***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Apakah mereka menyangka bahawa Kami telah memberikan kepada mereka kekayaan dan anak-anak. Padahal, Kami ingin menyegerakan memberi kebaikan untuk mereka, tetapi mereka tidak mahu mengerti." (Al-Mukminun 23: 55-56)
***
PADA hari penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Melaka dan Kerdau di Pahang (26 Februari 2011), hampir semua akhbar harian menyiarkan berita utama muka depan bahawa harga minyak RON 95 tidak akan dinaikkan. Ini satu janji pemerintah kepada rakyat; peribahasa Melayu ada berbunyi kerbau dipegang pada talinya, manusia pada janjinya.
Akhbar Utusan Malaysia menyiarkan berita harga minyak tidak naik dengan tajuk besar ‘RM10.3b kekalkan RON 95 (Setiap keputusan mengambil kira bebanan kepada rakyat – PM); Berita Harian juga menyiarkan perkembangan yang sama dengan tajuk ‘Ringan beban rakyat’ (Harga RON95 kekal, subsidi ikut keperluan; kerajaan kawal kos sara hidup, kadar inflasi) manakala New Straits Times juga melaporkan hal yang sama dengan tajuk ‘RON 95 price stays (Govt may increase fuel subsidy if Mid-East unrest continues, says PM).
Apabila seseorang membuat janji, janji itu perlu ditepati. Hal ini perlu difahami setiap Muslim dan Muslimat, lebih-lebih lagi pemerintah kerana mereka bertanggungjawab kepada banyak pihak (rakyat jelata) sedangkan janji orang kebanyakan mungkin membabitkan seorang atau beberapa individu saja. Jadi bahana pemerintah berdusta terhadap janji mereka adalah tersangat hebat; mereka akan dimalukan di dunia dan juga akhirat.
Secara kebetulan pada kuliah subuh mingguan di masjid berhampiran rumah penulis pada Ahad, 27 Februari, ustaz memuzakarahkan bab berkaitan ‘imam’ (pemimpin) yang memungkiri janjinya daripada kitab Bahru Al-Madzi (Syarah Mukhtashar Shahih At-Tirmizi, Juzuk 11) susunan Syeikh Muhammad Idris Al-Marbawi. Menurut ustaz, penyusun ini adalah satu-satunya anak Melayu mensyarahkan hadis-hadis yang dikumpul At-Tirmidzi yang kitabnya ada di perpustakaan terkemuka dunia Islam temasuklah di Makkah Al-Mukarramah.
“Islam melarang keras imam (pemimpin) mungkir janji termasuklah janji kepada orang bukan Islam,” kata ustaz. “Pemerintah yang menipu teramat besar dosanya,” kata beliau lalu merujuk kepada hadis dan tafsir dalam kitab Bahru Al-Madzi. “Daripada Ibnu Umar, katanya: ‘Telah aku dengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam, bersabda ia: Bahawasanya yang menyalahi janji, dirikan baginya bendera pada hari kiamat.” (Hasan Shahih)
“Ketahuilah kiranya, ya saudaraku! Telah dikeluarkan oleh Abu Isa At-Tirmidzi satu hadis yang menunjukkan ada bagi tiap-tiap orang yang menyalahi janji di dunia, iaitulah begini bunyi hadisnya, yang bermaksud: “Diriwayatkan daripada seorang sahabat bagi Nabi Shallallahu alaihi wassalam, namanya Abdullah bin Umar radhiyallahu anhuma, katanya: Telah aku dengar Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam, bersabda ia: Bahawasanya orang yang menyalahi janji itu didirikan baginya bendera pada hari kiamat di punggungnya.”
Maka bendera itu diangkat tinggi atas kadar menyalahi janjinya kerana memasyhur kepada alim akan tabiatnya di dunia. Maka yang lebih besar bendera ialah bendera raja yang menyalahi janji dan diberitahu pada sekalian bendera itu dengan kata: “Inilah penyalahi janji si anu.” Kata Abu Isa hadis ini hasan shahih.
Menyalahi janji itu haram, istimewa pula daripada orang yang mempunyai pemerintahan kerana menyalahi janjinya membawa kepada mudarat melampau kepada makhluk yang banyak
Dan kata ‘qil’: Sebab haram berlebih-lebih orang yang mempunyai pemerintahan itu kerana ketiadaan yang memaksakan dia kepada menyalahi janji oleh kekuasaannya atau menyempurnakannya, sebagaimana yang datang ia pada hadis yang shahih pada membesarkan dosa bohong raja besar.” ( Bahru Al-Madzi, Juzuk 11, muka surat 225-226)
Ustaz berkata di dunia lagi pelanggar janji akan menerima balasan tetapi di akhirat mereka akan diberikan tanda (bendera) sebagai PENIPU dengan dimalukan pada sekalian makhluk. “Pemimpin diberikan amanah, tetapi jika mereka khianat, mereka akan menerima pembalasan sungguh dahsyat,” kata ustaz.
Menurut ustaz, kalau tidak boleh menunaikan janji janganlah dibuat janji kerana akibatnya tersangat dahsyat.
Berhubung janji yang dibuat oleh pemerintah terutama kenaikan harga minyak, marilah kita rujuk kepada janji-janji manis mereka pada setiap kali menjelang pilihan raya. Misalnya pada hujung tahun 2010 bagi menghadapi pilihan raya kecil Galas, seorang menteri memberi jaminan harga petrol tidak akan naik pada tahun berkenaan tetapi belum pun tahun itu berakhir harganya dinaikkan. Kenapa cakap tak serupa bikin, tidak takutkah ancaman keras Allah SWT terhadap pemimpin menyalahi janji?
Kini pemerintah berjanji lagi, harga petrol tidak akan dinaikkan. Rakyat yang dipancing untuk mengundi calon mereka didendangkan lagu sama. Terpegun rakyat dengan laporan hebat - ‘harga minyak tidak akan naik’. Mereka bergembira tetapi persoalannya berapa lama?
Berdasarkan pengalaman, yang mutakhir ketika pilihan raya kecil Dun Tenang, sebaik saja Umno-BN diisytiharkan memang, pada malam itu jaga harga petrol RON 97 dinaikkan; jadi dulu, kini dan selamanya rakyat marhaen tertipu.
Memang betul kebanyakan rakyat marhaen tidak gunakan RON 97, tetapi kenaikan harga bahan bakar ini menyebabkan barangan keperluan harian melambung tinggi. Rakyat akan terus sengsara. Jadi kepada pemimpin, marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri, janji perlu ditepati jika tidak buruk pengakhiran seseorang di dunia manakala balasan dahsyat menunggu di akhirat nanti!
No comments:
Post a Comment