***********
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Sesungguhnya solat itu adalah fardu yang ditentukan waktunya atas orang-orang beriman." (Maksud Ayat 103 Surah An-Nisa')
************
"ADENAN perkembangan politik paling menarik di Sarawak" - demikian tajuk utama sebuah rencana khas Utusan Borneo, pada Sabtu, 20 Disember 2014 dalam sorotan 2014-nya.
Ya, pelantikan Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri Sarawak pada Mac 2014 bagi menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang telah memegang jawatan itu selama 32 tahun dianggap sebagai perkembangan politik paling menarik negeri terbesar di Malaysia itu.
Jika 'orang Sarawak' melihat penggantian Taib oleh Adenan sebagai 'sesuatu perkembangan politik paling menarik', hampir pasti rakyat Malaysia juga sedemikian; mereka berharap sinar baharu akan bergermelapan di bumi Kenyalang selepas 'disinonimkan' dengan Taib Mahmud selama lebih tiga dekad.
Perubahan menjanjikan lebih banyak kebaikan untuk Sarawak dan warganya dan baru-baru ini kita dapat menyaksikan kunjungan mesra Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ke atas Adenan. Insya-Allah akan ada arus perubahan kebaikan termasuk dalam bidang dakwah dirangka untuk rakyat Sarawak bukan sahaja untuk kesejahteraan dunia tetapi juga akhirat.
Sarawak, tanah bertuah kaya sumber alam yang keluasannya 124,450 kilometer persegi iaitu hampir sama luas dengan Semenanjung atau England malah lebih besar daripada Korea Utara tetapi dengan jumlah penduduk hanya 2.5 juta, adalah medan berpotensi untuk melakar kejayaan fizikal dan spiritual.
Adenan sejak awal berkuasa sudah menonjolkan usahanya untuk meraih faedah untuk rakyat Sarawak iaitu mendapatkan lebih banyak royalti bagi minyak dan gas dan pada 6 Mei 2014 semua anggota Dun Sarawak menyokong Rang Undang-Undang Penambahan Royalti daripada lima peratus ketika ini kepada 20 peratus.
Dilaporkan usaha bagi mendapatkan penambahan royalti ini menjadi buah mulut rakyat Sarawak sehingga ada berfikir ke depan dengan membandingkan pencapaian pembangunan negeri ini dengan negeri-negeri lain di Semenanjung. Terkesan juga mereka dengan 'situasi sebuah negeri yang kaya raya dengan rakyat terutama nun di pedalaman miskin-miskin belaka'.
Ya, 'Sayang Sarawak sungainya sempit...' hanyalah antara seni kata sebuah lagu tetapi hakikatnya rakyat Sarawak berjiwa besar, mereka mahu melihat negeri mereka lebih maju atau setidak-tidak setara dengan negeri-negeri di Semenanjung. Kemajuan bukan bermaksud membabitkan negeri saja tetapi juga kehidupan rakyat tidak kiralah mereka yang tinggal di kota seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri atau jauh di pedalaman seperti Belaga, Long Banga dan Sungai Asap.
Kemajuan juga bukan hanya bermaksud dari segi fizikalnya tetapi juga spiritualnya. Sebagai contoh, bumi Sarawak kaya dengan hasil alam, misalnya balak (pada tahun 2013 eksport balak dan produknya bernilai RM7,057,890,230) manakala royalti daripada hasil hutan adalah RM544,805,073; tetapi rakyat kebanyakan 'terkebil-kebil saja' kerana kehidupan mereka tetap sama menepati satu ungkapan terkenal 'dulu, kini dan selama-lamanya' sedangkan perubahan di sekeliling mereka 'dahsyat sekali'. Di kota-kota, bangunan besar dan hebat termasuk masjid pun sungguh gah tetapi 'rakyat tak berdaya' semakin lama semakin hanyut dalam arus pembangunan.
Hal ini membawa maksud ada 'penyamun tarbus' di mana-mana dalam 'membaham' hasil negeri. Berhubung hal ini Adenan muncul sebagai ketua eksekutif negeri pertama di Malaysia yang menandatangani ikrar intergriti dalam memerangi rasuah. Usaha ini adalah sebahagian langkah untuk memarbatkan negeri dan rakyat dari segi spiritualnya. Tidak guna negeri kaya raya tetapi ada ramai 'penyarmun tarbus' bermaharajalela. Ini termasuklah golongan yang bermuka-muka, hidup bagaikan gunting dalam lipatan atau dalam bahasa orang sekarang 'cakap tak serupa bikin'.
Adenan memberi penekanan terhadap usaha memperkemaskan penguatkuasaan undang-undang negeri bagi mengekang pembalakan haram, yang dakwanya jika dibiarkan, boleh memusnahkan sumber hutan Sarawak akibat rasuah.
Kita yakin dengan komitmen Adenan dan berharap dan berdoa 'penyamun tarbus' yang 'meragut' hasil negeri daripada serendah-rendah kedudukan sehinggalah 'yang menongkat langit dan tinggal dalam istana' diheret ke muka pengadilan. Jika ini dapat dilakukan, insya-Allah, Sarawak Bumi Kenyalang akan muncul sebagai 'negeri yang baik dan mendapat pengampunan dan perlindungan Allah SWT'.
No comments:
Post a Comment