Friday, May 6, 2011

Ada perangai orang British wajar dicontohi

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Maksud Surah Ar-Rum: 21)

***
PERKAHWINAN pewaris taktha Britain, Putera William dan Kate Middleton dilaporkan ditonton dua bilion peminat di seluruh dunia. Mungkin sesetengah orang dapat ilham menyaksikan betapa berbudaya, kemas dan protokolnya pihak Istana dan kerajaan British dalam meraikan majlis perkahwinan ini yang mengundang hampir semua raja atau wakil mereka dari seluruh pelosok dunia.

Penonton dari rantau Asia Tenggara pasti teruja melihat siaran menunjukkan kehadiran Yang di-Pertuan Agong serta Permaisuri Agong dan Sultan serta Permaisuri Brunei kerana kedua-dua wanita tersebut bertudung litup.

Orang British terkenal dengan stail dan gaya mereka. Mereka mempertahankan tradisi dan budaya termasuklah dari segi penampilan (berpakaian) bercakap dan bergaya penuh sopan, namun mungkinkah ini benar bagi generasi lama, semakin lama semakin pudar di kalangan golongan muda?

Ketika mengunjungi Britain tidak lama dulu, saya dapati apa yang didakwa sebagai stail dan sifat sopan santun orang British memanglah benar dan bukan dibuat-buat. Ketika sampai di Lapangan Terbang Manchester, seorang pegawai imigresen ‘mat salih’ dengan penuh sopan mengalu-alukan kedatangan saya. Malah dia sempat membuat lawak, membuatkan saya cepat rasa selesa walaupun berada di sebuah negara asing.

Keceriaan ini sukar saya ditemui di lapangan terbang antarabangsa lain. Di Moscow, pegawainya masam mencuka, di Teheran juga begitu, dan yang paling mendukacita pegawai imigresen di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah yang bekerja seolah-olah tiada manusia di depan mereka. Mungkinkah mereka tidak ada perasaan sesama manusia (human contact) kerana sudah terlalu terbeban bekerja menguruskan kemasukan jemaah haji dan umrah yang jutaan orang itu?

Orang British penuh protokol walaupun di kalangan orang awam dan di tempat awam pula. Misalnya untuk menaiki bas, penumpang beratur; demikian juga di kuanter-kuanter bayaran di pasar raya.

Pernah suatu ketika, saya yang sudah berada di kaunter untuk membayar dua helai kemeja diminta kasyier kembali ke tempat saya mengambil barangan itu kerana katanya saya perlu mendapat satu baju ‘free’. “Bolehkah saya tidak mengambil baju itu?” tanya saya yang malas ke tempat asal.

Jawapannya tidak boleh, kalau sudah dibagi ‘free’ kena ambil, tidak boleh tidak ambil. Demikian ‘ketat’ undang-undang di sini, kalau katanya sudah bagi ‘free’, kena ambil, tidak ambil sudah menjadi satu kesalahan. Maka terpaksalah saya ke tempat berkenaan yang agak jauh dan apabila kembali terus ke kaunter bayaran, memotong barisan panjang pembeli.

Mereka yang beratur itu memandang saya semacam saja, rasanya bagai mahu ditelan-telannya saya. Tetapi saya buat selamba, nasib baiklah si kasyier cepat-cepat menerima baju saya dan membereskan urusan saya dengan segera. Kalau tak malulah saya, kerana terpaksa beratur di belakang ‘mat-mat salih’ yang masam mencuka.

Menaiki pengangkutan awam juga pengalaman mengujakan. Ketika mahu menaiki bas National Express di stesen bas Manchester ke London, pemandu bas bertopi mengalu-alukan kedatangan dengan mengucapkan selamat siang. Di tanah air sudah ratusan malahan ribuan kali saya menaiki bas ekspres, tidak pernah pemandu mengucapkan selamat kepada saya apatah lagi memberi salam.

Bas bertolak tepat pada masanya dan paling menakjubkan tiba di destinasi pada waktu yang tertera di tiket. Bas itu bertolak tepat 11.00 pagi dan tiba di stesen Victoria, London jam 4.30 petang seperti dijanjikan! Mungkinkah orang British sangat menghargai dan menjaga masa manakala janjinya tepat – kamu bayar dan kami sediakan perkhidmatan sama seperti dijanjikan.

Pengumuman yang dibuat dalam pengangkutan awam juga menarik perhatian saya. Suara ‘British accent’ (sebutan British) yang lembut terngiang-ngiang di kepala. Bagi orang awam pula, mereka tidak lokek dengan istilah seperti ‘excuse me’ (minta maaf) ketika terbersin dan batuk dan ‘thank you’ (terima kasih).

Tandas awamnya pun bersih, walaupun tidak ada bekalan air untuk dibuat ‘cebuk’ seperti di tanah air.

Stail orang British di meja makan restoran juga menarik perhatian saya. Mereka, terutama golongan tua boleh duduk lama-lama di meja sambil menikmati secawan kopi atau teh sambil berbual-bual panjang. Mereka minum sikit-sikit (sipping), mungkin merasai dan kenikmati keenakan kopi atau teh agaknya. Mereka tidak terburu-buru seperti sesetengah orang kita, menggogop dengan kasar dan cepat-cepat beredar.

Orang British ada stail atau seni sekalipun sedang makan. Mereka makan perlahan lahan, gigit sedikit-sedikit dan kunyah lama-lama. Sekalipun kita fikir mereka menghabiskan banyak masa di meja makan, sebenarnya inilah cara terbaik menikmati sesuatu hidangan. Makan dengan perlahan-lahan dan penuh nikmat, itulah antara pembawa kebahagiaan dalam kehidupan.

Berdasarkan pengalaman singkat melihatkan betapa stail dan bergayanya orang British, mengertilah saya mengapa mereka bermatian-matian mempertahankan budaya hidup ini. Jadi tidak menghairankan jika keluarga diraja British dapat menjayakan sebuah majlis perkahwinan gilang gemilang penuh protokol gaya British yang diikuti penuh minat di seluruh dunia!

No comments: