***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Sabda Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud: "Semua daging yang tumbuh daripada (duit dan rezeki) yang haram, maka api neraka adalah terlebih utama untuknya." (Riwayat Tabrani)
***
Sedih membaca laporan akhbar alternatif bahawa ada pekerja estet di Hulu Selangor menerima gaji bersih RM270 sebulan. Demikianlah, kemiskinan dan kemelaratan hidup berleluasa di negara kita, tetapi yang lebih penting sikap terlepas pandang (atau buat-buat tidak pandang) pihak berkuasa perlu ditangani segera. Ini kerana negara sering diuar-uarkan sebagai yang paling ke depan di kalangan negara-negara sedang membangun dengan pendapatan rakyatnya dikatakan antara yang terbaik di rantau sebelah sini.
Berikut disiarkan komentar saya mengenai kemiskinan tidak lama sebelum pilihan raya kecil Ijok, Selangor tidak lama dulu. Pada pendapat saya paparan ini relevan menjelang pilihan raya kecil Hulu Selangor; kemiskinan adalah sinonim dengan sejumlah rakyat, harap-harap mereka tidak terlepas pandang selepas ini.
***
Saya bukan kaki TV. Tetapi pada suatu malam (hari Jumaat, 27 April), selepas balik daripada solat Isyak di masjid, saya 'terlentang' di sofa, di depan kaca TV. Rancangan TV yang dibuka anak-anak terlihat oleh saya. Rancangan itu adalah 'Bersamamu' TV3.
Disebabkan tidak mengikuti daripada awal, tidaklah dapat saya kisahkan paparan itu secara 'detail'. Apa yang saya lihat, paparan sebuah keluarga miskin, terlalu daif, kalau tidak silap saya kediaman mereka dekat Batu Gajah, Perak.
Keluarga daif itu ditunjukkan tinggal di rumah usang dekat lombong. Ketua keluarga berkata dia telah berusaha bersungguh-sungguh tetapi nasibnya tetap macam itu juga. Dia dan keluarganya sudah melakukan macam-macam ikhtiar - termasuk mencari besi buruk dan barangan terpakai lain.
Lelaki pertengahan usia itu berkata lebih kurang begini: "Saya dah berusaha, tapi nampaknya apa yang dapat, hanya cukup-cukup untuk makan saja."
Juga dipaparkan keluarga ini pergi menangkap ikan di lombong. Dapat dua ekor ikan talapia. Ikan dua ekor itu digoreng dengan sisa minyak. Dengan ikan dua ekor itulah keluarga itu makan malam itu. Hanya nasi dan ikan. Entah berapa orang terpaksa berkongsi lauk ikan dua ekor itu, saya tidak perasaan tetapi yang pasti ramai.
Kemudian wartawan TV itu mewawancara wakil rakyat kawasan itu. Seorang wanita. Dengan selamba dia berkata, dia tidak tahu pun kewujudan keluarga miskin itu.
Syabas saya ucapkan kepada stesen TV berkenaan kerana menyiar dan memaparkan kisah keluarga TERLALU MISKIN itu pada malam pilihan raya Ijok.
Bayangkan esok penduduk Ijok akan mengundi, TV berkenaan memaparkan bagaimana ada rakyat tidak cukup makan. Ia membayangkan betapa prihatinnya TV berkenaan manakala wakil rakyat parti pemerintah tidak buat kerja - cakap saja berdegar-degar tetapi habuk pun tiada.
Paparan kisah keluarga tidak cukup makan ini membuktikan peruntukan kilat RM36 juta (kata sesetengah orang RM100 juta) di Ijok, tiada nilai satu sen pun. Ini kerana kalau betul-betul pihak pemerintah hendak membantu rakyat, tentulah tidak keluar kisah ada keluarga yang tidak cukup makan di negara ini. Dan pada malam pilihan raya pula.
Kalau RM36 juta dikeluarkan semata-mata untuk kebajikan rakyat, mengapa dikeluarkan di Ijok pada masa orang di sana sibuk dengan pilihan raya. Itu tentulah ada udang di sebalik batu. Atau kata muda-mudi sekarang ini 'ada udang di sebalik mee'. Jika dengan joran, pancing dan cacing, keluarga miskin di Batu Gajah itu dapat pancing dua ekor ikan talapia untuk 'santapan' mereka, dengan RM36 juta (atau RM100 juta), pemimpin BN dapat pancing 5,884 undi, membolehkan 'budak bujang' K Parthiban, 38, menjadi wakil rakyat. (kini apa sudah jadi dengan Cikgu K Parthiban?)
Selepas Parthiban menjadi 'YB' apakah kisah 'sekeluarga makan dua ekor talapia' itu tidak berlaku di Ijok? Mungkin Parthiban akan berperangai sama seperti wakil rakyat wanita tadi, apabila diajukan soalan mengenai keluarga miskin itu dia berkata, dia tidak tahu.
Rancangan Bersamamu itu tepat pada masanya. Sungguh hebat propaganda stesen TV itu memburukkan parti pemerintah. Biasanya pada malam pilihan raya, TV akan menyiarkan rancangan memburuk-burukkan pembangkang dan memberi liputan meluas kebaikan dan pencapaian kerajaan.
Tetapi pada malam itu, alangkah bertuahnya melihat dengan mata saya sendiri stesen TV berkenaan menggambarkan kejelekan wakil rakyat kerajaan dan kemiskinan rakyat yang memaksa mereka membasuh pakaian menggunakan air lombong, makan ikan lombong manakala anak-anak keluarga ini tidak berupaya disekolahkan.
TV berkenaan telah membuktikan bahawa sebahagian rakyat masih tersisih, miskin, terpaksa makan ikan lombong pada ketika pemimpin negara mendabik dada, ekonomi kita paling hebat, projek pembangunan kita paling menyuruh dan kata mukjizat 'hanya BN yang mampu perintah negara'.
Tetapi sayang, sayang seribu kali sayang, rakyat masih tidak nampak 'kecurangan' parti pemerintah. Mereka, terutama orang Melayu, masih 'tidak teringin' menghukum parti pemerintah yang lalai daripada membela rakyat. Mereka tidak nampak pemimpin parti pemerintah melambakkan wang dan janji jika ada pilihan raya, jika tidak mereka tidak peduli akan nasib rakyat. Jika tidak masakan ada keluarga besar terpaksa makan malam berlaukkan dua ekor ikan lombong!
Di Ijok, pengundi Cina dikatakan menghukum BN dengan tidak memberikan undi sepenuhnya kepada calon komponen parti itu. Undi orang Cina dikatakan banyak menyebelahi calon KeADILan. Orang Cina sudah bosan dengan karenah wakil rakyat BN sebelum ini yang mengabaikan kepentingan kaum mereka. Tetapi orang Melayu...entahlah!
Akhir kata, syabas diucapkan kepada TV3 kerana begitu 'bertanggungjawab' pada malam pilihan raya. Dan kepada rakyat di kampung dan desa di pedalaman sana, sekali pun kalian tidak mengundi calon kami, kami tetap bersamamu seperti dicoretkan seorang pejuang tidak bernama ini.
Aku Menangis Bersamamu, Rakyat Kecil
Aku menangis bersamamu, rakyat kecil: orang-orang miskin yang terpaksa antri beras murah berjam lamanya, yang tak punya biaya buat lanjutkan sekolah anaknya ke kota, yang terisak karena dirampas sawah dan ladangnya, yang semaput digebuk polisi karena terpaksa maling pupuk di gudang negara, yang ditampar yang ditinju yang dibanting serta diperkosa hak-haknya sebagai manusia.
"Wahai, Tuhan Yang Maha Kaya, beri kami Cinta!"
Aku menangis bersamamu, rakyat kecil: karena kalian hanya sanggup meratapi penindasan yang tak henti menggilas kehidupan tanpa mampu melakukan perlawanan, karena kalian cuma sanggup mengumpat dan mempertanyakan janji-janji keadilan dari bilik-bilik kalian yang kumuh sambil terbaring menahan perut yang kelaparan, karena kalian adalah mahluk kesayangan Tuhan.
"Wahai, Tuhan Pencipta Keadilan, beri kami Kekuatan."
Aku menangis bersamamu, rakyat kecil: yang kecut yang takut yang geram karena telah sekian lama dijadikan sapi perahan milik kaum modal dan penguasa, bangkitlah!, jangan diam saja, sekarang saatnya kita melawan, lawanlah kemiskinan, lawanlah pembodohan, lawanlah penjajahan yang telah berabad menginjak-injak nasibmu dengan sepatu lars kekuasaan, bersatulah wahai kaum yang kalah!, sekarang saatnya mewujudkan segala mimpimu akan keadilan yang telah sekian lama terpendam di dalam batin yang sakit dan terjajah, maju!, majulah rakyat kecil yang terhina, bersatulah, tunjukkan kini kuasa dirimu atas dunia.
"Wahai, Tuhan Penguasa Jagat Raya, beri kami Senjata."
_
No comments:
Post a Comment