Monday, May 16, 2011

Kalau padi (angin) katakan padi (angin), tidaklah saya tertampi-tampi…

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan kitab Allah serta mendirikan sembahyang, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki (keadaan hidupnya)." (Al-A'raaf Ayat 170)
***

BERSAWAH…sebutannya mudah, tetapi hanya orang yang pernah bersawah sahaja yang tahu betapa beratnya kerja-kerja di bendang. Daripada membersihkan petak sawah, menyediakan petak semaian, kemudian mencabut anak padi dan kemudian mengubahnya ke petak sawah, meracun dan merumput sambil menunggu padi membesar dan apabila padi sudah masak, memotong dan membantingnya seterusnya memikulnya ke rumah untuk dianginkan dan kemudian dijemur sebelum disimpan dalam gubuk – demikianlah antara kerja yang pernah saya lakukan ketika membantu ibu bapa mengerjakan sawah ketika saya kecil dulu.

Kali terakhir saya terbabit dalam kerja-kerja membantu ibu dan bapa di sawah adalah pada 1977 ketika saya di tingkatan tiga kerana pada tahun-tahun selepas itu orang kampung saya tidak lagi bersawah. Sawah yang terletak di pinggir Bandar Melaka itu telah ditinggalkan, bertahun-tahun lamanya kawasan sawah hanya dipenuhi rumput dan menerung; saya dengar antara sebabnya kerana kesukaran dari segi pengairan namun yang paling kuat hujahnya – anak-anak muda tidak berminat lagi dalam bidang pertanian, mereka mula bekerja kilang yang semakin banyak didirikan di kawasan perindustrian Batu Berendam dan Ayer Keroh.

Saya mula mengenal sawah dan berendam dengan airnya sejak berusia sembilan tahun. Pada musim bersawah, kerja-kerja awal adalah membajak sawah. Ini dilakukan traktor pembajak. Tugas saya adik beradik adalah mengangkat rumput-rumput yang sudah dibajak itu untuk dipupukkan di atas batas (ban). Kerjanya sungguh berat apatah lagi jika sawah itu sudah lama dibajak, rumput-rumput mula hidup. Bekerja di bawah sinaran mentari yang terik boleh membuatkan mata berpinar-pinar tetapi entahlah pada zaman kanak-kanak saya tidak peduli itu semua – saya rasa keseronokan apabila berjaya membersihkan sepetak dua, melihat sawah yang sudah bersih dengan airnya beralun-alun lembut dihembus angin bagaikan hiburan yang sungguh melekakan.

Tentunya di ruangan yang terhad ini tidak dapat diceritakan semua pengalaman saya menanam padi tetapi ada satu peristiwa yang saya akan ingat sampai bila-bila. Suatu hari berlaku hujan lebat. Pada petangnya selepas hujan berhenti, ibu suruh saya menjenguk sawah. Sebaik sampai terkejut besar saya melihat sebahagian daripada sebuah batas sudah runtuh. Air yang mengalir deras membadai anak-anak rumpun padi yang baru ditanam di situ (selepas diubah). Saya lihat ada rumpun yang sudah tercabut kerana kuatnya air yang mengalir.

Dengan segala kekuatan seorang budak berusia 10 tahun, saya pun mengangkat tanah dan lumpur untuk dengan membaiki batas yang runtuh itu. Disebabkan aliran air sungguh deras, usaha saya itu nampaknya sia-sia saja. Air terus membuak-buak menuju petak sawah; banyak rumpun padi sudah tercabut.

Mengapa menggunakan tangan, bukanlah lebih baik menggunakan cangkul bagi membongkah tanah seterusnya menambak bahagian yang runtuh itu, fikir saya. Saya mula bekerja keras, penatnya usahlah cerita. Namun ia membuahkan hasil, akhirnya saya dapat mengepang air sehingga tidak mengalir lagi. Saya tersadai di atas batas kepenatan, sayup-sayup kedengaran azan maghrib berkumandang; tidak sedar sudah berjam-jam saya membaiki batas yang runtuh itu.

Sebenarnya cerita saya bersawah ini mahu saya kaitkan dengan satu e-mel yang baru saya terima daripada seorang pembaca (biarlah namanya dirahsiakan) yang menulis: “Assalamualaikum, Saudara LanH. Saya salah seorang daripada ribuan pembaca yang selalu tidak’ miss’ untuk mengikuti rencana saudara dalam Harakah. Tahniah kerana begitu bernas.Kalau ada kesempatan saudara tulislah pula isu benih padi kerana penggunanya adalah petani-petani di seluruh negara. Benih padi hari ini bukan berkualiti sangat. Maknanya ada padi angin. Padi angin ini akan jejaskan hasil kerana sebelum tuai sudah luruh walau banyak dah komplen.

“Komplen daripada petani tapi tak ada yang nak membela. Sudahnya hasil tuaian kurang. Petani disalahkan kerana tidak jaga tanaman. Isu padi angin ini apabila dicerita akan jadi macam bangau oh bangau. Kasihan petani. Sekarang kerajaan buat sistem kuota kepada syarikat pengeluar. Benih lagilah teruk kualitinya Sebab nak penuhkan kuota ada syarikat pakai cincai je keluarkan benih.

“Mana boleh komplen banyak-banyak kerana ada juga yang syarikat pengeluar tu kroni menteri (ni ramai petani tahu). Tanya petani Selangor /Kedah semua boleh jawab. Apabila komplen kepada syarikat pengeluar dia orang kata Jabatan Pertanian yang lulus. Jabatan Pertanian mana boleh terima komplen, mereka mula panas. Apabila ada aduan tak mahu percaya. Sayang saya tak pandai menulis macam saudara. Saya harap saudara oleh bantu. Sekian terima kasih.”

Apabila menerima e-mel ini saya cuba-cubalah menghubungi dan menanyakan pegawai Jabatan Pertanian. Namun gagal mendapat sebarang respons. Saya kemudian membuka pencarian internet bagi memahami perkara ini. Dalam blog rasmi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (moa-gov.my) ada laporan menyatakan benih padi baru dijangka atasi kerugian hampir RM100 juta akibat padi angin.

Dua jenis benih padi baru kini dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) iaitu MR220CL1 dan MR220CL2 itu adalah hasil penyelidikan hampir tujuh tahun oleh Mardi dan sebuah syarikat bahan kimia, BASF. Benih MR220CL1 dan MR220CL2 ini akan ditanam di kawasan Felcra di Perak dan akan diguna di seluruh negara sekiranya hasil padi agensi padi itu meningkat.

Walaupun bergelumang di sawah padi ketika kecil dulu, saya tidak tahu apa itu padi angin. Dulu benih padi disemai di tapak semaian, sudah besar baru dipindahkan ke petak sawah tetapi sekarang kebanyakan petani menggunakan kaedah tabur. Bagi memahami masalah ini saya meneruskan pencarian dan berhasil menemui masalah padi angin ini dalam blog Ozzy di ozzy2u.blogspot.com.

Antara lain Ozzy menulis: “Antara masalah utama yang dihadapi oleh pengusaha sawah padi adalah serangan tumbuhan yang digelar padi angin.Padi angin ini tidak diketahui daripada mana puncanya, akan tumbuh dan merosakkan pokok padi yang sebenar.

“Bagi pengusaha sawah padi mereka beranggapan padi angin adalah ancaman terbesar yang mengakibatkan mereka mengalami kerugian yang sangat besar berbanding dengan serangan dari haiwan perosak seperti tikus dan siput gondang.Masalah ini menyebabkan ramai antara mereka yang mengeluh dan tidak kurang juga yang mula sudah putus asa untuk meneruskan penanaman selagi masalah ini tidak dapat diatasi.

“Apakah yang dikatakan padi angin. Sebelum ini aku juga tidak tahu menahu tentang masalah ini tetapi ketika berbual dengan saudaraku di kampung barulah aku tahu tentang perkara ini yang telah berlarutan sejak beberapa tahun dulu. Padi angin adalah padi yang tiba-tiba tumbuh di samping padi sebenar yang kita tanam. Padi angin juga mengeluarkan hasil/biji padi tetapi hasil tersebut hanya berbentuk seperti hampas padi dan mudah terlerai apabila disentuh atau ditiup angin. Apabila padi yang ditanam hampir masak dan tiba waktu untuk menuai, padi angin ini hampir kesemuanya atau sekitar 90 peratus akan gugur dengan sendirinya.

“Hasil penyelidikan oleh pihak Jabatan Pertanian pula mereka mendakwa padi angin ini terbentuk dari pada campuran/kacukan padi liar dengan padi sebenar. Padi liar ini dikatakan telah tersebar sejak sekian lama sekitar tahun 80-an namun jumlahnya agak terkawal tidak seperti apa yang dialami oleh petani sekarang ini.”

Saya tidak memahami mengapa padi angin menjadi isu sehingga membaca laporan Selangorkini bertarikh 20 Disember lalu dengan tajuk ‘Noh cuba lari daripada isu sebenar petani’.

SHAH ALAM, 20 Dis (2010) - Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari, mendakwa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Noh Omar lari daripada menjawab persoalan sebenar yang membelenggu para pesawah di kawasan Tanjong Karang.

Dihubungi TVSelangor, Yaakob menjelaskan isu yang disuarakan pesawah dalam akhbar Selangorkini sebelum ini ialah berkaitan benih padi yang kurang berkualiti sehingga mereka terpaksa menanggung kerugian kerana hasil tanaman rosak akibat padi angin.

Pembekalan benih padi yang dahulunya dikendalikan Jabatan Pertanian diserah kepada syarikat swasta yang dimiliki oleh Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tanjong Karang yang tidak mampu membekalkan benih padi berkualiti kepada petani.

Yaakob berkata demikian bagi mengulas reaksi Noh Omar mengenai isu tersebut di akhbar Sinar Harian, seolah-olah cuba mengalih tumpuan pembaca dengan mencabar kerajaan negeri membeli hasil padi petani.

Sebaliknya, para petani merungut hasil padi kurang akibat benih padi yang diterima kurang berkualiti, malah turut mempersoalkan tindakan Kementerian Pertanian menswastakan Skim Penanaman Benih Padi atau SPBP.

“Noh tidak menjawab isu sebenar, isu yang dibangkitkan oleh petani ialah berkaitan isu benih padi yang diswastakan oleh kementerian kepada sebuah syarikat, maknanya ia telah memonopoli pembekalan benih padi di kawasan Tanjung Karang dan Sabak Bernam,” katanya.

Jadi isu padi angin sebenarnya besar di kalangan petani, itulah sebabnya pembaca prihatin itu meminta saya menulis mengenainya. Namun disebabkan kedangkalan ilmu dan maklumat, tidaklah berdaya saya membentangkan isu ini dengan bernas.

Namun saya teringatkan pantun ini yang mungkin boleh meredakan sedikit keadaan:

Kalau padi (angin) katakan padi (angin),
Tidak saya tertampi-tampi,
Kalau sudi katakan sudi,
Tidaklah saya ternanti-nanti.

1 comment:

Unknown said...

salam..boleh saya dapatkan maklumat tentang apa itu tampi padi??dan berasal dari mana??? terima kasih..