Monday, April 19, 2010

Tunaikan hak asnaf, usah menyibuk masa pilihan raya

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dengan sanadnya daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah Shallahhahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang ertinya: "Sesiapa yang mengikut jenazah sehingga disolatkan ke atasnya, maka baginya pahala Qirat, dan sesiapa yang mengikut jenazah sehingga dikebumikan, maka baginya dua Qirat. Lalu ada di kalangan sahabat yang bertanya: Apa itu dua Qirat? Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: Seperti dua gunung yang besar."


Bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dipanjangkan usia, maka pada kesempatan singkat ini dapat kita manfaatkan ruang dan masa untuk memuzakarahkan hal ehwal pilihan raya termasuk yang akan diadakan di Hulu Selangor dan Sibu tidak lama lagi.

Berhubung agihan bantuan dan projek yang kini dikatakan begitu galak di kawasan pilihan raya, kita tertarik untuk membicarakannya berdasarkan falsafah dan kaedah pengagihan zakat. Zakat adalah salah satu daripada Rukun Islam, tidak mempercayai dan mengamalkannya menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam. Malah antara perkara pertama dilakukan oleh Sayidina Abu Bakar As-Sidiq selepas dilantik menjadi khalifah adalah memerangi golongan yang enggan mengeluarkan zakat.

Dalam harta orang kaya itu terdapat hak orang miskin; mereka yang cukup syarat-syaratnya wajib mengeluarkan bahagian tertentu daripada nilaian harta tersebut. Sekali lagi diulang bahawa dalam harta seseorang itu ada hak orang yang berhak mendapatkannya.

Orang yang berhak ke atasnya ada lapan golongan yang diistilahkan sebagai asnaf sebagai firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah Ayat 60 yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Wang zakat ini perlu dikeluar dan diberikan kepada asnafnya apabila sudah cukup syarat-syaratnya. Ertinya keluarkan dan berikan saja kepada golongan yang berhak tanpa diambil kira musim dan sebagainya. Orang yang ada dalam simpanannya harta yang diwajib dikeluarkan zakat mengikut syaratnya, tetapi menangguh-nangguhkan pada masa yang kononnya sesuai mengikut jadual mereka seperti hari ulang tahun kelahiran atau hari kebesaran lain, mereka hanya mengundang ancaman daripada Allah SWT. Ertinya, dalam bab zakat ini, berikan saja kepada golongan yang berhak sebab mereka ada hak di atas harta itu, jangan banyak dolak-dalih.

Sehubungan itu, kita menasihatkan diri kita sendiri dan pihak penyampai (bantuan) zakat (pihak berkuasa) janganlah menahan-nahan wang zakat ini dan hanya tergerak untuk memberikannya pada majlis-majlis yang mereka ada kepentingan seperti menjelang pilihan raya. Sedarlah wang zakat itu adalah hak asnaf berkaitan, jadi berikan hak mereka yang berhak tanpa cuba mengeksploitasinya untuk kepentingan diri, pemimpin dan parti politik kita.

Berhubung dengan kehebatan zakat ini, kita berpendapat alangkah eloknya projek-projek pembangunan dan bantuan daripada pihak berkuasa (berada) yang mahu disampaikan kepada rakyat, mencontohi falsafah zakat – berikan hak kepada mereka yang berhak tanpa mempedulikan imbalan yang mahu diraih, misalnya mencari keuntungan dalam kempen pilihan raya.

Sehubungan itu adalah tidak perlu untuk menghebahkan projek itu dan projek ini dan menyibuk mengagih-agihan bantuan menjelang sesuatu pilihan raya. Apabila ini dilakukan maka akan timbul tanggapan bahawa perkara dilakukan tidak ikhlas, ada udang di sebalik batu atau terus terang dikatakan berlaku rasuah politik bagi menggula-gulakan rakyat.

Alangkah indahnya jika dikuti falsafah zakat tadi, ada hak rakyat dalam perolehan pemerintah yang sesetengah pihak mendakwa berbilion-bilion ringgit yang perlu diberikan kepada yang berhak dengan segera. Tidak kiralah mereka menyokong kita atau tidak, selagi mereka berhak (jika dalam kes zakat disebut asnaf), berikan hak itu kepada mereka. Usahlah buat-buat sibuk mahu mengagih-agihan hak rakyat ini masa kempen pilihan raya, berikan kepada yang berhak akan hak mereka!

No comments: