***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang Mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh." (QS: Adz-Dzariyat 56-58)
***
TANGGAL 3 Mei setiap tahun diisytiharkan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia. Sebagai insan yang sudah terbabit suku abad dalam dunia persuratkhabaran, tentunya perkembangan di bidang ini terutama di dalam negara menarik perhatian penulis.
Ketika sesetengah akhbar terutama yang berbahasa Melayu hanyut dalam isu fitnah termasuk menyiarkan gambar-gambar lucah dan ada kalanya membakar isu perkauman, adalah perlu untuk institusi pendidikan terutama yang terbabit terus dalam bidang media massa mengorak langkah mentarbiyah bakal wartawan (pengamal media) masing-masing.
Di institusi pengajian tinggi negara, setakat yang saya tahu, tiada lagi fakulti, sekolah, atau pun akademi Kewartawanan Islam. Perkara ini masih asing, sama seperti Perniagaan Islam atau Perbankan Islam suatu ketika dulu.
Jika Perniagaan Islam dan Perbankan Islam malah Kejururawatan Islam dapat disemarakkan dan kini diterima sebahagian besar rakyat - Islam dan bukan Islam - sebagai pengajian di institusi pengajian tinggi dan diamalkan dalam kehidupan seharian, mengapa tidak perkara yang sama digerakkan dalam memajukan Kewartawanan Islam.
Bagi melahirkan wartawan dan penulis yang tunduk dan akur kepada apa yang boleh dan tidak boleh (halal dan haram) dalam mereka menjalani tugas kewartawanan masing-masing, adalah wajar bakal wartawan dibimbing dan dididik dalam sebuah institusi formal yang menawarkan 'Kewartawanan Islam'.
Media Islam mesti bermatlamat untuk melahirkan masyarakat yang dapat melaksanakan tugas-tugas kepada Allah dan ia hendaklah membimbing akal fikiran manusia ke arah kebaikan di dunia dan akhirat.
Laporan berita fitnah dan penyiaran bahan lucah seperti yang berleluasa hari ini dan paling sedih dilakukan sendiri oleh peneraju-peneraju akhbar dan media elektronik yang beragama Islam, tidak memenuhi kehendak ummah yang mahu berfikir, apatah lagi mengaku sebagai seorang Muslim.
Apatah lagi sekarang ini dengan kemajuan teknologi perhubungan seperti internet, facebook, twitter dan blog, semua orang boleh menjadi penulis yang berupaya mencapai ribuan malah jutaan pembaca.
Dalam al-Quran (Ayat 6, Surah Al-Hujurat), Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan kecelakaan kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."
Berdasarkan maksud firman Allah SWT ini, adalah penting untuk pengamal media dan cendekiawan mengambil iktibar untuk mewujudkan (atau jika sudah ada, memantapkan) satu cabang ilmu - 'Kewartawanan Islam'. Bidang ini kurang mendapat perhatian jika dibandingkan dengan 'Kewangan Islam', 'Perbankan Islam', 'Ekonomi Islam', 'Insurans Islam' dan pelbagai skop pengajian lain yang digandingkan dengan nama 'Islam'.
Mungkin ada pihak yang berhujah 'Kewartawanan Islam' tidak segah bidang disebutkan (seperti kewangan dan perbankan) yang membabitkan soal wang tetapi berdasarkan perkembangan teknologi maklumat yang begitu pantas, cabang ilmu ini perlu diterokai, dijelas dan diperkemaskan.
Dua puluh atau 30 tahun lalu, tiada orang bercakap mengenai 'Insurans Islam' atau 'Perbankan Islam' sebagai satu subjek di pusat pengajian tinggi, tetapi kini ia sudah menjadi kenyataan. Begitulah diharapkan dengan 'Kewartawanan Islam', tetapi persoalannya kini, siapa dan di mana ilmu ini hendak disuburkan.
Jika pihak swasta yang terbabit dalam dunia penyiaran dapat merintis jalan dalam menubuhkan akademi kewartawanan dan penyiarannya, tidak ada sebab individu atau kumpulan orang Islam yang berkemampuan sama ada dari segi kewangan atau keilmuan untuk menubuhkan sebuah 'akademi kewartawanan Islam' ataupun sekurang-kurang menghasil sejumlah karya-karya bermutu mengenai kewartawanan Islam.
Ini setidak-tidak akan menjadi cabaran kepada perkumpulan orang Islam, sama ada yang berkaitan dengan politik atau tidak, untuk membuktikan bahawa Islam mencakupi semua aspek kehidupan, hatta dalam pemberitaan dan pelaporan (kewartawanan) kerana media sudah menjadi dominan dalam masyarakat moden.
Sekolah-sekolah kewartawanan dan komunikasi di pusat pengajian tinggi sarat dengan segala ilmu dan teori oleh tokoh-tokoh Barat (dari Amerika dan Eropah) tetapi tidak mengetengahkan langsung seorang pun sarjana Islam dalam bidang berkaitan. Tidak juga dikutip sebarang ayat-ayat al-Quran atau hadis berhubung bidang komunikasi dan kewartawanan.
Pendek kata, hari ini kita dapat saksikan betapa jauh dan terpisahnya bidang kewartawanan dan keagamaan menyebabkan ada pengamal media yang mengaku beragama Islam gagal membezakan antara perkara yang dibenar dan tidak dibenarkan (halal dan haram) dalam mereka menjalankan tugas masing-masing, (atau mereka berpura-pura tak tahu) lantas mereka berterusan menyemarakkan fitnah dan kelucahan melampau!
No comments:
Post a Comment