***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Menahan jiwanya daripada keinginan yang rendah (hawa nafsu). Syurga itu tempat diamnya." (al-Nazi'at 79: 40-41)
***
KETIKA sambutan Maulud Nabi (ulang tahun keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. adalah 12 Rabiulawal/15 Februari lalu) sudah beberapa kali saya mendengar syarahan ustaz yang menyatakan setiap orang perlu berperanan dalam menegakkan kebaikan dan menghalang kejahatan (mungkar). Sumbangan itu bukannya perlu yang besar-besar sebaliknya mengikut kemampuan masing-masing.
Kata ustaz-ustaz ini Allah SWT tidak bertanya sama ada kita berjaya atau tidak dalam usaha itu, yang akan ditanya sama ada kita melakukan usaha atau tidak. Mereka mengambil kisah seekor burung kecil yang pada ketika Nabi Ibrahim a.s. dibakar oleh Raja Namrud berusaha bersungguh-sungguh menyiram api menjulang itu dengan mencurahkan air yang ditampung dalam paruhnya.
Apabila ditanya kepada burung itu apakah dibuatnya kerana tidak mungkin api itu padam dengan perbuatannya yang nampak sia-sia itu, burung itu berkata dia takut kepada Allah, ia hanya menjalankan tanggungjawab untuk menegakkan kebenaran dan menghalang kejahatan; untuk api itu padam itu bukan urusannya, itu urusan Allah SWT, Sang Pencipta alam ini. Ertinya burung itu menjalankan peranan setakat yang mampu dilakukannya.
Nah, wahai saudara-saudari sekalian (termasuklah diri saya), bukalah mata zahir dan mata hati dan amat-amatilah sama ada kita telah menjalankan peranan kita sebagai penegak kebenaran dan pembasmi kejahatan. Malulah pada burung kecil yang berusaha memadam api raksaksa yang membaham Nabi Ibrahim a.s. sedangkan kita duduk membatu menyaksikan kemungkaran di depan mata. Ayuh gerakan tubuhmu yang pasti lebih kuat daripada burung kecil itu.
Sebagai penulis, saya menyumbangkan tenaga dalam bentuk penulisan. Disebabkan saya tinggal berhampiran Merlimau, saya ulas lagi perkembangan berkaitan pilihan raya kecil Dun ini yang diadakan serentak dengan Dun Kerdau, Pahang pada 6 Mac ini.
(KEPUTUSAN PRK MERLIMAU, YUHAIZAD ABDULLAH-PAS 2,319 undi, ROSLAN AHMAD-BN, 5,962 undi; BN menang dengan majoriti 3,643 undi)
Wahai rakyat Melaka, khususnya orang Islam termasuklah di Dun Merlimau, sesungguhnya Sidang Dun Melaka sudah terlalu lama menunggu kehadiran seorang pembangkang beragama Islam yang sejak dari dulu dan kini dan harap-harap tidaklah selamanya tidak muncul-muncul, bagi mengutarakan permasalahan umat Islam.
Benar Dun Melaka dibarisi ramai orang Islam tetapi disebabkan mereka daripada kumpulan sealiran, apa saja mereka lakukan hatta tidak amanah dalam mengendalikan urusan orang Islam, tidak ada pihak yang berani menegur.
Biasalah sebagai manusia yang lemah dan kerap membuat kesilapan, jika tiada pihak membuat teguran kita akan besar kepala dan fikir apa yang kita buat adalah benar belaka. Inilah yang terjadi kepada penyakit umat-umat terdahulu termasuklah Firaun, Namrud dan Hamman dan sekarang ini menjangkiti pemerintah dunia Arab seperti Zine el-Abidine ben Ali (Tunisia), Hosni Mubarak (Mesir), Ali Abdullah Saleh (Yaman) dan Muammar Gaddafi (Libya).
Bagi Dun Melaka, orang bukan Islam (lima wakil DAP) sudah menyaksikan pelbagai penyelewengan membabitkan pengurusan berkaitan orang Islam seperti zakat dan harta wakaf tetapi mereka was-was untuk mengutarakannya kerana bimbang dituduh pula “lebih pandai daripada orang Islam sendiri.”
Jadi mereka mengharapkan kehadiran wakil pembangkang di kalangan orang Islam sendiri, namun impian itu belum berhasil. Banyak isu menunggu masa dibongkar; malahan dalam perkembangan mutakhir Ketua Audit Negara melalui laporan beliau bagi tahun 2009, antara perkara didedahkan adalah kegagalan pengurusan (mismanagement) hartanah oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam.
Antara lain laporan itu menyatakan: “Secara keseluruhan, pengurusan hartanah oleh MAIM tidak memuaskan yang telah menyumbang kepada kerugian kepada MAIM manakala pengurusan hartanah berada dalam keadaan huru-hara.”
Laporan itu juga mengkritik pembinaan dan kerja-kerja pembaikan ke atas Kompleks Perniagaan Al-Azim di Bukit Pala dengan menyatakan: “Projek pembangunan (Kompleks Perniagaan Al-Azim) dengan pembabitkan Regal Merger Sdn Bhd (RMSB) telah gagal…menyebabkan MAIM terpaksa mendahulukan pengunaan wang zakat berjumlah RM13.8 juta bagi menyiapkan kompleks MAIM itu.
MAIM juga cuai menyebabkan tanah-tanah MAIM terjual kepada pihak ketiga oleh RMSB…dan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan ke atas Pejabat Agama Islam Melaka terpaksa menggunakan wang pendahuluan daripada Baitulmal sebanyak RM1.80 juta.
Berkenaan hartanah MAIM yang terjual kepada pihak ketiga, ada pihak menyatakan: “Memeranjat tetapi begitu menyedihkan sekali…hartanah MAIM sudah terjual kepada BC Lim Enterprise, dan juga kepada Universiti Terbuka Malaysia . Apa sudah jadi dengan negeri ini? Sebuah negeri didakwa maju tetapi tanah dan hartanah yang diamanahkan orang Islam kepada MAIM sudah tergadai!
Oleh itu insaflah wahai pengundi Merlimau, undilah dan hantar seorang wakil pembangkang Muslim yang pertama di Dun Melaka. Berperananlah bagai si burung pada zaman Nabi Ibrahim dulu!
1 comment:
Salam Tuan,
Nampaknya ramai lagi orang Melaka yang mementingkan kesenangan duniawi yang hanya sekejap. Mereka blm berminat lagi jadi burung kecil itu. Jangan gundah gulana wahai saudara saudari ku di dalam PAS. Tidak ada apa yang kekal di dunia ini. Ini termasuklah UMNO !
Post a Comment