***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)
***Ini juga cerita lama, ditulis pada hari-hari akhir pilihan raya kecil Ijok. Namun kisahnya masih relevan pada pilihan raya Hulu Selangor pada Ahad, 25 April ini.
***
Sebelum tuan puan membuat keputusan siapa layak tuan puan berikan undi tuan puan yang amat berharga itu, saya dengan rendah diri mengemukakan kisah ini agar dijadikan iktibar bersama. Ia bukan kisah mendapat sehelai kain batik atau wang RM50.00 dan jalan ke rumah ditar, tetapi membabitkan masa depan anak bangsa.
Pagi tadi (24 April) semasa diolek-olek bas ekspres Melaka-KL, sempat juga saya menghabiskan membaca wawancara panjang lebar wartawan 'the Sun' dengan Pro-Canselor UiTM yang juga bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad. Wawancara bertajuk 'Raising standards in national schools' itu disiarkan dalam akhbar itu bertarikh 29 Mac 2007. Menjadi kebiasaan saya menyimpan keratan artikel penting untuk dibaca pada masa terluang.
Apa yang menarik perhatian saya adalah bahagian akhiran wawancara itu mengenai keperluan meningkatkan martabat dan profesion perguruan kerana kunci kejayaan pendidikan terletak di tangan guru. Apabila Abdul Rahman ditanya soalan; "So the key is the teachers?", beliau menjawab: "Yes prepare them first. Like your teaching of Maths and Science. You don't prepare the teachers first and then teach."
Apabila ditanya, "That is why there is a problem now. You don't have enough teachers, right?, Abdul Rahman menjawab: "Yes, there is a problem now. You have them teaching Maths and Science but can they speak English?"
Abdul Rahman yang ditanya; "So, everything is ad hoc?", terus menjawab, penuh bermakna; "Well...that's..."
Demikianlah dalam usaha membentuk satu tamadun bangsa melalui pendidikan yang sangat penting itu pun kerajaan BN sanggup menggunakan pendekatan 'ad hoc', jadi apalah sangat dengan projek-projek pembangunan yang kononnya sedang diusahakannya untuk penduduk DUN Ijok yang mengundi beberapa hari lagi.
Sebaik saja kosong kerusi DUN itu, kerajaan BN tiba-tiba mengumumkan peruntukan pembangunan RM36 juta untuk dihabiskan dalam masa dua minggu di Ijok. Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo berkata, ia bukan gula-gula politik untuk memancing undi tetapi projek pembangunan yang telah dirancang sekian lama untuk rakyat.
Benarkah dakwaan Khir itu? Untuk memajukan rakyat tidak semudah dakwaannya. Bagi seorang bapa, tidak mudah menjadikan seorang anak, insan berguna semata-mata dengan 'bermain dan bermandikan duit'.
Untuk menjadikan seorang anak itu 'manusia', ia memerlukan tempoh bertahun-tahun malah berbelas dan berpuluh tahun. Ayah dan ibunya perlu mendidiknya dari dalam perut, kemudian dalam buaian, menyekolahkan seterusnya memasukkannya ke universiti, kemudian mengahwinkannya. Itu pun belum tamat lagi, apabila si anak bersalin, ibunya juga yang dicari!
Bolehkah seseorang itu menjadikan anaknya seorang 'manusia' dengan hanya mencampakkannya wang ringgit jika dia diperlukan, tetapi kemudian mengabaikannya tahun demi tahun?
Apabila berlaku perceraian misalnya, apakah seorang ayah dapat memenangi kasih sayang seorang anak dengan hanya melambakkan wang ringgit dan kemewahan? Tentu tidak, untuk memenangi hati si anak dan untuk menjadikan dia 'seorang manusia' tentulah kasih sayang perlu dipupuk sepanjang masa.
Tetapi untuk mendapat perhatian, hadiah besar seperti kereta mewah daripada seorang bapa sudah pasti merenggut tumpuan seorang anak. Bagaimanapun ia hanya bersifat sementara. 'Habis hadiah', habislah perhatian diberikan kepada bapa.
Demikian perbandingannya dengan pengundi. 'Hadiah mewah' yang BN lambakkan tentulah merenggut perhatian mereka. Tiba-tiba mereka dapati jalan berlubang dibaiki dan ditar, rumah mereka yang buruk berganti baru, mereka mendapat geran tanah, bekalan elektrik dan air disalurkan, tempat perlupusan sampah ditutup manakala pemimpin sanggup berpanas, berhujan, berkain pelekat bersama-sama rakyat menghirup kopi dan ke bendang.
Taktik ini sudah pasti memenangi hati rakyat. Tetapi apakah ia benar-benar dapat memajukan rakyat - sama ada dari segi pemikiran dan penampilan. Sudah tentu tidak kerana selepas pilihan raya berakhir, rakyat tetap begitu...begitu saja. Yang miskin tetap miskin, tiada siapa peduli akan nasib mereka sehinggalah pilihan raya akan datang. Pemimpin silih berganti tetapi mereka masih macam itu macam itu juga.
Mengenai pentingnya rakyat (pengundi) memilih pemimpin secara tepat ini pernah saya tuliskan ketika pilihan raya kecil DUN Sanggang, Pahang pada tahun 2000 lalu dengan tajuk 'Warkah terbuka untuk pengundi Sanggang'. Sekali pun sudah tujuh tahun berlalu, ia dirasakan relevan untuk pengundi Ijok. Di sini saya perturunkan kembali tulisan itu.
"Sungguh berat rasanya untuk saya menulis surat terbuka ini. Tetapi disebabkan rasa tanggungjawab kepada masa depan agama, bangsa dan tanah air, saya gagahi juga untuk menulisnya.
Saya mendapat semangat untuk menulis surat ini selepas membaca petikan wawancara Rosmida Abdul Rahman dengan Presiden Parti KeADILan Nasional dalam buku-majalah 'Tangan Yang Menghayun Buaian - Boleh Menggoncang BN' (Editor Suria Janib).
Petikan itu menyentuh tanggungjawab dan amanah yang dipikulkan ke atas bahu Adun dan Ahli Parlimen. Bukan saja mereka akan dipertanggungjawabkan di dunia ini tetapi juga di akhirat.
Apa yang ingin saya sentuh di sini ialah tanggungjawab pengundi, wakil rakyat, menteri dan mereka yang berkedudukan lebih tinggi. Semua pihak yang disebutkan itu dan seluruh masyarakat termasuk diri saya dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berlaku kepada masyarakat hari ini.
Apa yang berlaku hari ini adalah hasil daripada apa yang kita lakukan pada masa lalu. Misalnya sebagai orang yang memilih wakil rakyat dan menteri pada 1960-an dan 1970-an dulu, kesan daripada tindakan tuan puanlah yang mencorakkan masyarakat hari ini.
Sehubungan itu sebagai menteri, Adun dan ahli Parlimen pada 1960-an dulu, anda sebenarnya tidak mempunyai sebab untuk 'senang-senang hati' memakan duit pencen, menghabiskan masa tua dengan menjadi pengerusi syarikat judi dan sebagainya, jika pada masa anda berkuasa dulu, anda melalaikan tanggungjawab anda seperti yang dinyatakan oleh Wan Azizah.
Sebagai pengundi pada 1960-an dulu, tuan puanlah orang yang memilih wakil ke Parlimen untuk membahaskan isu-isu negara. Sehubungan itu sebagai pengundi, anda juga akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak kerana tangan tuan puanlah yang memangkah calon pilihan tuan puan.
Di sini bukanlah tujuan saya mengulas isu negara yang berat-berat tetapi perkara yang membabitkan diri saya sebagai murid sekolah pada 1960-an dan 1970-an dulu.
Saya adalah buah hasil dasar pendidikan negara yang YB-YB bahas dan membuat keputusan di Parlimen pada 1960-an dulu. Sebagai Menteri Pelajaran pada era itu, YB-lah yang mencorak sistem pendidikan pada masa itu. Hasil tangan YB-lah lahir golongan cendekiawan dan teknokrat dalam usia 30-an dan 40-an sekarang. Syabas dan tahniah kepada YB sekalian.
Saya berminat untuk memperkatakan mengenai golongan muda ini kerana saya adalah salah seorang daripada mereka. Tetapi yang lebih penting golongan ini adalah anak bangsa pertama yang YB-YB sekalian bentuk selepas negara kita mencapai kemerdekaan.
Seperti ramai budak sekolah pada 1960-an dulu, saya dihantar ke sekolah Inggeris dan menerima pendidikan sekular. Kebanyakan mata pelajaran diajar menggunakan bahasa Inggeris.
Apa yang mendukacitakan, YB-YB pada era ini seolah-olah melupai komponen agama dalam sistem pendidikan kita. Pengajian agama Islam kelihatan begitu asing kepada kami. Guru-guru hanya menekankan supaya pelajar berjaya dalam mata pelajaran akademik dan meletakkan subjek Agama Islam setaraf Lukisan yang tidak diambil kira dalam keputusan keseluruhan peperiksaan.
Maka adalah pelajar yang mendapat markah merah untuk Agama Islam tetapi berjaya mendapat kedudukan teratas dalam kelas. Bayangkan di sekolah (rendah) saya yang mempunyai lebih 1,000 murid, hanya seorang ustaz ditugaskan untuk mengajar kami.
Itu pun sekolah kami dikira bernasib baik sebab ada juga ustaz tetapi sekolah jiran kami tidak ada guru agama langsung. Maka terpaksalah murid-murid Islam sekolah sebelah, beratur beramai-ramai ke sekolah kami untuk belajar Agama Islam! Kami juga tidak pernah kenal sekolah agama rakyat seperti yang ada sekarang.
Saya dikira bernasib baik kerana dapat melanjutkan pelajaran ke sebuah sekolah berasrama penuh pada tahun 1970-an. Sama seperti di sekolah rendah, kami dihadapkan dengan segala macam pengajian sekular yang akhirnya melahirkan cendekiawan sekular juga. Kami diajar memuja segala-galanya dari Barat.
Ada pun yang condong kepada agama dianggap 'square' dan terperosok dalam dunianya sendiri seperti Badan Revolusi Agama yang saya dengar diasaskan antara lain oleh bekas TPM Anwar Ibrahim (yang kini giat berkempen di Ijok).
Itu kisah lalu, dan hari ini golongan pertama (termasuk saya) yang melalui sistem pendidikan negara sepenuhnya selepas merdeka, sudah menjadi ahli teknokrat. Ada yang menjadi jurutera, pensyarah, doktor, peguam dan arkitek.
Malangnya, sebahagiannya berjaya dalam kerjaya tetapi tidak berjaya dalam penghidupan. Golongan inilah yang dicap oleh YB-YB hari ini sebagai buta agama, buta al-Quran dan segala macam kejahilan lagi.
Malah ada menteri mengakui golongan inilah yang paling ramai buta al-Quran. Seorang anak muda (peguam) pernah membuat pengakuan di TV, dia tertarik dan seterusnya menyertai Al-Arqam kerana dahagakan ilmu Islam sedangkan institusi pengajian kita pada 60-an dan 70-an tidak memperdulikan perkara ini.
Kami ada 'buah tangan' pejuangan YB-YB pada 1960-an dan 70-an dulu. Jadi kepada menteri dan YB-YB pada tahun 60-an dan 70-an dulu, janganlah senyum-senyum menerima pencen sekarang ini jika anda berbuat salah dalam mencorakkan sistem pendidikan anda dulu. Selain mengabaikan agama, YB-YB juga yang mematikan tulisan jawi.
Jika YB-YB hanya duduk goyang kaki, atau kerap ponteng ketika perbahasan Parlimen dulu, YB akan dipersoalkan di akhirat kelak mengapa YB membiarkan saja anak bangsa kehausan agama. YB akan dipersoalkan mengapa YB membiarkan anak bangsa hidup penuh kejahilan dengan sistem sekular yang YB pertahankan.
Kepada YB-YB sekarang, anda perlu memikirkan apakah buah hasil perjuangan anda sekarang pada 10 atau 20 tahun dari sekarang. Bagaimanakah 'bentuk manusia' (modal insan) pada tahun 2010 atau 2020 yang kita lahirkan melalui sistem dan corak pendidikan sekarang?
Tugas YB-YB amat berat dan akan disoal di akhirat kelak. Tetapi yang menghairankan ramai manusia berebut-rebut kedudukan ini. Mungkin ini maksud satu kisah Israk Mikraj bahawa manusia itu suka menambah beban sekali pun di belakangnya sudah sarat dengan muatan?
Renungilah hal ini YB-YB sekalian, dan kepada pengundi Sanggang (kali ini IJOK), ingatlah di akhirat nanti, tangan tuan puan akan menjadi saksi siapa yang tuan puan pilih sebagai pemimpin! Ingatlah setiap perbuatan manusia hatta sebesar zarah pun akan dihitung oleh Allah SWT. Selamat mengundi!
No comments:
Post a Comment