Sunday, April 18, 2010

Penutupan Puduraya: Perancangan lemah, rakyat sengsara

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Akan tiba suatu zaman tidak ada seorang juga pun kecuali dia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau dia tidak memakan secara langsung, dia akan terkena juga debu-debunya." (H.R. Ibnu Majah)
***

AKHIRNYA, mulai Isnin, 12 April, operasi Hentian Puduraya sebagai hab pengangkutan awam ditutup empat bulan untuk kerja-kerja pengubahsuaian dan menaik taraf dan sebagai gantinya Padang Letak Kereta F, Kompleks Sukan Bukit Jalil dijadikan perhentian sementara.

Sebelum itu, tarikh penutupan diumumkan adalah pada 19 Mac dan terminal bas sementara dijanjikan adalah di Jalan Galloway, berhampiran Ibu Pejabat Kontijen Polis (IPK) Kuala Lumpur yang berhadapan Jalan Hang Tuah yang sentiasa sesak dengan lalu lintas.

Perancangan yang lemah menyebabkan pembaziran wang rakyat secara besar-besaran manakala pengguna terasa dipermain-mainkan. Juga terkesan adalah pengusaha dan pekerja syarikat pengangkutan awam, peniaga, petugas penguat kuasa seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan banyak pihak lain.

Persoalan pertama perlu ditanya adalah mengapa Terminal Bas Sementera Jalan Galloway telah disiapkan tetapi akhirnya tidak jadi digunakan. Sebuah lapangan besar telah dibina, khemah didirikan, kemudahan awam disiapkan termasuk sebuah tangga pejalan kaki menuruni bukit menuju Jalan Hang Tuah, tetapi akhirnya ternyata perancangan lemah (tidak jadi) ini menyebabkan wang rakyat masuk ke dalam longkang.

Pada mulanya Terminal Jalan Galloway ‘confirm’ (sudah pasti) digunakan berdasarkan lawatan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Dato’ Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin ke Hentian Puduraya yang dengan bangganya mengumumkan hab pengangkutan berusia hampir 40 tahun itu akan ditutup selama empat bulan mulai 19 Mac dan perhentian sementara itu digunakan.

Namun alangkah sengsaranya orang ramai termasuk pengguna pengangkutan awam dan pengusaha gerai dan kedai apabila tertipu dengan pengumuman yang ternyata tidak benar itu. Hentian Puduraya terus beroperasi tetapi pelbagai kemudahan di situ seperti telefon awam dan mesin juruwang automatik (ATM) telah dipindahkan daripada tempatnya. Demikian juga beberapa pengusaha sudah memindahkan barangan dan menutup kedai masing-masing.

Terminal sementara sudah disiapkan tetapi mengapa perpindahan tidak jadi? Salah satu sebabnya adalah rungutan dan komen pelbagai pihak bahawa kedudukan terminal itu tidak sesuai langsung, ia berhampiran kawasan sesak lalu lintas apatah lagi berjiran pula dengan pusat operasi polis (IPK).

Mungkin pihak polis tidak senang ‘menjadi jiran’ sebuah tempat tumpuan awam yang sesak dan bising sehingga Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sendiri terpaksa bercakap ketidaksesuaian terminal bas sementara ditempatkan di kawasan itu. Bayangkan betapa ‘hebat’nya perancangan pihak berkuasa sehingga Ketua Polis Negara terpaksa bercakap mengenai perhentian bas!

Kini selepas ‘terbarai’nya projek Terminal Bas Sementara Jalan Galloway, akhirnya dipilih kembali lokasi biasa penempatan stesen sementara pada musim perayaan (Hari Raya Puasa) iaitu di medan letak kereta Kompleks Sukan Bukit Jalil. Nampaknya perancangan dan banyak kos telah dikeluarkan tetapi akhirnya ‘pi mai, pi mai, tang tu jugak!’ Kalau ini macam, daripada awal tidak payahlah dicerita dan diheboh Terminal Sementara Jalan Galloway, buat habis masa, tenaga dan wang ringgit saja!

Berdasarkan tinjauan pendapat di kalangan pegawai penguat kuasa dan pengusaha kenderaan awam, mereka berkata pihak berkenaan beriya-iya mahukan Terminal Sementara Jalan Galloway adalah kerana mereka mahu mengelak membayar sewa yang tinggi bagi tapak operasi di Kompleks Sukan Bukit Jalil. Malah kata penguasa bas, bayaran dikenakan bagi setiap bas di terminal sementara itu adalah lebih tinggi daripada di Hentian Puduraya.

Mereka juga berkata, pihak berkenaan seboleh-boleh mahu mengelak daripada menggunakan kemudahan di Kompleks Sukan Bukit Jalil kerana apabila dilangsungkan acara sukan di sana, kawasan itu akan menjadi kelam-kabut dengan kesesakan terlalu teruk.

Apabila Kompleks Sukan Bukit Jalil dijadikan perhentian sementara, sesetengah pengguna akan menghadapi masalah. Misalnya mereka yang terpaksa berulang alik ke tengah-tengah kota Kuala Lumpur termasuk Hentian Puduraya (ada yang tidak sedar penutupannya) perlu mengeluarkan belanja lebih. Bas ulang alik Bukit Jalil-Hentian Puduraya tambangnya RM2. Ini sudah tentu membebankan pengguna. Dalam sebulan, kos peningkatan tambang seseorang yang kerap berulang alik boleh mencecah RM120.00 (RM4 (pergi balik) kali 30 hari = RM120.00).

Mereka yang memilih menaiki tren transit aliran ringan (LRT) juga terpaksa membayar lebih. Tambang perjalanan antara Bukit Jalil ke pusat ibu kota RM1.90 sedangkan pada kebanyakan perjalanan antara stesen Plaza Rakyat (berhampiran Hentian Puduraya) ke banyak destinasi di tengah-tengah ibu kota hanya RM1.20. Jika pengguna berulang-alik setiap hari, pasti kos tambang LRT meningkat, mungkin sebanyak RM42 sebulan (RM1.40 kali (pergi balik) kali 30 hari = RM42.00).

Demikianlah betapa rakyat marhaen bertambah beban tanggungan mereka sedangkan pemimpin tidak habis-habis melaungkan slogan ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Rakyat (penumpang kenderaan awam) terpaksa mengeluarkan wang yang lebih banyak berbanding sebelum ini tetapi pihak berkuasa melakukan pembaziran wang rakyat termasuk membina Terminal Bas Sementara Jalan Galloway yang ‘tidak jadi’ itu.

Mengapa agaknya nasib penumpang perkhidmatan awam dilakukan sesuka hati oleh pihak berkuasa – mereka bagaikan bola yang ditendang ke sana sini mengikut kehendak sang penguasa? Sekejap mereka diminta tinggalkan Hentian Puduraya, kemudian tidak jadi, selepas itu ke Terminal Jalan Galloway dan kini di Kompleks Sukan Bukit Jalil.

Hakikatnya, salah satu syarat untuk diiktiraf sebagai negara maju seperti diidam-idamkan pemimpin negara, pengangkutan awam negara hendaklah cekap, efisyen serta tambangnya tidak membebankan rakyat. Jika pengguna pengangkutan awam terus dipermain-mainkan oleh pihak berkuasa, bilakah negara boleh mencapai status itu?

Lihatlah betapa pembinaan hab pengangkutan awam Plaza Rakyat, dari dahulu hingga sekarang tidak siap-siap (harap tidak begitu selamanya), sudah cukup untuk mengesahkan bahawa kemudahan dan keperluan orang awam bagi golongan pertengahan dan bawahan tidak langsung menepati slogan ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan!’

No comments: