***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., mafhumnya: "Orang yang mengerjakan haji dan orang yang mengerjakan umrah adalah utusan Allah Azzawajalla. Jika mereka berdoa, nescaya Allah menerima doa mereka dan jika mereka memohon ampun, nescaya Allah mengampuni mereka."
***
“PATUTKAH warga emas yang diberi RM100 diucap takziah? Sudikah YB Datuk Shahrizat Abdul Jalil sedekahkah kami RM100 lagi setiap seorang?” (AKSILEBIH:BHA31916)
Penulis memetik ungkapan ini dalam ruangan R@kan BH di muka surat 41 akhbar Berita Harian, tanggal Khamis, 8 April 2010. Demikianlah rakyat kurang senang dengan gelagat Menteri Pembangunan Wanita , Keluarga dan Masyarakat merangkap Ketua Wanita Umno, Shahrizat Abdul Jalil yang memperkecil dan mempersenda pemberian RM100 setiap warga emas oleh kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.
Sebelum ini penulis berpeluang menyaksikan melalui kaca televisyen, aksi cemuhan dengan muka meluat Shahrizat terhadap usaha Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu sidang akhbar beliau. Sungguh sedih melihat Shahrizat dengan mimik muka masam menempelak Guan Eng dengan berkata Ketua Menteri itu menghina golongan tua dengan pemberian wang tidak sampai RM10 sebulan atau kurang RM1 sehari.
Benar Shahrizat melalui kementerian banyak membantu golongan kurang mampu, orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya. Jumlah pemberian tentunya ‘besar’, yang biasa didengari adalah RM300 sebulan. Tentulah jumlah ini ‘besar’ berbanding wang ‘ciput’ yang diberi oleh Guan Eng.
Namun Shahrizat perlu sedar wang pemberian RM300 sebulan kepada golongan kurang upaya itu adalah daripada jabatan di bawah kementerian yang diterajui beliau yang diamanahkan oleh kerajaan untuk meringankan bebanan rakyat miskin. Ini adalah tanggungjawab sosial yang wajib dijalankan oleh mana-mana kerajaan dalam dunia ini.
Sebenarnya, RM300 itu bukannya banyak. Melalui program Bersamamu TV3, dapat disaksikan betapa deritanya hidup golongan kurang upaya ini walaupun mereka mendapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Mereka sudah diberi RM300 sebulan tetapi mengapa Syarikat Beras Faizah, korporat lain malahan kolej, universiti dan persatuan tidak lepas tangan memberikan bantuan. Malah ada yang menerima bantuan lain misalnya daripada Pusat Zakat, tetapi mengapa mereka mengadu semua itu tidak cukup menampung perbelanjaan mereka?
Kalau Shahrizat mahu berbangga dengan pemberiaan RM300 yang dirasakan sudah terlalu banyak yang membolehkan beliau bongkak dengan menyindir pemberian RM100 oleh Lim Guan Eng, tak usahlah minta lagi Syarikat Faizah dan pihak lain membuat sumbangan. Cukuplah, kerana orang miskin dan kurang upaya itu mampu hidup selesa dengan pemberiaan RM300 sebulan oleh kementerian Shahrizat! Pihak TV3 pula berhentilah merayu orang ramai membantu.
Pada pandangan penulis yang kurang arif ini, sama seperti langkah mengalu-alukan bantuan oleh Syarikat Faizah dan pihak lain, adalah amat molek Shahrizat mengalu-alukan kesudian Guan Eng untuk memberikan RM100 kepada setiap warga emas. Ertinya marilah sama-sama membuat kebajikan, janganlah pula seseorang itu tergamak menghina kesudian seseorang atau pihak itu untuk membantu orang lain.
Adabnya, kita tidak perlu membangga diri pemberian kita kepada orang lain apatah lagi mengungkit-ungkit jumlahnya ‘yang sangat besar’ dan pada masa yang sama memperlekeh usaha pihak lain membuat kebajikan apatah lagi menyoal nilai sumbangan yang dakwanya ‘ciput’ itu.
Apa yang penting di sini adalah keikhlasan, bukan jumlahnya. Atau pemberian bermaksud ada udang di sebalik batu. Tetapi itulah yang kerap berlaku sekarang ini termasuk menjelang pilihan raya kecil atau umum.
Adalah menjadi hak orang miskin atau OKU untuk mendapat wang bantuan terutama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi mengapa pihak-pihak tertentu begitu ghairah memberinya di kawasan pilihan raya? Apa, tidak ada masa lain yang sesuai untuk diberikan hak rakyat miskin itu?
Demikian juga pengagihan wang zakat, wang itu adalah hak asnaf termasuk orang miskin tetapi mengapa sibuk mahu diberikan masa pilihan raya oleh pemimpin parti yang mengetuai kerajaan pula? Apakah makna ini semua? Kepada orang berhak, berikan hak mereka sama ada ada pilihan raya atau tidak, itu hak mereka bukan hak orang menyampaikan bantuan.
Pemimpin yang menyampaikan bantuan, wang itu bukan daripada kocek awak, wang itu adalah hak rakyat (jika wang zakat itu adalah hak asnaf) tetapi mengapa kamu mahu berbangga? Sehubungan itu bagi pemimpin yang mendabik dada, seolah-olah wang diberikan itu adalah wang mereka, mulai sekarang KELUARKAN sendiri wang kamu untuk dibagikan kepada rakyat.
Apabila ini kamu lakukan, barulah kamu tahu nilaian wang 10 sen, RM1, RM10 atau RM100 itu. Wang daripada titik peluh kamu ini jika diberikan dengan ikhlas, barulah ada kebarakahannya dan salah satu tandanya tidaklah kamu MENGHINA-HINA orang lain yang bersedekah dalam jumlah kecil!
Untuk pengetahuan, jumlah warga emas berdaftar di Pulau Pinang adalah seramai 82,983 orang dan jika semuanya dihadiahkan RM100 seorang, jumlah perlu dikeluarkan adalah RM8,298,300 (kira-kira RM8.3 juta). Sebagai langkah awal mendapat kebarakahan, apa kata Shahrizat dengan ikhlas berkongsi membiayainya daripada POKET SENDIRI dan jangan dibuat masa kempen pilihan raya?
2 comments:
dia kaya bolehlah cakap..
thanks mr edz
Post a Comment