Tuesday, March 29, 2011

Berbilion terima kasih – ilham terbaru daripada pemimpin Umno-BN

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
“Dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Maksud ayat 26-27 Surah Al-Isra’)
***

DULU apabila seseorang atau pihak terasa terhutang budi, dia akan mengungkapkan ‘jutaan terima kasih’. Ungkapan ini biasa kita temui pada bahagian akhir surat ataupun dinyatakan seseorang pada permulaan atau pengakhiran ucapannya sebagai tanda penghargaan kepada pihak berkenaan.

Namun sekarang saya terlihat dan terdengar ungkapan 'berbilion terima kasih’.

Tidak tahulah saya sama ada perkembangan ini sesuatu yang positif atau negatif, yang jelas ungkapan itu lahir daripada kecenderungan pemimpin Umno-BN dan media budak suruhannya yang gemar mengumumkan projek berbilion-bilion ringgit. Apabila PM mengumumkan projek, kerap terkeluar daripada mulutnya berbilion-bilion ringgit.

Agaknya bagi masyarakat terutama orang Melayu dulu, angka tertinggi yang biasa padanya adalah jutaan sebab itu timbul ungkapan ‘jutaan terima kasih’ tetapi pemimpin Umno-BN telah mengajar mereka ‘mengenal’ angka bilion sebab itu kini ada pula ungkapan ‘berbilion terima kasih’.

Seorang pengkaji budaya dan bahasa Melayu yang hanya mahu dikenali sebagai Cikgu Zu berpendapatan perubahan ‘angka’ yang dipadankan pada ucapan terima kasih membayangkan bahawa masyarakat kini semakin materialistik yang melihat keberuntungan sebagai matlamat mereka.

“Pemimpin menggegarkan minda mereka dengan projek berbilion-bilion ringgit, jadi mereka memuntahkannya kembali dengan mengungkapan ucapan berbilion terima kasih dan berbilion tanda penghargaan,” katanya.

Bagi beliau ada kesan positif dan negatif daripada perkembangan ini tetapi yang negatif lagi banyak kerana ‘budaya kebendaan’ sudah terlalu jauh meresap dalam kehidupan masyarakat.

“Nilai-nilai murni dalam masyarakat semakin terhapus, orang kini melihat kepada wang ringgit semata-mata, anda ada ribuan atau jutaan ringgit itu mungkin dianggap masih kecil kerana generasi baru hebat memperkatakan berbilion-bilion ringgit,” katanya.

Seorang penganalisis masyarakat, Abdullah Long berkata, perkembangan berkaitan isu rasuah juga membimbangkan kerana tertuduh misalnya dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membabitkan berbilion-bilion ringgit demikian juga tuntutan harta sepencarian isteri anak Ketua Menteri Sarawak yang mahu mendapatkan separuh daripada harta berbilion ringgit, menggambarkan masyarakat sudah terlalu dahsyat sikap kebendaannya.

Beliau berpendapat hal ini disuburkan oleh pemimpin Umno-BN yang daripada peringkat tertinggi sehingga bawah kerap menguar-uarkan atau dibabitkan dengan kesalahan membabitkan wang berbilion-bilion ringgit.

“Bagi mereka wang jutaan adalah kecil saja (ingat kes membawa berguni-guni wang ke Australia atau rasuah pemimpin membina istana), jadi rakyat terikut sama, mereka beransur-ansur meninggalkan ucapan ‘ribuan atau jutaan terima kasih’ sebaliknya mula mengungkapan ‘berbilion terima kasih’,” katanya.

Perubahan ungkapan ini mengingatkan kita bahawa pemimpin Umno-BN bagaikan enau melepaskan pucuk masing-masing, kini mereka gemar menonjolkan diri serta memikat rakyat dengan sebutan projek berbilion-bilion ringgit.

Kedudukan dan pangkat dan kuasa menjadi impian. Semua berebut jawatan tertinggi. Matlamat menghalalkan cara, yang penting aku berada di kemuncak kuasa. Itulah Umno, dulu kini dan selamanya, jadi tidak hairan lagi jika bukan jutaan ringgit bertukar tangan tetapi kini berbilion-bilion ringgit.

Siapa kuasai berbilion-bilion ringgit dialah akan dinobatkan sebagai pemimpin. Tiada berbilion ringgit, tiadalah peluang berada di singgahsana kuasa sebab itu pemimpin mereka seperti bekas PM, Dr Mahathir Mohamad pernah memberi amaran bahawa rasuah politik yang membarah dalam Umno perlu diberhentikan jika ingin melihat parti itu terus hidup.

Pemimpin Umno-BN berebut kuasa untuk berada di puncak sebab pada kedudukan itu mereka boleh mendapatkan berbilion-bilion ringgit. Tak percaya, tanyalah kepada bekas Presiden MCA, Dr Ling Liong Sik dan timbalannya yang kini dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menipu PM ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi membabitkan wang berbilion-bilion ringgit.

Untuk mendapatkan berbilion-bilion ringgit, mereka asyik bergauh. Baik Umno, MCA dan MIC, pemimpinnya asyik bercakaran untuk berada di puncak kuasa. Mereka yang sudah berkuasa enggan melepaskan jawatan.

Mereka mahu menjadi presiden ‘dulu, kini dan selamanya’. Sepatutnya mereka bersatulah, membangunkan bangsa, negara dan agama seperti yang sering dia orang ucapkan. Ini asyik bergaduh aja. Apabila bergaduh banyaklah tenaga, wang ringgit dan apa saja dibelanjakan untuk tujuan tidak berfaedah.


Merebut jawatan di puncak yang menjanjikan akses kepada wang berbilion-bilion ringgit menyebabkan banyak perkara tidak diingini berlaku. Sekalipun ini membabitkan orang politik, rakyat menderita akibatnya.

Misalnya pada tahun 1988 berlaku satu kejadian teramat dahsyat. Sebab asyik saman menyaman dan tidak puas hati (tentunya untuk berada di puncak kuasa yang dapat akses kepada berbilion-bilion ringgit), dalam satu kes, mahkamah putuskan Umno parti tidak sah. Ertinya Umno sudah mati.

Masalahnya, Umno dibangunkan kembali dari kubur oleh Dr Mahathir. Itulah Umno Baru (Umno-B). Tetapi Dr Mahathir bijak, dia buang B, maka dipakaikan Umno saja sampai hari ini.

Demikianlah betapa kerap Umno, MCA dan MIC malah parti kecil seperti PPP berpecah. Menyusahkan rakyat saja. Bukankah lebih baik semua tenaga yang ada digembleng untuk kebajikan rakyat. Ini asyik bergaduh saja, dulu, kini dan selamanya.

Apabila banyak wang, tenaga, dan fikiran digunakan untuk bergaduh dan menaikkan diri sendiri, bila agaknya rakyat dapat ditolong. Jika inilah halnya sepanjang masa, maka wang berbilion-bilion ringgit itu akan masuk ke kantung mereka atau dimanfaatkan untuk rakyat? Jika untuk rakyat baguslah, izinkanlah saya dan pembaca ucapkan BERBILION terima kasih!

1 comment:

Blog Tuan Hamba said...

ASLKM. SAYA TERTARIK DENGAN ARTIKEL YANG TUAN TULISKAN. DENGAN BAHASA YANG MUDAH DIFAHAMI. SEMOGA MENJADI BUAH RENUNGAN KEPADA YANG SUDI MEMBACANYA. MINTA IZIN UNTUK COPY UNTUK KEBAIKAN PEMINAT POLITIK. SEKIAN TK.