Monday, May 9, 2011

Henti keganasan di mana saja

***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Allah telah membeli diri dan harta orang-orang beriman dengan memberikan syurga untuk mereka." (al-Taubah 9:111)
***

Kita tertarik dengan perkembangan semasa global berhubung dakwaan Amerika Syarikat (melalui Presidennya Barack Obama) bahawa pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden sudah dibunuh pasukan tenteranya di Pakistan dan mayatnya telah disemadikan di laut. Obama berharap dengan matinya Osama akan berakhirnya keganasan di seluruh dunia.

Ya, seperti Obama dan Amerika yang dipimpinnya, seluruh umat yang cintakan keharmonian dalam kehidupan mengharapkan tidak berlaku lagi keganasan di segenap pelosok dunia. Apabila ini dicita-citakan, kotakanlah segala apa yang diucap dan janjikan. Cermin dan teruslah melakukan muhasabah diri. Bagi Amerika terutama Presidennya, hentilah berlagak bagai polis dunia yang memaksa negara dan umat manusia mengikut nilai, kehendak nafsu, corak dan acuannya.

Apabila Amerika mahu memaksakan nilainya ke atas seluruh umat manusia, maka terjadilah keganasan yang memakan korban yang bukan sedikit. Amerika menjarah bumi Iraq sesuka hatinya, menghancurkan kerajaan Taliban Afghanistan, mendukung rejim Zionis Israel melanyak rakyat Palestin dan mutakhir ini bertindak seolah-olah mahu mengakhiri riwayat pemimpin Libya, Muammar Gaddafi; hakikatnya yang banyak terkorban adalah rakyat negara itu.

Selain rejim Washington yang berlaku ganas terhadap warga dunia ketiga terutama negara umat Islam, kuasa besar lain seperti Rusia dan China juga tidak kurang bertindak ganas terhadap warganya termasuk orang Islam yang kurang upaya. Rusia menghadapi orang Islam Chechnya bagaikan beruang lapar begitu juga China yang menzalimi umat Islam Xinjiang manakala negara kuku besi seperti Myanmar bertindak ganas dan mengusir orang Islam Rohingya dari tanah air mereka. Thailand juga bertindak begitu, peristiwa pembunuhan dekat Masjid Takbai adalah saksinya manakala kerajaan Filipina berlaku zalim kepada orang Islam di selatan negara itu.

Selain keganasan di luar negara, marilah kita rujuk hal yang sama dalam negara. Pemerintah yang diamanahkan kuasa oleh rakyat tidak wajar menggunakan instrumen kerajaan untuk bertindak ganas ke atas rakyat. Menggunakan pasukan keselamatan untuk membelasah rakyat termasuk dengan memancutkan gas pemedih mata ke atas mereka yang menuntut sedikit hak seperti gaji minimum, mempertahankan kedudukan bahasa kebangsaan, atau membantah kenaikan harga barangan asasi seperti petrol dan gula, adalah tindakan tidak berperikemanusiaan.

Demikian juga berkelakuan ganas dengan memonopoli media massa bagi membunuh karektor penentang dengan menyebar fitnah adalah bayangan manusia berhati kering yang tidak ada sifat-sifat kemanusiaan. Mereka membenarkan sifat kebinatangan malah kesyaitanan hidup subur dalam jiwa mereka, lantas bertindak ganas untuk terus berkuasa dulu, kini dan selamanya.

Dalam rumah tangga pula, ada suami mengganasi isteri; ada isteri mendera suami termasuk menyimbah asid malah yang sampai membunuh pula, manakala ada ibu bapa mendera anak dan ada juga anak yang mendera ibu bapa mereka termasuk yang sudah tua.

Kita menyeru agar dihentikan semua keganasan ini, agar keharmonian dapat dikembalikan di dunia. Marilah kita semua kembali merujuk contoh yang ditunjukkan oleh junjungan Rasulullah s.a.w. yang diiktiraf sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam.

Rasulullah s.a.w. lahir pada zaman kemuncak keganasan (jahiliah). Bunuh membunuh, tindas menindas adalah amalan lumrah pada masa itu. Namun syiar Islam telah merobek-robek segala keganasan ini, maka terpancarlah cahaya keamanan dari Timur dan Barat. Pada kemuncak kekuasaan Islam, diriwayatkan orang perempuan pun boleh melakukan safar yang aman dari Baghdad ke Makkah.

Tentunya rahsia keamanan ini adalah pegangan yang kukuh kepada ajaran Rasulullah s.a.w. Namun pada hari ini umat Islam yang berjumlah lebih dua billion itu tidak yakin untuk mengamalkan Islam sepenuhnya. Sekalipun ramai, mereka yang bagaikan buih-buih di lautan itu tiada kekuatan untuk menghadapi keganasan yang dihadapkan ke atas mereka.

Berdasarkan situasi memilukan ini, marilah kita mengkoreksi diri, memastikan diri kita, keluarga kita dan seterusnya masyarakat dan negara kita berada di jalan-Nya yang lurus, sekali gus selamat daripada keganasan dan kejahatan syaitan daripada kalangan jin dan manusia.

No comments: