Friday, April 9, 2010

Siapa kata Muslim tidak boleh berkonsert?

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
“Dan antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Allah menciptakan isteri-isteri bagi kamu daripada jenis kamu sendiri, agar kamu dapat hidup tenang bersama mereka. Kemudian Allah menciptakan kasih sayang antara kamu. Sesungguhnya dalam hal yang demikian itu terdapat bukti-bukti bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah Ar-Rum, Ayat 21)
***

DISEBABKAN Karam Singh Walia (iklan di TV3) begitu teruja mengajak penonton ke tapak Jom Heboh di Kelantan 27 dan 28 April lalu, saya tidak ketinggalan menekan ‘channel’ (rangkaian) untuk mengikuti siaran TV3 di rumah, mahu tahu apa pengisian konsert Jom Heboh di bandar raya Islam Kota Bharu (KB).

Apa yang saya saksikan, daripada awal hingga akhir hanya ada penyanyi lelaki seperti Jay Jay, Yasin dan beberapa kumpulan nasyid dengan pengacaranya juga lelaki. Penonton pula diasingkan mengikut gender – perempuan ditunjukkan seolah-olah berada dalam pagar, yang lelaki pula tidak jelas dalam siaran langsung televisyen itu.

Saya diberitahu kemudiannya bahawa penonton diasingkan dalam tiga kumpulan – perempuan, lelaki dan mereka yang berkeluarga. Apa yang saya saksikan di kaca TV, penonton perempuan kelihatan bersopan, kebanyakannya bertudung.

Konsert Jom Heboh di KB membuka lembaran baru pengertian hiburan bagi sebahagian besar umat Islam Malaysia. Jika dulu sesetengahnya mengasosiasikan konsert Jom Heboh dengan perkara maksiat, sekarang jendela telah terbuka, rupanya konsert juga diizinkan di bumi Tok Guru oleh Tok Guru sendiri, seolah-olah memberitahu konsert adalah dibolehkan dalam Islam.

Ini tentulah berbeza dengan kata-kata tegas seorang mufti sebuah negeri tidak lama dulu bahawa konsert Jom (dulunya Sure) Heboh adalah haram. Kerana difatwakan haram, maka konsert itu perlu diakhiri atau ditamatkan.

Ulama yang menegaskan konsert Jom Heboh itu haram tidak memegang kuasa negeri, tetapi Tok Guru yang mengizinkan konsert Jom Heboh di negerinya, mengepali negeri; jadi jelas ada berbezaan besar antara ulama yang memerintah dan yang diperintah.

Ulama yang memerintah, boleh meletakkan syarat kepada penganjur (dalam kes ini TV3) tetapi ulama yang diperintah (tiada kuasa), tidak berupaya berbuat demikian, dia hanya menyatakan konsert Jom Heboh itu haram.

Demikianlah dalam banyak hal lain, alangkah beruntung hidup di bawah pimpinan ulama yang berusaha melaksanakan hukam-hakam kehidupan Islam dalam semua bidang kehidupan sehingga apa yang dianggap haram (seperti konsert Jom Heboh) boleh ditukar menjadi sesuatu yang halal.

Malah konsert boleh dijadikan pentas untuk berdakwah seperti dilakukan beberapa kumpulan nasyid. Bukankah di luar negara, bekas penyanyi Cat Stevens yang kini bernama Yusuf Islam amat berjaya dalam konsert dakwahnya?

Berhubung penampilan penghibur lelaki saja pada konsert Jom Heboh di Kota Bharu seperti dikritik pelbagai pihak termasuk yang mendakwa kerajaan PAS Kelantan mendiskriminasi golongan wanita, penulis berpendapat ia tidak sewajarnya mematahkan semangat pihak yang cuba merealisasikan konsert bernuansa Islam.

Mungkin pada masa depan akan diadakan konsert yang membabitkan wanita saja daripada penghibur, penonton dan mereka yang terbabit di belakang persembahanan seperti juruhias, pereka, pengarah dan juruteknik.

Pengasingan lelaki dan wanita pada sesuatu majlis dan tempat tidak wajar dilihat sebagai suatu tindakan ekstrim, semuanya dilakukan mengikut syariat yang bertujuan menjaga kehormatan wanita sendiri.

Jika diamati perkembangan di seluruh dunia, terdapat usaha sesetengah pihak berkuasa melakukan pengasingan gender demi keselesaan wanita. Misalnya di Jepun ada gerabak kereta api khas untuk wanita manakala di Iran, penumpang bas di kalangan wanita mempunyai tempat khas di bahagian belakang. Sekarang ini di negara kita pula Komuter (KTM) juga bercadang memperkenalkan gerabak khas untuk wanita.

Konsert Jom Heboh di Kota Bharu telah membuka mata dan hati banyak pihak bahawa Islam itu sebenarnya mudah, manusia sendiri yang menyusahkan diri dan sesuatu keadaan itu. Apabila konsert boleh dapat Islam, tentulah banyak aktiviti budaya dan hiburan lain seperti berkaraoke, teater, drama, perfileman dibenarkan oleh Islam. Namun begitu, tentulah semua ini perlu mematuhi syaratnya mengikut hukum-hakam Islam seperti penganjuran konsert Jom Heboh di Kota Bharu itu.

Islam mudah, tetapi pemerintah dan masyarakat menyusahkan keadaan. Misalnya perkahwinan (pernikahan) dalam Islam cukup mudah tetapi masyarakat telah menjadikannya sesuatu yang kompleks sehingga menyukar pasangan untuk berkahwin. Diciptanya pelbagai adat dan peraturan sehinggakan seorang pemuda hendak menikah seorang gadis diperlukan menyediakan wang hantaran sehingga puluhan ribu ringgit.

Asalnya persetubuhan adalah haram tetapi dengan berlakunya penikahan, persetubuhan yang haram tadi sudah jadi halal. Persoalannya, mengapa masyarakat menyukarkan usaha ke arah menghalalkan sesuatu seperti persetubuhan (melalui pernikahan) sehingga menyebabkan berlaku penzinaan berleluasa yang menyumbangkan kepada kelahiran ratusan ribu anak luar nikah di negara kita?

No comments: