***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Wahai orang-orang beriman, diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas (balasan yang seimbang)dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh, iaitu orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan." (Surah al-Baqarah Ayat 178)
***
PELAWAAN Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Tun Razak agar PAS bekerjasama dengan Umno kononnya bagi bersama-sama memperjuangkan Islam tetapi pada masa yang sama meninggalkan gabungannya dalam Pakatan Rakyat (DAP dan PKR) adalah ibarat cubaan menjolok bulan dipagar bintang.
Bulan (PAS) kini hampir mengambang penuh (bulat dan terang menjelang malam ke-15 di dada langit) tetapi pada masa sama ia dipagar bintang (DAP yang berlambangkan roket dan PKR yang berlambangkan bukaan mata penuh).
Kini Umno termasuk pemimpin tertingginya Najib dan media massa tunggangannya giat membicarakan perpaduan orang Melayu melalui kerjasama Umno-PAS. Berdasarkan senario semasa, hakikatnya Umno cemas kerana tidak yakin komponen Barisan Nasional (BN) mampu menduduki singahsana Putrajaya sehingga sanggup bermandi darah apabila diadakan pilihan raya umum ke-13.
Umno dan sekutunya kini di ambang tergelincir daripada kuasa. Perit hilang kuasa di Selangor, Perak (dirampas kembali secara tidak bermoral), Kedah dan Pulau Pinang masih terasa, jika hilang kuasa Putrajaya tentu mereka akan merana.
Kapal Umno hampir karam, bagi menyelamatkan diri ia mahu memaut bahu PAS. Umno mahu menjolok bulan (PAS). Hajat Umno, kalau dia tenggelam biarlah dia mati bersama PAS. Biarlah mati bersama-sama, barulah puas Umno.
Umno lihat sekarang ini PAS sudah senang dengan rakan Pakatannya - PKR dan DAP. Ini yang tidak disenanginya. Dia yang hampir karam mahu PAS sama-sama karam. Itulah sekarang ini dia (Umno) senang melihat kerajaan Selangor susah dalam menghadapi isu-isu rekaannya.
Untuk mengetahui betapa zalimnya Umno ke atas PAS tanyalah orang veteran PAS seperti Mursyidul Amnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang sudah 20 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan. Dalam isu terbaru, royalti minyak Kelantan jelas akan sikap curang pemimpin Umno.
Jika Umno tidak mahu berubah, amat-amatilah firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 170, yang bermaksud: "Dan apabila dikatakan kepada mereka: 'Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah,' mereka menjawab: '(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami.' "(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?"
Sejarah mencatat betapa teruknya penganiayaan Umno sesama Melayu. Institusi pendidikan Islam seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Pusat Asuhan Tunas Islam (SAR) mereka mahu hancurkan. Pada ketika institusi ini berkembang dan semakin berpengaruh untuk melahirkan bibit-bibit yang dapat menyambung perjuangan menegakkan Islam, mereka dicantas dan dilumpuhkan.
Mengapa pemimpin Melayu Umno begitu berkobar-kobar untuk meruntuhkan institusi yang memberi begitu banyak manfaat kepada orang Islam/Melayu sedangkan mereka 'berkokok' kononnya memperjuang nasib orang Melayu pada setiap kali perhimpunan agung parti Melayu terbesar di dunia.
Bukankah Pasti ini salah satu institusi orang Islam/Melayu? Jika mahu runtuh dan hancurkan 'harta orang Melayu' sendiri, ia menunjukkan betapa besar perasaan hasad sesetengah pemimpin Melayu Umno.
Kezaliman pemimpin Melayu Umno ketara apabila peniaga kecil Melayu di tepi-tepi jalan sering diusir, rumah setinggan Melayu kerap diroboh, tanah orang Melayu sering kali diambil dengan alasan ia untuk dimajukan dan anak-anak orang Melayu yang tidak menyokong 'parti Melayu terbesar di dunia' dinafikan hak untuk mendapat bantuan pengajian dan juga peluang pekerjaan serta tender.
Pemimpin Melayu Umno jugalah yang menghancurkan masa depan bahasa orang Melayu seperti memperkenalkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sedangkan pada masa yang sama mereka mendakwa sebagai pendaulat bahasa.
Selagi pemimpin Umno tidak mengakhiri kezaliman sesama Melayu ini dan kembali kepada Islam yang syumul, selagi itu Melayu berpecah. Apabila kapal sendiri mahu tenggelam, usah dicuba menjolok bulan pula. Ia kini kukuh dipagar bintang.
Perpaduan Melayu hanya akan terlaksana dengan berpegang kepada tali Allah. Dalam al-Quran (Surah Ali Imran 3:103) Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Dan berpeganglah kamu semuanya pada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai. Dan ingatlah akan nikmat nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara. Dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk."
Jadi kembalilah kepada Islam seluruhnya; "berpeganglah kamu semua kepada tali agama Allah." Inilah pra-syarat kepada perpaduan Melayu/Islam, jika tidak, akan berpecahlah orang Melayu sedangkan ayat Quran tadi disambung dengan "janganlah kamu bercerai-berai." Demikianlah dengan mengamalkan Islam sepenuhnya akan menyelamatkan Melayu, insya-Allah.
No comments:
Post a Comment