Sunday, March 13, 2011

Merlimau: Emas juga dipandang orang…

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Janganlah kamu berputus asa pada apa yang hilang daripada tangan kamu dan jangan berasa bangga terhadap apa yang diberikan Allah kepada kamu." (Al-Hadid 57:23)
***

SAYA pernah meluahkan pantun ini dalam sebuah artikel dan kemudian menerima jawapannya daripada seorang pembaca.

Puas sudah kutanam padi,
Lalang juga memenuhi ladang,
Puas sudah kutanam budi,
Emas juga dipandang orang.

*****
Nun di akhirat menjadi taruhan,
Tempat kita merdeka selamanya,
Budi dan emas hanyalah ujian,
Tanda keadilan Yang Maha Kaya.

Sebagai penduduk yang tinggal berhampiran Merlimau dan mempunyai saudara di sana, sepanjang pilihan raya kecil Dun ini (tarikh mengundi 6 Mac 2011) sudah kerap kali penulis berkunjung ke kawasan selatan Melaka yang tidak jauh dari sempadan negeri Johor ini.

Daripada kunjungan pertama di mana penulis menyaksikan hanya dua bendera gergasi BN berdekatan Taman Merlimau Utara sehinggalah hari-hari terakhir yang memperlihatkan terlalu banyak bendera dan lambang BN, mengertilah penulis bahawa lambakan kebendaan pasti menenggelamkan saki baki keluhuran budi menepati dua bait pantun Melayu lama; puas sudah kutanam budi, emas juga dipandang orang.

Antara budi dan emas, tentulah emas dipandang orang. Oleh itu tidak mengejutkan jika calon Umno-BN, Roslan Ahmad menewaskan calon PAS-Pakatan, Yuhaizad Abdullah dengan majoriti 3,643 undi. Roslan mendapat 5,962 undi manakala Yuhaizad 2,319 undi.

Benarkah budi tidak boleh mengatasi emas, kerana ada pantun lama menyebutnya?

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Kenapa penulis menyatakan Roslan disaluti emas manakala Yuhaizad budi? Roslan hanya seorang calon tetapi yang berdiri di belakangnya adalah kerajaan negeri dan kerajaan Pusat walaupun dia bertanding di atas tiket parti bernama Umno yang menerajui Barisan Nasional. Yuhaizad pula hanya didukungi partinya PAS dengan bantuan sekutunya PKR dan DAP.

Jentera kerajaan negeri dan Pusat tersangat kuat dan digunakan (atau disalahgunakan) semaksimum mungkin untuk melonggokkan emas kepada pengundi.

Sejak kerusi Dun diumumkan kosong, sungguh banyak projek dijayakan; jalan dan lorong dibaiki dan ditar hebat sehingga ke tangga rumah penduduk, rumah penduduk dibaiki manakala bantuan termasuk wang ringgit diberi, murid-murid diberikan hadiah basikal, guru besar dan cikgu diberi hadiah khas sehinggalah perut penduduk dipastikan berisi dengan pelbagai jamuan termasuklah hidangan asam pedas.

Tentunya emas yang diberi ini perlu dibayar, dalam konteks ini undi yang diberikan kepada calon BN. Cuba tanya hati dengan jujur; jika emas ini tidak dilambakkan kepada penduduk, sebaliknya calon datang dengan tangan kosong, hanya dirinya saja yang datang terkontang-kanting dengan sedikit senyuman, adakah orang akan senang menerimanya? Orang yang mahu menerima menantu pun, sekurang-kurangnya akan bertanya apa pekerjaannya kerana bimbang anaknya tak makan nanti selepas berkahwin.

Sejajar dengan pantun Melayu; ‘hutang emas boleh dibayar’, bergembiralah calon yang ‘majikannya’ (kerajaan negeri dan Pusat) yang melambakkan emas yang sudah dibayar dengan diberikan undi, tetapi beberapa persoalan besar berlegar-legar di benak orang yang berfikir – benarkah apa yang dilambakkan itu milik hakiki si majikan atau milik semua rakyat.

Daripada mana harta benda itu didapati, apakah daripada poket sendiri atau khazanah negara yang termasuk bayaran cukai yang dikutip daripada semua rakyat tanpa mengira parti yang didukunginya? Bagaimana pula kerajaan negeri dan Pusat boleh menjadi majikan ataupun kuda tunggangannya sedangkan dia bertanding atas nama parti iaitu Umno-BN?

Mungkin tidak ada pihak terkilan jika emas yang dilambakkan kepada penduduk itu milik Umno-BN tetapi rakyat prihatin sungguh sedih kerana keringat mereka dapat bentuk bayaran cukai telah digunakan untuk menyogok pengundi.

Menyogok pengundi dengan hadiah, majlis makan-makan dan projek ini semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini sedangkan pilihan raya pada zaman Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman dikatakan bebas daripada unsur-unsur melampau ini.

Seorang bekas veteran Kaum Ibu Umno memberitahu penulis, pada zaman Tunku dulu, dia tidak melalui langsung unsur sogokan projek seperti sekarang. Apa yang dia ingat, orang kampung begitu beriya-iya mahu jadi ‘ranas’ (runners) yang tugas mereka membawa orang awam ke pusat pengundian. Melakukan tugas ini mendapat sedikit bayaran; tidak pula mereka diberikan wang atau hadiah tanpa melakukan apa-apa kerja. Orang dulu malu jika dapat wang tapi tak buat kerja.

Selain tugas ‘ranas’ ini, orang bijak dalam parti pula sibuk menunjukkan cara-cara memangkah kepada pakcik dan makcik yang berkemungkinan tidak bersekolah (tidak pernah memegang pen dan pensil). Sekalipun begitu veteran Kaum Ibu Umno itu berkata mereka benar-benar jujur kerana menunjukkan kepada makcik dan pakcik bagaimana membuat tanda pangkah dan bukannya menyuruh mereka memangkah calon Umno-Perikatan.

Bercakap mengenai sogokan projek dan hadiah, veteran Kaum Ibu itu menyatakan kekesalannya: “Pada zaman makcik muda dulu, itu semua tak ada. Kami cuma mengajar orang kampung bagaimana memangkah calon. Itu saja.”

Demikianlah lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang. Namun sepanjang sejarah manusia emas jua dipandang orang, kepada mereka yang hanya mahu berbudi (ikhlas berbakti), balasannya kerap benar tiada di dunia ini, maka tepatlah bait pantun – hutang budi dibawa mati, tak usahlah terlalu berharap-harap di dunia ini!

No comments: