Ketika penulis berada di bangku sekolah rendah dan menengah (1970 dan 80-an), tidak pernah ibu bapa dijemput oleh guru untuk menghadiri sesi kaunseling ketika mengambil buku laporan kemajuan atau mengikuti program motivasi anjuran sekolah.
Tahun ini dua anak penulis bakal menduduki peperiksaan awam, UPSR dan PMR. Pihak sekolah mereka telah menganjurkan program motivasi sebagai langkah persediaan termasuk memantapkan semangat bukan saja kepada anak-anak tetapi juga ibu bapa menjelang peperiksaan berkenaan.
Bagi program membabitkan anak penulis yang menduduki PMR, ia diadakan pada petang Jumaat, 9 Februari. Penulis tidak dapat hadir kerana kesibukan bekerja; jadi ‘tugas’ itu ‘diserahkan’ kepada isteri.
Pada pagi Sabtu, 14 Februari lalu, penulis menghadiri program motivasi anjuran sekolah si anak yang bakal menduduki UPSR pada 8-10 September nanti. Ini adalah program motivasi pertama membabitkan ibu bapa; nanti akan diadakan program membabitkan ibu bapa dan anak. Bagi program pertama ini pihak sekolah mengundang Dr Narendra Kumar dari Institut Keguruan Perempuan Melayu Melaka sebagai penceramah.
Awal-awal lagi, seolah-olah memahami rungutan ibu bapa yang terpaksa ‘mengorbankan’ masa berharga pagi Sabtu itu, Dr Narendra berkata anak-anak perlu dididik mengikut zamannya. “Dulu memanglah, pada zaman saya (beliau kini berusia 53 tahun) dan tuan puan, mana ada ceramah motivasi seperti ini. Tetapi itu dulu, sekarang sudah berbeza. Kita perlu mengikuti peredaran zaman. Anak-anak perlu dididik mengikut zamannya.”
Penulis terpegun mendengar kata-kata Dr Narendra ini. Ia mengingatkan saya akan kata-kata hikmah Sayidina Ali k.w. bahawa didiklah anak-anak kamu untuk menghadapi zamannya. Yalah, takkan cara belajar tahun 1970-an yang dilalui penulis dulu hendak digunakan kepada anak-anak pada zaman kemajuan pesat bidang teknologi maklumat masa kini.
Anak-anak kini, walaupun masih di kelas tadika dan bangku sekolah tahun satu dan dua, jari-jari mereka sudah terbiasa dengan kekunci ‘lap top’ dan komputer. Kalau dibiarkan, dari ‘celik mata’ sehingga larut malam, mereka boleh duduk di depan komputer, bermain ‘game’!
Itulah, kata Dr Narendra, jika mahu melihat anak berjaya, mereka perlu dipantau. Mereka perlukan perhatian. Anak-anak remaja yang mula mengenali dunia lebih luas, juga perlu didekati. Jika tidak, mereka akan mencari orang lain (misalnya teman lelaki atau teman wanita) untuk meluahkan perasaan masing-masing. Jika ibu bapa asyik dengan tugas dan tiada masa untuk anak-anak, mereka akan mencari ‘orang lain’ untuk mengisi kekosongan itu.
Selain itu anak-anak perlu dipastikan sentiasa bersemangat. Untuk tujuan itu, ibu bapa perlu diberi suntikan semangat antara lain dengan mengikuti ceramah motivasi keibu-bapaan yang kemudian bolehlah mereka terapkan kepada anak-anak.
Katanya, kalau hendak berjaya, seseorang itu perlu melaksanakan empat langkah iaitu mengenal pasti matlamat; mempunyai komitmen terhadap matlamat; bersedia mengubah tingkah laku; dan akhirnya mengubah sikap dan minda.
Matlamat untuk berjaya ada pada semua orang. Tiada orang yang mahu gagal. Tetapi kata Dr Narendra, kejayaan adalah usaha, tiada kejayaan tanpa usaha. Penekanan beliau dalam perkara ini menarik perhatian saya. Tiada orang boleh berjaya tanpa usaha. Misalnya seseorang yang mempunyai matlamat untuk menjadi seseorang yang berilmu, dia mesti bekerja keras untuk mendapatkannya. Dia mesti mengorbankan masa dan usaha untuk mendapatkannya.
“Ilmu tidak dapat dibeli dengan wang ringgit,” katanya. “Jika kamu ada jutaan ringgit, bolehkah kamu beli ilmu di pasar raya?” Katanya, perkara itu mustahil, jadi adalah penting untuk setiap orang, lebih-lebih lagi pelajar sekolah berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapatkan ilmu.
Katanya, pada zaman serba mencabar sekarang, menimba ilmu saja tidak memadai, seseorang itu perlu mencatatkan keputusan paling cemerlang bagi membolehkan dia mendapat biasiswa.
“Terus terang saya katakan kepada anak-anak saya, bahawa saya tidak mampu menghantar mereka ke luar negara bagi mengikuti sesetengah pengajian seperti perubatan. Kalau mereka mahu, terpaksalah mereka belajar bersungguh-sungguh bagi mendapatkan keputusan paling cemerlang seterusnya mendapat biasiswa,” katanya.
Menurut Dr Narenda, kos pengajian bidang perubatan paling murah di luar negara sekarang ini adalah kira-kira RM220,000 di Indonesia. Itu pun belum memadai, kerana kos tambahan mungkin membabitkan puluhan ribu lagi.
Di negara lain, kosnya lebih daripada itu dan boleh meningkat sehingga jutaan ringgit yang sudah pasti tidak dapat ditanggung ibu bapa. Jadi pelajar perlu dapatkan keputusan cemerlang agar dapat ‘scholarship’, bagi membolehkan mereka mengikuti bidang ini, katanya.
Berdasarkan kepada keperluan bekerja keras, pengorbanan dan jumlah wang yang perlu dibelanjawan untuk melahirkan seseorang insan profesional seperti doktor, mungkin akan melemahkan ibu bapa dan pelajar. Tetapi seperti kata, Dr Narenda, mereka perlulah berfikiran positif termasuk bersemangat untuk merealisasikan matlamat dan harapan masing-masing.
“Kamu akan menjadi apa yang kamu (mahu) kehendaki. Jika kamu menghendaki menjadi seorang doktor, dengan menetapkan matlamat, ada komitmen terhadap matlamat, bersedia berubah tingkah laku dan sikap, kamu akan berjaya.
Anak-anak perlu selalu diingatkan untuk terus belajar dan belajar bagi mendapatkan kejayaan seterusnya mendapat ‘scholarship’, kata Dr Narendra. “Berdasarkan kajian-kajian sarjana, tidak pernah saya ketemui orang menjadi gila kerana belajar terlampau kuat,” katanya.
Dr Narendra tidak ketinggalan menyelitkan unsur kerohanian apabila berkata: “Kalau kamu mendoakan kejayaan anak orang lain, anak kamu juga akan didoakan oleh orang lain, dan ini menyumbang kepada kejayaan kita bersama.”
No comments:
Post a Comment