Beberapa hari selepas memasuki Berita Harian, Yunus Said (ketika itu Penolong Pengarang Berita dan menjadi terkenal selepas meletakkan jawatan sebagai Pengarah Operasi TV3), memanggil saya ke meja kerjanya.
Beliau memberi nasihat yang mungkin tidak akan saya lupakan sepanjang hayat. Katanya: "Kamu ingat kamu nak jadi Samad Said ke?" merujuk kepada Sasterawan Negara, A. Samad Said. Beliau berkata demikian bagi menyindir cara saya bekerja yang dakwanya macam tokoh besar dunia kesusasteraan itu.
Saya mula mengenali nama A. Samad Said sewaktu bersekolah lagi. Novelnya 'Salina' menarik perhatian saya.
Kata Yunus: "Kalau awak buat kerja, temenung sana, temenung sini, bila kerja kamu nak siap? Kerja ni (buat berita) bukan macam buat buat novel, buat cerpen. Buat kerja sikit, kemudian berhenti - minum kopi, temenung dan kemudian temenung lagi. Besok pun termenung lagi."
Beliau berkata buat berita mahu cepat. Balik 'assignment' (tugasan), terus hadap komputer (buat laporan). Setengah jam atau sejam kemudian sudah boleh diserahkan 'copy'nya kepada editor untuk disunting (edit).
Kalau asyik temenung saja, 'hari pun dah malam', paper (akhbar) pun dah nak di'print' (dicetak). Kamu belum habis lagi dengan temenung kamu, demikian antara kata Yunus.
Kata-kata Yunus ini amat berkesan dalam membantu wartawan kadet (baru) seperti saya. Hampir semua tugasan perlu diselesaikan dengan cepat. Tidak perlu tunggu-tunggu ataupun temenung sana, temenung sini.
Bagi akhbar harian biasa, sebahagian besar 'story' (berita), perlu di'edit' (clear) oleh ketua pemberita atau pengarang berita sebelum waktu maghrib. Lebih cepat lebih bagus, sebab pengarang berita perlu memaklumkan kepada pihak atasan mengenai berita yang sudah ada, yang dijangka 'masuk' dalam tempoh beberapa jam lagi dan yang boleh dijadikan bahan untuk muka depan.
Di sini saya tidak berhajat menceritakan proses pembikinan berita tetapi perkara-perkara yang berlaku di sebalik pencarian berita itu sendiri. Perkara-perkara ini adalah di luar pengetahuan pengarang berita kerana kebanyakannya tidak berminat mendengar masalah berkenaan.
Kebanyakannya hanya tahu memberi tugasan (assignment) pada waktu pagi dan kemudian mahu meneliti berita yang anda tulis pada waktu petang atau malam. Kepala mereka dipenuhi dengan berita, berita dan berita. Semakin dekat malam, semakin semaklah kepala mereka dengan berita, berita dan berita. Mereka hanya lega selepas semua berita utama yang dijangkakan pada hari itu sudah disemak dan diserahkan kepada pengarang yang lebih kanan ataupun ketua penyunting.
Sebagai seorang Islam, setiap detik daripada hayat kita tertakluk kepada peraturan agama. Hal ini tidak berkecuali kepada seorang wartawan Muslim. Tetapi dalam menjalankan kewajipan seorang Muslim, dunia kewartawanan turut menjadi medan perjuangan bagi menguji seseorang itu sama ada dia mahu menjadi seorang Muslim yang taat atau seorang Muslim yang tidak mengambil berat mengenai suruhan agamanya sendiri.
Seperti kebanyakan kerjaya lain, kerjaya wartawan mendedahkan seseorang itu kepada penyelewengan seperti rasuah, tidak mengambil berat tentang disiplin seperti ponteng atau lewat datang kerja, tidak amanah dan sebagainya. Hal-hal ini adalah bersifat individu. Pegangan agama boleh menjauhkan seseorang itu daripada amalan ini.
Tetapi ada perkara dalam dunia kewartawanan sekular, pegangan agama yang kukuh juga tidak dapat menyelamatkannya daripada terbabit bersengkokol dalam perbuatan maksiat.
Sebagai contoh, jika seorang wartawan Muslim itu diberi tugasan untuk membuat liputan laporan tahunan sebuah syarikat minuman keras, apakah beliau mampu menolaknya?
Demikian juga jika dia ditugaskan membuat liputan majlis amal syarikat seumpama itu di premis mereka pula, apakah dia mampu menyatakan tidak? Demikian juga jika dia dikehendaki menghadiri majlis di mana minuman keras bebas dihidangkan, apakah mampu dia menolaknya?
Jawapannya, hampir pasti seorang wartawan Muslim yang taat pun tidak dapat menolak untuk menghadiri majlis-majlis seumpama ini. Apatah lagi jika dia orang baru dalam dunia kewartawanan. Semua arahan pihak atasan perlu dilaksanakan kerana dalam minda pengarang ialah untuk mendapatkkan berita, berita dan berita.
Mereka tidak peduli bagaimana pemberita mendapatkan berita itu. Kesukaran, halangan dan sebagainya bukanlah urusan mereka. Yang mereka tahu, salinan berita itu ada di meja mereka untuk dibuat pembetulan sebelum diserahkan kepada pihak atasan.
Saya juga pernah ditugaskan membuat liputan kerja-kerja amal sebuah syarikat gergasi minuman keras di kilangnya di Lembah Klang. Sekalipun merungut mengenai tugasan berkenaan, tidak ada pihak yang dapat membantu saya daripada berkata 'tidak' kepada arahan berkenaan.
Lebih malang lagi majlis berkenaan berlangsung pada waktu maghrib. Pada waktu solat yang singkat ini, menjadi kegemaran sesetengah pihak untuk mengadakan majlis. Saya tidak tahu mengapa - sama ada ia sengaja dilakukan begitu oleh pihak tertentu sebagai agenda mereka untuk melalai dan menyusahkan orang yang mahu solat atau secara kebetulan saja.
Waktu maghrib memang menjadi kegemaran sesetengah pihak untuk mengadakan majlis. Selalunya dalam borang jemputan, dinyatakan majlis akan bermula jam 7.00 malam tetapi kebanyakan majlis tidak akan bermula tepat pada waktu itu sebaliknya lima belas minit, setengah jam atau sejam kemudian. Ini sudah tentu menyusahkan seorang wartawan Muslim untuk solat.
Salah satu 'tugas' wartawan tetapi tidak dinyatakan secara rasmi ialah menunggu. Sebagai contoh, menunggu menteri, pegawai tinggi dan sebagainya (sumber berita) bersidang dan akan menyerbu sebaik saja 'sumber' berkenaan keluar daripada bilik mesyuarat. Atau menunggu VIP di lapangan terbang. Menunggu adalah satu 'penyeksaan' dan ia mungkin berlarutan berjam-jam lamanya.
Dalam masa menunggu inilah, seorang wartawan Muslim yang patuh, akan resah, seresah-resahnya. Manakan tidak. Waktu solat luput begitu saja, sedangkan dia masih menunggu dan menunggu. Daripada waktu zohor sampai maghrib sidang belum habis.
Ertinya beberapa waktu solat luput begitu saja. Untuk pergi solat, takut tengah-tengah solat, diadakan sidang akhbar. 'Miss' pula 'story'. Jika balik, sudah tentu kena maki-hamum editor. Demikianlah betapa hebatnya cabaran seorang wartawan Muslim - seorang wartawan Muslim yang taat.
Bagi seorang wartawan Muslim yang tidak taat pula, perkara ini bukanlah besar sangat. Dalam kesempatan yang banyak pun mereka tidak solat, apatah lagi pada saat-saat genting untuk mendapatkan berita!
*****Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.
No comments:
Post a Comment