***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Islam tidak menyusahkan umatnya
Agama Islam tidak bermaksud diturunkan untuk menyusahkan umatnya. Allah SWT berfirman, maksudnya: "Kami tidak menurunkan al-Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah." (Thaha: 2)
***
SEORANG pemimpin tertinggi sebuah parti yang beragama Islam pernah berkata bahawa bersalaman tangan antara lelaki dan perempuan bukan mahram tidak salah (haram) tetapi membatalkan air sembahyang saja. Beliau berkata demikian bagi menghalalkan amalan berjabat tangan lelaki dan perempuan yang berleluasa dalam partinya.
Memang ada sebuah parti orang Melayu hebat amalan bersalamannya. Apabila seorang pemimpin datang atau sampai ke sesuatu majlis, maka dia mula bersalaman dengan semua orang, tidak kira lelaki dan perempuan. Malah ada perempuan pula berlebih-lebihan, mereka berebut-rebut ke depan dan menghulurkan tangan untuk menyalami pemimpin kesayangan dan pujaan mereka.
Apakah hukum perbuatan tersebut? Seorang ustaz dalam kuliah subuh di sebuah masjid berhampiran rumah penulis meminta anak-anak muridnya (jemaah) menyampai dan memanjangkan isi pengajian beliau pagi itu agar diketahui oleh mereka yang tidak hadir seperti anggota keluarga dan rakan-rakan.
Bagi penulis, ini adalah kesempatan bagi merakamkan apa yang disampaikan oleh ustaz itu dalam ruangan ini untuk dijadikan tatapan dan renungan seterusnya diamalkan dalam kehidupan.
Kata ustaz itu bersalaman (berjabat tangan) itu adalah satu ibadah, jadi janganlah dicemari ibadah itu dengan perbuatan haram dan songsang. Katanya, apabila dua orang bertemu, kedua-duanya akan mendapat pahala pada setiap perbuatan iaitu memberi dan menjawab salam, seterusnya menjabat tangan, memandang muka, melemparkan senyum manis dan seterusnya berselawat dan bertanya khabar.
“Tetapi ini terhad kepada orang sesama jantina saja, misalnya lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan kecualilah mereka yang mahram seperti anak beranak dan adik beradik. Adalah haram hukumnya berjabat tangan lelaki dan perempuan bukan mahram,” katanya.
Ustaz itu juga mengingatkan adalah haram untuk bersalaman dengan anggota keluarga yang dianggap dekat seperti anak buah perempuan sebelah isteri (anak-anak kepada abang atau adik isteri) dan ibu saudara isteri (bagi lelaki). Namun orang tidak peduli pada hukum, terutama ketika Hari Raya, habis semua anggota keluarga seperti adik ipar, kakak ipar, sepupu malah orang luar yang berlainan jantina semuanya disalaminya. Inilah amalan terpesong yang perlu diperbetulkan.
Ustaz dalam membicarakan bab berjabat tangan ini menyatakan ada dua situasi berhubung hukum berjabat tangan berlainan jantina ini. Jika seseorang itu tetap berjabat tangan sekalipun dia tahu perbuatan itu haram, dia hanya berdosa tetapi jika dia berkata tidak salah (tidak haram) berjabat tangan atau pandai-pandai sendiri menyatakan bahawa berjabat tangan itu hanya membatalkan air sembayang, dikhuatiri dia sudah jatuh kafir. Hal ini sama seperti orang tidak sembahyang, dia berdosa; tetapi jika dia menyatakan sembahyang itu tidak perlu dilakukan atau tidak wajib ditunaikan, maka dia jatuh kafir.
Sehuhungan itu, Ustaz menyatakan berjabat tangan adalah perkara besar, jangan sesekali dibuat main-main. Beliau berkata hukum berjabat tangan ini didasarkan kepada peristiwa akad akuan setia (baiah) sejumlah perempuan (sahabiah) pada zaman Rasulullah s.a.w.
Dalam membicarakan hal ini, Ustaz merujuk kepada kitab Bahru Al-Madzi (Syarah Mukhtashar Shahih At-Tirmidzi Juzuk 11 yang disyarahkan oleh Sheikh Muhammad Idris Al-Marbawi dalam Bab ke-75 yang memetik sebuah hadis hasan shahih yang bermaksud: “Daripada Umaimah binti Ruqaiqah, katanya: “Telah beraku setia aku akan Rasulullah Shallahahu ‘alaihi wassallam di dalam jumlah perempuan-perempuan, maka sabdanya bagi kami, ‘Pada barang yang berkuasa sekalian kamu dan upaya’. Kataku: “Allah dan Rasul-Nya lebih kasihan dengan kami daripada kami dengan diri kami.” Maka kataku: “Ya Rasulullah membaiahlah engkau akan kami.” Kata Sufyan: “Menghendaki ia bersorong tangan akan kami, maka sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam: “Hanya sanya perkataanku bagi 100 perempuan seperti kataku bagi perempuan yang satu.”
Dalam mensyarahkan bab ini, Sheikh Muhammad Idris antara lain menyatakan dalam menyentuh perempuan-perempuan ajnabiyyah adalah haram berbuat demikian dengan ketiadaan darurat; adapun kerana darurat maka iaitu harus, seperti mengubatnya, dan membekamnya, dan hendak mencabutkan geraham atau giginya, dan hendak mencelak matanya dan seumpamanya. Maka pada waktu itu haruslah lelaki memperbuat akan dia.
“Adalah Nabi itu tidak pernah sekali-kali ia menyentuh kulit perempuan ajnabi, melainkan perempuan-perempuan yang halal baginya jua yang ada disentuhnya dengan dalil hadis yang diriwayatkan dan yang lainnya. Dan tidak sekali-kali ia menyorong tangannya bagi perempuan walau kana (sekali pun) kerana berakad akuan setia sekalipun).”
Perlu diketahui Nabi tidak pernah MENYORONG tangannya kepada perempuan tetapi hari ini pemimpin menyorong tangan malah dalam sesetengah keadaan perempuan berlebih-lebihan untuk ke depan seterusnya MENDEPAKAN tangannya untuk dijabat oleh pemimpin. Hentikan perbuatan ini, kembalilah kepada Islam sepenuhnya, kata Ustaz.
No comments:
Post a Comment