***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Seandainya aku tidak khuatir akan memberatkan umatku, nescaya aku perintahkan mereka bersiwak setiap kali akan solat." (HR. Bukhari dan Muslim)
***
TANGGAL 25 Mac 2011 genaplah 20 tahun akhbar tabloid Harian Metro berada di pasaran. Sebagai antara pengasas akhbar petang berbahasa Melayu pertama di negara ini, tentunya detik manis dan pahit maung memulakan akhbar ini daripada 0 (sifar) tidak dapat saya lupakan.
Daripada kira-kira 10,000 naskhah cetakan pertama pada 25 Mac 1991 sehinggalah ia muncul akhbar terbesar dengan jumlah cetakan tertinggi sekarang ini (kira-kira 350,000 naskhah sehari), tentunya bagi kebanyakan pihak, Harian Metro merakamkan kisah kejayaan gemilang dalam dunia kewartawanan dan penerbitan tanah air.
Tempoh waktu saya berada di Harian Metro tidak lama. Ia bermula kira-kira dua bulan sebelum akhbar itu diterbitkan (Januari 1991) sehinggalah akhir tahun 1992.
Ketika menulis catatan ini, naskhah sulung akhbar berkenaan berada di depan saya. Catatan pengarang di muka depan merakamkan: “Salam hormat untuk semua warga kota. Kini anda tidak perlu menunggu pagi esok untuk mengetahui peristiwa muktahir di Lembah Klang dan dunia. Harian Metro berlainan daripada akhbar lain kerana kami akan menemui anda pada waktu petang untuk melaporkan peristiwa yang berlaku pada waktu pagi.”
Tajuk besar muka depan keluaran sulung itu adalah ‘Penipuan emas’ yang intronya ditulis: “Menjelang hari raya, barang kemas turut menjadi tumpuan warga kota, tetapi awas ada pembuat dan penjual barangan itu di Lembah Klang menipu berat kandungan dan ketulenan emas.”
Perihal pembabitan saya sebagai antara pengasas Harian Metro ada dicatatkan dalam buku saya ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ dalam Bab 7 yang bertajuk ‘Melahirkan Harian Metro’.
Untuk bangun pada jam 3.00 pagi sebagai persiapan ke pejabat bukanlah mudah...Selepas menghadapi pelbagai rintangan, akhirnya, terbitlah akhbar petang Melayu pertama iaitu Harian Metro pada bulan Mac 1991. Akhbar ini bukan lahir begitu saja tetapi membabitkan pengorbanan besar daripada kumpulan pertama pekerjanya, terutama pengarang, pemberita dan penyunting.”
Saya adalah salah seorang penyunting yang terbabit dalam penyediaan dan reka bentuk muka surat untuk berita luar negaranya. Untuk bermula daripada kosong (tiada apa-apa), petugas perlu mengorbankan banyak masa untuk melakukan pelbagai percubaan, termasuk dari segi pemberitaan, persembahan, reka letak (page-making) dan sebagainya.
”Bagi kumpulan penyunting pula, mereka diperlukan memulakan kerja pada jam 5.00 pagi. Sebagai penyunting berita luar negara, saya memulakan kerja mulai jam 4.00 pagi. Ini kerana saya terpaksa memilih, menterjemah dan kemudian menyelesaikan kerja-kerja reka letak secara sendirian dan semua kerja-kerja ini perlu dibereskan sebelum pukul 8.00 pagi.
Urusan menyiapkan reka letak muka surat di Harian Metro dibahagikan kepada dua bahagian, satu yang bersifat semasa (current) manakala satu lagi membabitkan laporan dan rencana yang reka letak muka suratnya boleh disiapkan lebih awal (advance pages). Disebabkan keadaan ini, tugas seseorang penyunting itu tidak tamat sekalipun akhbar terbitan untuk hari berkenaan sudah dicetak, biasanya mulai jam 9.00 pagi.
Penyunting juga diperlukan untuk menyiapkan 'advance pages', yang biasanya berakhir pada jam 12.00 tengah hari. Tetapi disebabkan ketika itu, sistem 'manual' masih digunakan (bromide perlu ditampal), seseorang penyunting itu terpaksa menunggu jurureka letak menyiapkan kerja-kerja itu, kadang-kala sehingga jam 5.00 atau 6.00 petang.
Ini menyebabkan seseorang penyunting itu terpaksa pulang lewat petang atau pada waktu malam sedangkan sebelum subuh esoknya, dia diperlukan untuk berada di pejabat semula.
Pada peringkat awal, ini adalah antara 'kerja-kerja gila' yang terpaksa dilakukan oleh penyunting. Pengorbanan mereka amat besar, apa tidaknya, keluar rumah untuk bekerja jam 3.00 atau 4.00 pagi dan balik lewat petang atau malam. Kata orang, keluar rumah 'tidak nampak matahari dan balik rumah pun tidak nampak matahari'. – Dilema Seorang Wartawan Islam, muka surat 27-28)
Kini Harian Metro sudah ‘top’ (meletup). Syabas dan tahniah diucapkan kepada Harian Metro sempena hari ulang tahunnya yang ke-20. Sebagai antara bekas pengasasnya, saya mengharapkan akhbar ini terus berkembang maju bukan sebagai akhbar picisan tetapi tegap berdiri bermaruah sebagai media massa pendukung Islam dalam zaman serba mencabar ini.
Oleh itu kepada semua petugasnya patuhilah hukum-hakam Islam, etika kewartawanan dan berhenti menyiarkan berita fitnah, gambar-gambar artis seksi (seperti dibikin Metro Ahad, 27 Mac dengan tajuk 'Paling Seksi' menunjukkan gambar mencolok mata dua artis) yang melampau dan keputusan judi (empat nombor ekor). Insya-Allah, anda akan berjaya dunia dan akhirat!
No comments:
Post a Comment