika pembentangan kertas kerja mereka meluahkan apa yang terbuku di dada.

Seorang rakan penulis memberitahu, seorang teman sekuliahnya pernah mengemukakan 'Teori Pembohongan Media' dalam satu pembentangan kertas kerja bagi satu subjek peringkat sarjana. Sudah tentu teori itu tiada dalam buku-buku komunikasi. Apabila pensyarah bertanya sumber teori itu, si pelajar terkial-kial berkata dia menciptanya sendiri, disebabkan dia tidak dapat lagi mempercayai sebahagian besar daripada apa yang dipaparkan media!

Nah, 'selepas 15 tahun kejadian itu' bolehkah dipercayai portal berita yang mendakwa saya akan 'masuk' Utusan? Nampaknya pembohongan demi pembohongan akan terus dilakukan termasuk dalam dunia media. 

Ada juga coretan dalam blog dan aplikasi lain dalam internet membuat saya rasa terharu dan berazam untuk terus menulis di akhbar Harakah.

Antara lain (TANPA DIEDIT PAPARANNYA) ;*** Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah...

sejak sekolah menengah, saya amat menyintai tulisan2 tuan LanH..
nampak jer ayah beli harakah, trus saya cakap:
'ayah, kita nak yg bahasa inggeris nyer.'
ayah pon cakap: 'satla, ayah nk baca sat.. satg amik la..'
sabar dok sebelah ayah, tunggu ayah baca yg bm2 tu jap..
ayah passing je harakah kt kita terus kita selak2 englishsection n amik bawak lari masuk bilik..
semata2 nk baca tulisan tuan LanH..
sebab byk kesedaran timbul bila baca tulisan2 tuan LanH..
alhamdulillah..:
semalam, ayah beli harakah..
dan hobi diteruskan..
sangat teruja bila ada blog tuan LanH..
lepas ni boleh baca semua tulisan2 beliau..
semoga ALLAH sentiasa limpahi rahmat kepadnya.. aameen..

alhamdulillah...

ayah, terima kasih sayang sbb belikan harakah..: - 

*** Penulis juga begitu tertarik membaca tulisan bersantai yang disumbangkan LanH, sama ada dalam Edisi Melayu mahupun Inggeris.

Beliau mengutarakan, kadang-kadang isu-isu kecil yang nampak remeh berdasarkan pengalaman hidupnya. Tetapi sebenarnya besar kerana beliau bijak mengolahnya.

Bahasa Inggerisnya begitu hebat dan 'powerful'. - MOHD SHAHID TALIB

*** Maaf cakap saudara LanH. Berhubung artikel bahasa Inggeris saudara, nampaknya saudara berfikir dalam bahasa Melayu tetapi kemudian menulisnya dalam bahasa Inggeris. Walaupun tulisannya 'simple' banyak kelemahannya. Harap saudara dapat belajar menulis dengan menggunakan bahasa Inggeris 'standard'. Rujuklah British Council dan ikutilah BBC, CNN dan sebagainya. - MAT UTARA


No comments: