Thursday, March 24, 2011

Mahathir vs (lawan) Anwar = 'carry trade'

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bangun untuk menunaikan solat maka basuhlah muka dan tangan kamu hingga ke siku dan sapulah kepala kamu serta basuhlah kami kamu hingga ke buku lali." (Al-Maidah, ayat 6)
***

BARU-BARU ini saya menerima e-mel berpandangan bernas dan bersifat akademik daripada seorang pembaca dari Seremban. Namanya biarlah dirahsiakan.

Beliau menulis: Saudara LanH, assalaammualaikum wbt ,saya tertarik untuk mengulas tulisan saudara di dalam ruangan ini yang bertajuk 'Bertenang; berfikirlah sebagai seorang negarawan', yang memetik kata-kata hikmah James Freeman Clarke -"A politician thinks of the next election.A statesman of the next generation."

Pada peringkat awalnya saya tak berniat menulis sebarang komen mengenai perkara tersebut,tetapi apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan memoir beliau dalam bentuk buku bertajuk 'A Doctor in the House' saya terpanggil untuk memberi komen dengan tajuk di atas.

Saya rasa ramai tertanya apa sebab sebenar benci Tun Mahathir kepada Anwar sebegitu hebat sehinggakan menjadi memoir beliau.

Bagi rakyat biasa seperti saya benci tersebut muncul hanyalah kerana istilah 'carry trade'.

Saya rasa tidak ramai menyedari istilah 'carry trade' dalam pembangunan negara.

Pertama kali saya mendengar perkataan 'carry trade' dan memahami bahayanya kepada negara bernama Malaysia ialah daripada pensyarah ekonomi saya di Institut Teknologi Mara kini UiTM (cawangan Kuantan) pada tahun 1987.

Saya tidak pasti sama ada pemimpin yang telah atau ingin menggantikan Tun Mahathir pada masa sekarang atau mendatang baik daripada Pakatan Rakyat atau BN memahami bahaya 'carry trade'.

Untuk makluman saudara,pembangunan yag dibawa oleh Tun Mahathir adalah pembangunan 'carry trade' yang sangat berbahaya kepada Malaysia.

Kali kedua saya membaca tentang bahaya pembangunan 'carry trade' adalah daripada Tun Musa Hitam dalam temu bual di dalam akhbar harian. Pada masa tersebut, sebagai rakyat biasa saya bersyukur mempunyai Timbalan Perdana Menteri bernama Musa bin Hitam.

Kali ketiga saya membaca bahaya pembangunan 'carry trade' adalah daripada Dato' Seri Anwar Ibrahim juga dalam temu bual beliau dalam akhbar harian (majalah). Pada masa tersebut saya sebagai rakyat biasa bersyukurmempunyai Timbalan Perdana Menteri bernama Anwar bin Ibrahim.

Saudara tahu kenapa saya bersyukur? Ini hanya kerana ada lagi ahli Umno yang berani dan nampak bahaya pembangunan 'carry trade' yang dipacu oleh Tun Mahathir untuk Malaysia.

Ada tiga persamaan di antara Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dapat saya kesan sebagai rakyat biasa,
1. kedua-duanya berani
2. kedua-duanya nampak dengan jelas bahaya pembangunan 'carry trade'.
3. kedua-duanya terpelanting daripada jawatan tidak lebih enam bulan berdasarkan temu bual yang saya baca.

Ada satu perbezaan di antara Musa Hitam dan Anwar Ibrahim yang dapat saya kesan sebagai rakyat biasa.

1.Tun Musa Hitam lebih berhati-hati mengkritik Tun Mahathir selepas letak jawatan manakala Datuk Seri Awar Ibrahim lebih agresif.

Di mata saya sebagai rakyat biasa Tun Musa Hitam amat mengenali siapa Tun Mahathir sebenarnya berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Atas alasan tersebut saya menulis tajuk Mahathir vs Anwar = 'carry trade' di ruang saudara ini.

Dari sudut tanggungjawab kedua-dua Timbalan Perdana Menteri tersebut telah menjalankan tugas mereka kepada rakyat Malaysia dengan sangat baik dan mempunyai semangat negarawan tulen.

Dari sudut politik atau oganisasi pula satu kapal sudah ada dua nakhoda. Di sinilah asal kebencian Tun Mahathir kepada Anwar Ibrahim dan bukan atas alasan masalah keperibadian atau disiplin Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri tersebut terlepas pandang kesan dari sudut politik atau organisasi.

Saudara tahu sampai mana tahap bahayanya pembangunan 'carry trade' kepada Malaysia? Ia sampai tahap hubungan antara tuan dan hamba abdi.

ntuk memudahkan pemahaman bahaya pembangunan 'carry trade' mari kita lihat kadar faedah bank pusat di negara maju.
1.Euro Central Bank (ECB) 1%
2.Bank uf Japan (BOJ)1 %
3.Bank of Canada (BOC)1 %
4.Bank of England (BOE)1 %

Kadar tersebut mungkin telah berubah sedikit semasa saudara membaca tulisan ini.

Sekarang cuba saudara bandingkan kadar faedah Bank Negara Malaysia. (Saudara boleh dapat jawapan dengan mudah).

Sebuah syarikat besar dari negara maju yang melabur di Malaysia katakan AS$100 juta dan meletakkan pelaburan awal mereka di dalam bank di Malaysia yang menjanjikan pulangan yang lebih baik pastinya dari negara asal mereka kita akan berjumpa jawapan yang amat menakutkan seperti berikut: (AS$1=RM3.40)

1.sebuah kilang yang didirikan tanpa modal
2.pembelian tanah tanpa modal
3.pembayaran gaji tanpa modal
4.muktamadnya kita semua adalah hamba abdi yang menyediakan segala-galanya untuk mereka. Mereka menjajah semula dan mereka hanya tahu untung sahaja.

Pada tahun akhir di ITM saya belajar ekonomi Islam. Pensyarah saya menyatakan terdapat 3 definasi riba:
1.kadar faedah itu sendiri
2.penindasan
3.gabungan kadar faedah dan penindasan

Pada pandangan saya pula pembangunan berasaskan 'carry trade' itu riba
tetapi tidak saya nyatakan kepada pensyarah tersebut atas alasan yang
tersendiri.

Segala masalah sosial yang dihadapi hari ini seperti ragut, rompak, rasuah, kenaikan harga barang, gila kuasa adalah rantaian cengkaman pembangunan 'carry trade' yang tidak disedari oleh pemimpin kita.

Tun Mahathir memajukan Malaysia berasaskan pembangunan 'carry trade' akibatnya bangsa Malaysia semuanya sakit dan rumpun Melayu yang paling tenat berbanding rumpun Cina atau India.

Tun Mahathir cuba memajukan rumpun Melayu dalam bidang perniagaan tetapi tidak mempunyai model yang jelas kepada kita. Akibatnya, pemahaman majoriti rakyat untuk berjaya dalam perniagaan mesti ada kuasa politik. Contohnya adalah anak-anak Tun Mahathir sendiri.

Pembangunan 'carry trade' telah membuatkan rumpun Melayu sakit tenat.Rumpun yang sakit tenat dapat kita lihat daripada enam perkara;
1.Tidak berbudi pekerti
2.Memandang rendah Ugama
3.Tidak menghormati adat resam yang selari dalam Islam
4.Tidak menghormati bahasa ibunda
5.Matlamat menghalalkan cara
6.Tidak mahu berubah walaupun tahu kesilapan diri.

Kita tidak menolak kemajuan tetapi biarlah kemajuan tersebut selari dengan apa yang Malaysia miliki dari sudut Ugama,h asil bumi,iklim, pendidikan, kedudukan geografi, budaya,bangsa dan sebagainya. Bahasa mudahnya "pakai baju badan sendiri."

Sebagai bekas Perdana Menteri saya tak pasti sama ada Tun Mahathir layak digelar seorang negarawan atau ahli politik kerana dia memenuhi sifat 'kaduk naik junjung'.

1 comment:

abdullah said...

Tiada apa yang boleh di gelarkan kepada tun mahathir kerana seorang tua dan berpencen yang masih menyimpan sikap dendam kepada DSAI, pembangunan yang di tinggalkan hanyalah kosmetik sahaja kerana sehingga sekarang masih lagi berhutang dengan negara luar dan Tun tak payah lah nak berbangga dengan apa yang Tun telah musnah kan sepeti kata pengarang dan apa yang pengarang tuliskan ada kebenaran nya..... Melayu tenat sedang anak nya mengaut kekayaan duniawi.