***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
* Renungan
KEWAJIPAN SUAMI MELINDUNGI ISTERINYA
Barang siapa membimbing isterinya meskipun hanya dengan satu perkataan, nescaya Allah membebaskannya belenggu api neraka daripadanya, mewajibkan baginya masuk syurga, ditetapkan baginya 100,000 kebaikan dan diangkat baginya 100,000 darjat.
Ishak bin Ammar bertanya kepada Imam Ja'far al-Shadiq tentang hak isteri ke atas suaminya. Jawab Imam, "Mengenyangkan perutnya (memberi makan), memberikan pakaian, dan memaafkannya jika ia (berbuat) bodoh."
Dalam riwayat lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tidakkah seorang hamba (mencari nafkah), lalu kemudian memberikannya kepada isterinya, kecuali akan membalasnya dengan 700 kali lipat daripada nafkah yang ia berikan kepada isterinya."
Selain itu, Rasulullah s.a.w. pun bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik umatku, adalah tidak mementingkan diri terhadap keluarganya, sentiasa merindukan mereka, serta tidak menzalimi mereka."
Kemudian Rasulullah s.a.w. membacakan ayat berikut yang bermaksud: "Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerananya Allah telah melebihkan sebahagian mereka (suami) atas sebahagian lainnya (isteri), lantaran mereka (suami) adalah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. Kerana itulah, adalah isteri yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana itu Allah telah memelihara mereka." (QS. An-Nisa', ayat 34) - Majalah HIDAYAH Rabiulawal 1432(Mac 2011)
***
MASANYA 8.40 malam, Jumaat 11 Mac 2011. Saya dan seorang anak berusia 16 tahun berdiri dan merenung jauh di jambatan pejalan kaki (merentasi landasan kereta api) dari stesen-stesen kereta api ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan (BTS).
Saya rasa seronok menyaksikan kereta api Express Rail Link (ERL) dan kereta api ekspres Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB bergerak laju membelah kegelapan malam. Kereta api jenis ekspres ini tidak berhenti di stesen Bandar Tasik Selatan, yang singgah di stesen ini adalah kereta api transit baik dikendalikan ERL dan KTMB (komuter). Satu lagi pengendali perkhidmatan kereta api di stesen bersepadu ini adalah Keretapi Aliran Ringan (LRT) milik RapidKL.
Disebabkan jadual perlepasan bas ekspres jam 9.00 malam, kami mempunyai sedikit masa untuk menikmati keindahan suasana dan pemandangan itu. Bagi saya menyaksikan kereta api-kereta api berkenaan bergerak laju, menimbulkan ketenangan sekali gus mengembalikan nostalgia saya menaiki kereta api KTM setiap kali cuti penggal sekolah bagi perjalanan Tampin-Kuala Kangsar dan sebaliknya ketika saya di bangku sekolah menengah pada tahun 1970-an dulu.
Perjalanan dengan kereta api pada zaman remaja itu begitu mengasyikan. Saya dan rakan-rakan pernah duduk di tepi tangga kereta api yang bergerak laju, menyanyi dan melalak dan suatu ketika selipar yang saya pakai terjatuh, nasib baik bukan saya yang terhumban, kalau tak, mungkin sudah sudah jadi allahyarham.
Suatu lagi kegemaran saya ialah meletakkan kaki di celah bangku depan tempat saya duduk. Zaman itu, tempat duduk dalam kereta api kelas tiga agak daif, ada ruang antara tempat melabuhkan punggung dan penyandar. Suatu hari selipar yang saya pakai terkena punggung seorang penumpang di depan.
Belum sempat saya memohon maaf, dia merentap selipar itu dan menghayunkannya ke tubuh saya. Maka terkebil-kebillah biji mata saya; saya perhatikan banyak sungguh mata memandang diri saya yang jika saya berpeluang menatap cermin ketika itu, tentulah terlihat muka saya merah padam menahan malu. Sungguh saya tidak dapat melupakan kejadian yang mengingatkan saya supaya berhati-hati dalam hidup ini termasuklah tidak berlaku kurang ajar pada orang lain.
Selepas puas merenung kegelapan malam itu dengan sesekali kelihatan lampu kereta api yang bergerak laju, kami pun beredar ke bangunan TBS. Ketika dalam LRT RapidKL yang kami naiki dari pusat kota KL menghampiri stesen Bandar Tasik Selatan , bangunan enam tingkat yang tersergam ini sudah kelihatan. Menjejaki kaki ke dalam bangunan ini, seseorang itu merasakan dirinya bagaikan berada di sebuah lapangan terbang. Lantainya berkilat, udaranya dingin.
Kelihatan beberapa ruang niaga sudah beroperasi, tetapi kebanyakannya masih kosong, mungkin kos sewanya tidak mampu ditanggung peniaga tempatan. Dengar khabar, sebuah lot bagi perniagaan makanan segera sewanya RM50,000 sebulan!
Kuanter tiket banyak, di bahagian depan dikendalikan sendiri oleh syarikat pengurusan terminal, TMAS manakala di bahagian belakang, syarikat bas ekspres besar seperti Transnasional dan KKKL mempunyai kuanter sendiri.
Syarikat ini hanya berpindah ke TBS-BTS mulai 1 Mac selepas persetujuan dicapai dengan TMAS berhubung pelbagai perkara termasuk isu kuanter tiket, sedangkan Lembaga Perlesenan Kenderaan Komersil (CVLB) yang dipengerusikan Halimah Sadique dulunya berkeras semua bas ekspres dari selatan beroperasi di TBS mulai 1 Januari.
Penjualan dan tempahan tiket dibuat melalui penggunaan komputer bersepadu malah pengguna boleh membelinya sendiri secara ‘online’. Bagi menaiki bas pula, disediakan sejumlah pintu (sama seperti di lapangan terbang); hanya mereka yang mempunyai tiket dibenarkan turun dengan menggunakan eskalator ke balai berlepas. Di depan eskalator disediakan pengawal yang memeriksa tiket penumpang.
Tempat ‘berlepas’ dan ‘ketibaan’ berasingan; di tempat ketibaan disediakan sejumlah petak bas dan eskalator di mana penumpang yang turun akan segera menaiki eskalator ke balai ketibaan manakala bas-bas juga akan segera bergerak menuju ke sebuah tempat menunggu yang luas yang terletak agak jauh daripada bangunan terminal.
Pendeknya pergerakan bas dan penumpang begitu efisyen. Bagi penumpang mereka mempunyai pelbagai pilihan sama ada membeli-belah atau beriadah di bangunan terminal atau menyambung perjalanan dengan menggunakan bas henti-henti, teksi, bas ekspres atau menggunakan perkhidmatan tiga rangkaian kereta api – ELR, Komuter KTMB dan LRT RapidKL termasuk untuk ke ibu kota.
Berdasarkan pengamatan penulis, benarlah dakwaan sesetengah pihak bahawa TBS-BTS ini adalah hab pengangkutan masa depan kerana keselesaan, kecanggihan dan kemudahannya malah ia adalah revolusi kepada pengangkutan awam negara yang selama ini dianggap teruk dan tidak efisyen, tetapi persoalannya bolehkah ia terus beroperasi dalam keadaan tidak membebankan pengguna yang kebanyakannya daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah serta juga pengusaha pengangkutan awam?
Misalnya, dulu ketika mahu beroperasi, setiap penumpang dicadangkan membayar RM1 tetapi ia tidak dilaksanakan selepas dibantah pelbagai pihak. Caj bas memasuki pusat ini juga telah dikurangkan demikian juga pengendalian kuanter tiket yang tidak semuanya dikendalikan oleh TMAS kerana dibantah pengusaha bas. Tandas awam juga masih percuma, tidak tahu bayaran akan dikenakan selepas terminal ini beroperasi sepenuhnya.
Sewa lot-lot perniagaan di TBS juga dikatakan amat mahal, dikhuatiri akan menyebabkan harga barangan, perkhidmatan dan makanan akan melambung tinggi memungkinkan rakyat kebanyakan tidak mampu berbelanja di sini. Laporan juga menyebutkan ramai peniaga tempatan seperti penjual akhbar dan jajan (seperti kacang dan keropok) enggan mendapatkan ruang niaga di sini kerana sewanya di luar kemampuan mereka!
No comments:
Post a Comment