Friday, May 20, 2011

Padi angin: Hanya jauhari mengenal manikam...

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang-orang yang rugi." (Ayat 85 Surah Ali Imran)
***

DALAM ruangan ini pada sebelum, saya menyatakan betapa jahilnya saya mengenai masalah padi angin yang menimpa pesawah seluruh negara. Syukur alhamdulillah celoteh saya itu mendapat reaksi segera seorang pakar pertanian yang sudah berpuluh-puluh tahun terbabit dalam bidang itu. Demikianlah betapa benarnya peribahasa, hanya jauhari yang mengenal manikam.

Berikut disiarkan reaksi pakar berkenaan yang diharapkan dapat membantu menyelesaikan masalah yang kini dihadapi pesawah di seluruh negara. Ada bahagian yang mungkin ada persamaan dengan sebuah artikel Lutsinar di www.pelbagai.com


Padi angin

BENAR seperti kenyataan Pejabat Pertanian bahawa padi angin terhasil daripada kacukan padi liar dengan padi sebenar.

Padi angin merupakan ancaman yang paling utama bagi pesawah, ada sawah yang hanya mendapat hasil tuaian bawah 1 tan bagi 1.2 hektar. Padi angin merupakan padi yang bersifat mudah relai dan masak lebih awal, di antara 10 – 25 hari daripada padi yang ditanam atau ditabur.

Ciri-ciri padi angin adalah sejenis padi yang mudah relai apabila disentuh atau ditiup angin dan pada kebiasaannya, padi angin kelihatan lebih tinggi daripada padi yang ditanam secara biasa.

Keajaiban padi angin

Padi angin lebih cekap menyerap baja berbanding padi yang ditanam menyebabkan tumbesarannya lebih pantas. Ketinggiannya merupakan satu kelebihan yang menyebabkan padi biasa tewas dalam bersaing untuk mendapat cahaya matahari. Impaknya padi biasa beransur-ansur pupus dalam kawasan yang banyak padi angin. Batangnya yang berwarna hijau kekuningan yang lebih keras berbanding padi biasa. Lantaran itu ia menjadi pilihan terakhir bagi serangga perosak.

Padi angin juga mudah dan giat menghasilkan veriti-veritinya yang baru. Malahan ketika ini wujud padi angin yang mempunyai ketinggian sama seperti padi biasa. Baru-baru ini ditemui veriti padi angin yang mempunyai ekor, daripada kajian Jabatan Pertanian, ia merupakan perkahwinan silang padi angin dengan rumput ekor tebu yang dikenali warga setempat dengan panggilan rumput miang.

Daripada maklum balas petani, padi angin yang baru peringkat pengisian susu, di potong tangkainya dan dibiarkan seminggu, susu atau santan padi tersebut akan mengeras menjadikan ia benih padi angin yang sempurna dan mampu tumbuh sekiranya keadaan persekitaran yang sesuai. Ciri- ciri ini tidak ada pada padi biasa.

Dalam satu rumpun padi angin wujud 3 atau 4 generasi padi, ini menyebabkan sekiranya penangkaian menggunakan mesin tebas rumput galas, ia memerlukan 3 kali ulang. Ketika padi biasa masak dan sesuai untuk di tuai, 95 peratus padi angin telah gugur ke tanah, dan masuk ke dalam tanah kerana digilis roda besi mesin jentuai.

Keadaan menjadi lebih teruk lagi sekiranya keadaan bendang tidak begitu kering disebabkan lambat membuang air ataupun hujan kerap turun. Ia mampu tidur tanpa dalam tanah selama 6 hingga 12 tahun.

Apabila ia kembali ke permukaan kerana pembajakan ia akan bertunas dan tumbuh memberi saingan yang sengit pada padi biasa. Cuba kita bayangkan sebiji padi angin yang wujud di bendang kita, ia membesar membentuk rumpunnya. Pada kebiasaannya ia akan beranak lebih daripada 10 bilah.

Katakanlah ia beranak 5 bilah dan membentuk 5 tangkai dan setiap tangkai mengandungi 100 biji padi, maka pada musim berikutnya, kita berhadapan dengan kira-kira 500 rumpun padi angin. Lantaran itu setiap musim kita membuang padi angin dengan cara menyabit rumpun padi angin, ia tidak ubah hanya sekadar menyekat perkembangannya sahaja, untuk menghapuskannya memakan masa yang lama.

Berdasarkan pengalaman petani di Parit 3 Timur Sungai Besar, Selangor yang sudah 6 tahun mengupahkan orang membuang padi angin dengan kos satu musim kira-kira RM500.00, namun masih ada kira-kira 10% padi angin di bendangnya. Oleh sebab padi angin tidak ada racun khusus, maka petani di sini berkata, mereka lebih rela dan senang berhadapan apa jua rumput kerana ada racun bagi menanganinya.

Kawalan padi angin

Dalam mengatasi masalah padi angin ini perkara yang harus dititikberatkan bagi mengelak kehadiran padi angin adalah bermula sebaik sahaja selepas menuai. Tebas dan bakar jerami padi dengan segera. Sekiranya pada ketika itu musim hujan, tutup salur air ke parit pembuang agar bendang kadangkala dibanjiri air. Dengan demikian kita seolah-olah merendam benih padi angin dan kemudiannya keringkan semula bendang. Langkah ini menggalakkan ia tumbuh pada musim rehat daripada ia tumbuh bersama dengan padi yang ditabur. Kemudian racun atau bajak anak-anak padi tersebut. Bajak dan ratakan tanah. Daripada pemerhatian saya, tempat yang paling banyak padi angin di sawah adalah kawasan yang tidak ditenggelami air.

Buang padi angin ketika umur padi antara 70 hari selepas tabur ke atas. Kebiasaannya upah bagi membuang padi angin di kawasan Parit 1 adalah RM38 sehari (untuk seorang pekerja yang mengambil upah membuang padi angin) Segala usaha mengawal padi angin seperti yang disebutkan di atas menjadi sia-sia sekiranya kita menggunakan biji benih yang dicemari benih padi angin.


Khabar sedih kepada petani

Bermula daripada musim 2/2009, pengurusan perihal benih padi diserahkan 100 peratus daripada Jabatan Pertanian kepada swasta. Pengeluaran padi benih dibahagikan kepada 5 pengeluar swasta iaitu; (i) FELCRA, (ii) PPK, (iii) MADA, (iv) BERNAS dan (v) KEJORA DESA.
Perlu diingat pengeluar benih di atas (i-iv) hanya mendapat kuota yang sedikit berbanding pengeluar v. Kenapa? Apabila dapat kuota besar dan ladang benih tidak luas (tidak mampu) maka ejen-ejen mereka akan datang ke sawah-sawah yang dilihat hasilnya baik untuk dijadikan benih. Walhal empunya sawah dan padi tidak berdaftar sebagai lot pengeluar benih dan benih induknya bukan benih daftar tapi benih sah. Lot yang tidak berdaftar maka sudah pasti tiada kawalan daripada Jabatan Pertanian maka wujudlah masalah padi benih yang tidak tulen dan peratus padi angin yang banyak.

Nota;
Padi daftar - Benih induk untuk petani bagi mengeluarkan benih padi sah.
Padi sah - Benih yang digunakan untuk mengeluarkan padi untuk dimakan (proses).

Peliknya jika setiap lot padi benih yang berdaftar mestilah mendapat pengesahan Jabatan Pertanian untuk kelulusan sama ada boleh tuai sebagai benih atau tidak, tapi bagi perkara yang saya sebut di atas tidak berlaku. Itu sebab padi angin berlambak.

Ramai petani tidak berpuas hati kerana selama ini bendang mereka tidak pernah dinodai dengan padi angin, namun pada musim berikut terdapat padi angin memenuhi setiap ruang di bendang mereka. Lalu ia menyerahkan contoh benihnya kepada Jabatan Pertanian untuk dibuat kajian di makmal. Hasil ujian makmal begitu memeranjatkan para petani kerana ketulenannya cuma 54 peratus sahaja sedangkan yang ditulis pada guni pembungkus lebih daripada 80 peratus.

Apa yang pasti syarikat swasta, kurang pemantauan padi yang dibuat benih, berbeza dengan Jabatan Pertanian, ia memantau ketat perihal benih padi kerana tanggungjawab dan demi menjaga kredibiliti mereka. Lalu ramai petani di sini mengharapkan kerajaan Pusat mengembalikannya kepada Jabatan Pertanian.

Veriti benih padi baru membasmi padi angin

Semusim yang lalu, bila mana urusan jual beli benih diswastakan, ketulenannya diragui apabila sawah yang selama ini bebas daripada padi angin, ditumbuhi padi angin di segenap ruang di sawah. Kemerosotannya dianggarkan sebanyak 22 peratus. Perlu diingat sekali padi angin memasuki sawah, bermakna kita mengambil masa bertahun-tahun untuk memulihkannya semula. Lalu pelbagai teknik yang digunakan untuk mencegahnya daripada padi angin terus mendominasi sawah bendang. Daripada pemerhatian hanya ada 2 kaedah yang paling berjaya (kejayaannya kira-kira 90%) antaranya;

i. Sebaik sahaja menuai, petani menutup salur air ke parit pembuang dan mengeluarkan belanja untuk mengepam air ke sawah, rendam beberapa hari seterusnya biarkan ia kering. Setelah padi angin tumbuh, mereka akan meracun padi tersebut. Seterusnya ia mengulangi perbuatan ini beberapa kali sehingga mereka berpuas hati barulah mereka membajak sawah. Ia perlu dilakukan beberapa kali untuk memastikan tiada benih padi angin tertanam ketika proses pembajakan. Cara kedua, mereka mengepam air ke sawah, seterusnya menyembur racun rumpai dan dibiarkan sawah terendam dengan racun tersebut selama seminggu barulah mereka membajaknya.

ii. Walaupun begitu, mereka yang kurang berjaya menangani masalah ini, tidak perlu bimbang kerana MARDI telah bekerjasama dengan FELCRA mengeluarkan 2 veriti padi baru boleh menangani masalah ini. Veriti padi ini merupakan benih padi jenis GM- Genetic Modified. Ia diberi nama MR220CL1 dan MR220CL2. Veriti padi ini mempunyai ketahanan pada satu jenis racun rumpai. Setelah kira-kira 10 hari padi jenis ini ditabur, maka kita perlu menyemburkan racun tersebut, padi angin dan rumput jenis batang keras akan mati.

Tetapi kita perlu berhati-hati kerana racun ini juga (dipercayai racun tersebut dikeluarkan oleh syarikat BSAF) turut membunuh anak padi sawah jiran kita yang tidak ditanam dengan veriti padi ini. Daripada maklum yang boleh dipercayai, ia dijual secara pakej dengan harga RM1,200.00. Pakej tersebut terdiri daripada 8 beg benih padi, cecair penggalak yang digunakan semasa merendam dan juga racunnya. FELCRA akan memasarkannya bermula dari musim 1/2011. Ia merupakan berita gembira buat petani yang mampu dan pengusaha(usahawan) sawah padi yang luas tetapi berita yang tidak baik buat mereka yang bukan usahawan serta mengusahakan sawah berskala kecil kerana kos yang mahal.

No comments: