Monday, April 12, 2010

Hukum Allah selamatkan manusia dunia, akhirat

***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Sebelum terjadi hari kiamat, terlebih dahulu terhapus ilmu (agama) dan berjangkit kejahilan dan banyak terjadi pembunuhan." (sahih Muslim)
***

Bersyukur ke hadrat Illahi, kita dipanjangkan usia dan dalam kesempatan kali ini akan bermuzarakahkan isu peningkatan pengambilan minuman keras di kalangan rakyat dan implikasi tidak melaksanakan hukum Allah membabitkan kesalahan dalam perkara ini.

Apabila Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud menyatakan di Parlimen baru-baru ini bahawa Malaysia adalah antara 10 negara terbesar konsumi minuman keras di dunia, maklumat itu tidak mengejutkan kita tetapi apabila seorang bekas model, Kartika Sari Dewi Shukarno yang sudah didapati bersalah minum arak di khalayak ramai dan dikenakan denda dan enam sebatan rotan, dibebaskan daripada hukuman itu sebaliknya diminta melakukan kerja-kerja komuniti, kita terpanggil untuk bersuara.

Kita bimbang kes Kartika akan menjadi kes contoh (precedent case) dalam kesalahan membabitkan mengambil minuman keras di khalayak ramai. Apabila ini berlaku, orang awam tidak takut dengan hukuman yang bakal diterima dengan andaian mereka akan mendapat layanan baik seperti Kartika. Ini akan memburukkan masalah berkaitan minuman keras di negara ini yang sudah pun terlalu buruk seperti dinyatakan Ahli Parlimen Kota Raja itu.

Berikutan pindaan hukuman itu, ada pihak menyatakan ia lebih berperikemanusiaan berbanding hukuman sebatan itu. Apabila kenyataan seperti ini diutarakan, kita bimbang masyarakat kita semakin berani sehingga menolak hukum Allah SWT bahawa pesalah dalam minuman keras wajar disebat. Hakikatnya, siapakah manusia untuk menyatakan hukuman mereka lebih baik daripada hukum Allah SWT.

Sekalipun menyedari hukuman enam sebatan yang dikenakan ke atas Kartika itu tidak menepati hukum Islam, tetapi berdasarkan undang-undang yang ada di negara kita, itulah yang paling hampir dengan undang-undang Allah dan wajar dihormati dan dikuatkuasakan.

Lagi pun dalam kes Kartika ini, pesalah (beliau) sendiri meminta dihukum dengan sebatan itu. Kartika mengaku dia sudah insaf, jadi apakah hak manusia untuk menafikan hukuman yang telah ditetapkan Allah SWT ke atas dirinya.

Kita bimbang, ketidak-sediaan atau dolak dalik kita dalam melaksanakan hukum-hakam Allah akan mengundang kemurkaannya, berdasarkan firman-Nya dalam ayat-ayat berikut: “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Al-A’raaf Ayat 96)

“Maka apakah penduduk-penduduk negeri itu berasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka pada malam hari di waktu mereka sedang tidur? Atau apakah penduduk negeri-negeri itu berasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka di waktu matahari sepenggalahan naik ketika mereka sedang bermain?” (Al-A’raaf Ayat 97 dan 98)

“Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman dan tenteram, rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduk)nya mengingkari nikmat-nikmat Allah, kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian (maksudnya kelaparan dan ketakutan itu meliputi mereka seperti hanya pakaian meliputi tubuh mereka ) kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat. (An Nahl Ayat 112)

Dalam menangani kes Kartika ini, kita berpendapat sudah sampai masanya semua pihak berusaha agar hukum-hakam Islam dapat didaulatkan sepenuhnya, bukannya mencari jalan keluar singkat yang pasti merumitkan keadaan pada masa depan.

Adalah wajib untuk berhukum dengan hukum Allah sepenuhnya termasuk melaksanakan hukum hudud kerana dalamnya ada kehidupan. Apabila hukum Allah dilaksanakan akan selamatlah semua makhluk kerana itulah jaminan-Nya.

Jika pesalah seperti Kartika sudah menjalani hukuman Allah SWT di dunia ini, misalnya untuk kesalahan minum arak disebat 40 kali (hudud) atau 80 kali (takzir), maka dia akan selamat di akhirat nanti. Itulah yang didambakan setiap mukminin dan mukminat!

1 comment:

suratkhabarlama said...

Malaysia sememangnya sudah menempah murka Allah...bala Allah mungkin tidak kita rasa serta merta seperti umat Nabi Musa dahulu tetapi janji Allah sememangnya PASTI akan berlaku..