Sunday, April 25, 2010

Dari Bagan Pinang ke Hulu Selangor, masalah rakyat tak beres

***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"...Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, jangan kamu sekalian berlaku sombong terhadap-Ku dan datanglah kepada-Ku sebagai orang-orang yang berserah diri." (An-Naml,27: 30-31)
***

Sekali lagi rakyat akan menyaksikan sebuah pilihan raya kecil. Kali ini bagi kawasan Parlimen Hulu Selangor pada 25 April. Sehubungan itu, penulis mengajak pembaca mengimbau kenangan pilihan raya kecil Bagan Pinang pada pertengahan Oktober 2009 yang menyaksikan tokoh Umno-BN, Tan Sri Isa Samad menewaskan calon PAS (Pakatan Rakyat), Zulkefly Mohamad Omar.

Selepas kejayaan besarnya, sepanjang pengetahuan penulis, nama Isa tidak muncul di dada-dada akhbar sehinggalah satu berita sensasi baru-baru ini beliau menikahi bekas Ketua Puteri Umno Negeri Sembilan dan Ketua Penerangan Puteri Umno, Bibi Sharliza Mohd Khalid.

Tahniah Isa kerana mendapat isteri baru tetapi bagaimana perkembangan penduduk di Dun Bagan Pinang yang diwakilinya. Penulis yang sesekali ke Port Dickson kerana jaraknya yang dekat, dapat menyaksikan sedikit sebanyak perubahan di kawasan berkenaan dan sekitarnya.

Memanglah pembangunan amat pesat di kawasan pinggir pekan Port Dickson ini. Hotel semakin banyak didirikan, demikian juga jalan rayanya dinaik taraf. Suatu ketika penulis terperangkap dalam kesesakan jalan raya amat teruk dalam perjalanan dari sebuah hotel di Teluk Kemang sehinggalah ke pekan Port Dickson yang jaraknya lebih kurang 15 kilometer. Sebabnya kerana kerja-kerja menaik taraf jalan yang sedang dilakukan.

Sebenarnya, kerja-kerja menaik taraf jalan itu bukan membabitkan pinggir bandar Port Dickson saja, tetapi ia adalah sebahagian daripada projek pembesaran jalan dari Teluk Kemang sehinggalah ke Linggi berhampiran sempadan Negeri Sembilan-Melaka.

Sepanjang pengetahuan penulis yang melalui jalan itu, projek itu sebenarnya sudah berjalan buat tempoh yang terlalu lama, tetapi laluan itu ‘tidak pernah siap-siap’. Apa yang disaksikan di sepanjang tepi jalan, adalah timbunan tanah, pasir, tanda amaran dan rentangan tali panjang.

Ketika pilihan raya kecil Bagan Pinang dulu, isu jalan raya itu kerap ditimbulkan, tetapi nampaknya selepas Isa Samad mendapat kerusi dalam Dun Negeri Sembilan, jalan itu tidak siap-siap juga menyebabkan penduduk sudah hilang sabar seperti dilaporkan agensi berita Bernama ini.

Penduduk bakar geran rumah sebagai protes projek jalan terbengkalai

TELUK KEMANG, 10 April -- Akibat projek pembinaan jalan raya terbengkalai selama enam tahun, 24 penduduk dari Rumah Rakyat Pasir Panjang, Port Dickson nekad membakar geran rumah mereka sebagai tanda protes.

Kerja pelebaran jalan sepanjang 17 kilometer yang menghubungkan Pasir Panjang ke Linggi itu terbiar selepas kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan projek itu sehingga menyebabkan banjir lumpur sering terjadi selain keadaan jalan yang membahayakan.

Wakil penduduk yang mengetuai protes itu, Rahimuddin Md Harun berkata penduduk di situ pernah membuat aduan kepada pihak yang bertanggungjawab tetapi tiada satu pun tindakan yang diambil.

"Kita tidak menolak pembangunan tetapi jalan ini sudah terbiar terlalu lama. Apabila hujan rumah kami dilanda banjir lumpur, bila kering, debu berterbangan dan permukaan jalan juga tidak selamat," katanya kepada pemberita.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan Memantau Perkhidmatan Agensi Kerajaan (Gempak) berkata penduduk sudah mula hilang sabar apabila kerap diberitahu bahawa projek itu masih berjalan tetapi sudah enam tahun berlalu dan jalan masih tidak siap-siap.

Seorang lagi penduduk yang ditemui, Siti Rohani Muhammad, 28, berkata anaknya kini menghidap penyakit lelah yang dipercayai akibat debu daripada projek jalan raya yang terbengkalai itu.

"Saya sudah duduk di sini selama lima tahun, memang sudah tidak tahan lagi kalau boleh hendak pindah. Apabila kering berdebu dan saya terpaksa tutup pintu dan tingkap rumah tetapi apabila hujan, rumah kami pula dilanda banjir lumpur," katanya.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan, Datuk Ir Roslan Mohd Taha yang ditemui pemberita ketika menjalankan pemantauan di kawasan itu menjelaskan, projek jalan raya itu terbengkalai akibat kegagalan kontraktor menyiapkan projek itu ekoran masalah dalaman.

Kontraktor lain sudah dilantik untuk meneruskan semula projek itu dan ia dijangka siap menjelang hujung tahun ini, katanya.

Sebuah tembok berukuran 1.5 meter tinggi juga akan dibina di hadapan rumah penduduk yang dilanda banjir lumpur semasa hujan, katanya.

Demikianlah, derita rakyat berpanjangan sekalipun wakil rakyat bertukar ganti. Mereka datang dan pergi dengan seribu janji tetapi sebahagian besarnya ibarat menanam tebu di bibir. Sebelum diberi mandat, mereka bijak menyusun kata bagaikan orang meminang, selepas menang, mereka bersenang-senang membiarkan rakyat terkunang-kunang seperti dialami penduduk Teluk Kemang.

Projek jalan raya yang tidak siap-siap dalam tempoh lama bukan perkara baru. Banyak kerja-kerja menaik taraf jalan terbengkalai bertahun-tahun lama, penduduk dan pengguna jalan raya sudah lali dengan azab ditanggung.

Beberapa tahun lalu, ketika kerap berulang-alik menggunakan jalan raya Batu Gajah ke Seri Iskandar di Perak Tengah, penulis mendapati jalannya sukar disiapkan.

Daripada anak penulis di bangku sekolah rendah sehinggalah dia menjejaki kaki di pusat pengajian tinggi jalan ini tidak siap-siap. Namun akhirnya jalan ini siap jua, kini pengguna boleh memandu dengan selesa dari Gopeng terus ke Seri Iskandar.

Kerja-kerja menaik taraf Jalan Muar-Melaka juga mengambil masa bertahun-tahun, mungkin hampir 10 tahun. Demikian juga Jalan Kuala Selangor ke Klang, bertahun-tahun lamanya barulah dapat disiapkan.

Ketika kerja-kerja pembinaan, terpaksalah pengguna jalan raya dan juga penduduk setempat menanggung sengsara dan menelan kepahitan apabila membaca papan tanda ditulis: “Segala kesulitan dikesali. Kerja-kerja ini adalah untuk kesenangan anda pada masa depan!”

Berdasarkan perkembangan ini, tiada wakil rakyat yang boleh berbangga kononnya dengan kehadiran mereka, masalah rakyat akan selesai. Sebenarnya selagi wujudnya makhluk bernama manusia, masalah akan datang dan pergi, manusia tidak dapat menyelesaikan masalah.

Ini kerana apabila satu masalah dapat diselesaikan, akan timbul masalah lain. Itulah sebabnya selalu berlaku kerja-kerja mengorek jalan raya, kemudian dikambus, kemudian dikorek balik dan dikambus kembali. Putaran ini akan berterusan, tiada penghujung kecualilah apabila berlaku kiamat.

Bagi individu pula, putaran ini akan hanya berhenti apabila dia mati. Jadi manusia termasuklah wakil rakyat bukan penyelesai masalah, penyelesainya hanya Allah SWT. Oleh itu jangan bergantung kepada manusia, kembali kepada-Nya jika mahu selamat dunia dan akhirat!

No comments: