***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami." (Maksud Ayat 57 Surah An-Ankabut)
***
Terlebih dahulu kita ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik yang menyambut hari penuh pengertian itu pada tanggal 16 Mei lalu.
Kita ingin merakamkan sepenuh penghargaan kepada guru-guru yang telah sepenuh daya fikiran dan kudrat mendidik generasi muda namun pada ruangan ini kita ingin mengingatkan seluruh masyarakat bahawa guru bukannya satu-satu kumpulan yang perlu dipertanggungjawabkan kepada masa depan anak bangsa kita.
Jika kita perhalusi, dalam sehari kebanyakan anak-anak hanya menghabiskan masa enam jam di sekolah. Ditolak dengan cuti hujung minggu, cuti awam dan cuti penggal persekolahan; masa murid atau pelajar berada di sekolah cukup terhad; jadi selain ibu bapa, bukan guru saja bertanggungjawab besar mencorak generasi muda tetapi hampir seluruh institusi masyarakat seperti kepimpinan negara, media massa, masjid (rumah ibadat), keluarga besar (datuk nenek, bapa saudara dan sebagainya) serta persatuan dan pertubuhan setempat termasuklah perkumpulan belia.
Namun apa yang kita perhatikan, kebanyakan daripada institusi ini mulai tempang; anak-anak dipengaruhi dengan elemen buruk menyebabkan kelompok yang terbabit dalam dunia pendidikan seperti guru menjadi bingung; apa yang diajar di sekolah tidak dipraktikkan di luar, malah di sekolah sendiri. Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini, media massa kita sudah menjadi 'kurang ajar' menyebabkan anak-anak juga menjadi 'kurang ajar'. Guru di sekolah bukan agen tunggal pendidikan, anak-anak juga belajar melalui media massa.
Jika guru di luar sekolah (seperti media massa) bersikap kurang ajar dengan menyiarkan gambar-gambar lucah dan menjadi agen fitnah, maka apa boleh diharapkan daripada anak-anak selain menjadi kurang ajar juga. Bukankah ada pepatah menyatakan 'guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari'. Adalah malang media lucah mendapat tempat di sekolah sehingga dijadikan bahan pengajaran (akhbar dalam darjah). Jika bahan lucah dan berita fitnah ini didedahkan kepada murid-murid kita bimbang ia akan menyumbang dan menambahkan permasalahan sosial yang kian memburuk dalam masyarakat.
Anak-anak hari ini begitu obses dengan perkembangan di luar sekolah terutama teknologi komunikasi. Malah ada anak-anak di sekolah rendah memiliki telefon mudah alih dan komputer peribadi. Melalui gajet ini mereka terdedah kepada pelbagai perkembangan terkini – yang baik dan juga buruk. Mereka cepat sekali belajar yang buruk walaupun di sekolah mereka didedahkan kaedah pembelajaran terkini melalui kemudahan tersebut.
Berdasarkan cabaran besar mendidik anak-anak masa kini, adalah diharapkan semua lapisan masyarakat dapat bersama-sama menyumbang tenaga bagi memastikan generasi masa depan tidak terjerumus ke lembah kehancuran. Daripada pemimpin tertinggi negara sehinggalah orang awam, semuanya mempunyai tanggungjawab masing-masing.
Pemimpin perlu diinsafkan bahawa masyarakat hanya dapat diselamatkan dengan mengikuti cara hidup dan hukum-hakam Islam sepenuhnya. Orang awam (termasuk pengundi) perlu ditarbiyah agar mereka sedar bahawa memilih pemimpin berjiwa Islam adalah antara langkah awal bagi menyelamatkan generasi muda daripada pemimpin rakus yang mengikut nafsu-nafsi keduniaan.
Apabila pemimpin sudah berada di jalan lurus, insya-Allah institusi lain seperti kehakiman, keluarga, media massa, sekolah, masjid, pertubuhan dan persatuan semuanya akan berada dalam landasan betul bagi melahirkan generasi masa depan yang gemilang di dunia dan akhirat.
Namun jika pemimpin hidup penuh nafsu-nafsi, percayalah seluruh sistem masyarakat termasuklah dunia pendidikan akan menuju kehancuran. Adalah sesuatu yang malang jika warga guru berhempas-pulas selama kira-kira enam jam sehari di sekolah sedangkan baki 18 jam lagi, anak-anak terdedah kepada suasana kehidupan yang bertentangan dengan nilai-nilai kemurnian yang diterapkan di sekolah-sekolah.
No comments:
Post a Comment