Thursday, April 16, 2009

Menyingkap sejarah Melayu di Bukit Siguntang Mahameru

Kisah Sejarah Melayu bermula dengan penceritaan asal usul Raja-Raja Melayu daripada Nila Pahlawan, Kerisyna Pandita dan Nila Utama (anak Raja Suran yang berketurunan Raja Iskandar Zulkarnain, nisab Sulaiman alaihis salam, pancar Nusyirwan Adil, raja masyrik dan maghrib).

Mereka dibela Raja Aftabul Ard. Apabila dewasa dan teringin ke dunia, “maka oleh Raja Aftabul Ard diberinya seekor lembu yang amat putih, seperti perak yang terupam warnanya. Maka ketiga anak raja itupun naiklah ke atas lembu itu, lalu berjalanlah keluar. Dengan takdir Allah subhanahu wataala yang maha mulia dan maha kuasa, teruslah ke Bukit Siguntang (di Palembang) itu pada waktu malam.

“Maka pada malam itu dipandang oleh Wan Empuk dan Wan Malini dari rumahnya, di atas Bukit Siguntang itu bernyala-nyala seperti api. Maka kata Wang Empuk dan Wan Malini, ‘Cahaya apa gerangan bernyala-nyala itu. Takut pula beta melihat dia.’…Maka keduanya naik ke atas Bukit Siguntang itu. Maka dilihatnya padinya berbuahkan emas dan berdaunkan perak dan batangnya tembaga suasa.” (Sejarah Melayu yang diusahakan WG Shellabear, Alkisah Cetera Yang Kedua, muka surat 17)

Sejak membaca Sejarah Melayu mengenai Bukit Siguntang lebih 20 tahun lalu, penulis berhajat melihat sendiri tempat bersejarah itu. Tanggal 16 Mac, tercapailah impian penulis dan isteri; selepas berjalan kaki dan menaiki bas dari pusat bandar raya Palembang, tibalah di pintu gerbang kompleks bersejarah itu, yang terletak tidak jauh dari Universitas Sriwijaya.

Melihat pintu gerbang agak usang dengan suasana muram, timbul keseraman di hati. Tetapi kaki tetap melangkah, hati waspada kerana sepengetahuan penulis kisah raja-raja di Bukit Seguntang ini berlaku lama sebelum Islam datang ke Alam Melayu. Menurut fakta sejarahnya, sebelum tahun 700 Masihi, Raja-Raja Sriwijaya yang berkerajaan di Palembang termasuk Bukit Seguntang beragama Hindu dan di antara tahun 700 hingga 1200 Masihi, beragama Buddha.

Raja Palembang pertama memeluk Islam adalah Ariodamar (1455-1486). Baginda menggunakan nama Islam, ArioAbdillah atau Aridillah. Sekalipun raja beragama Islam, rakyat dapat diislamkan sepenuhnya ketika pemerintahan Kesultanan Palembang Darussalam yang didaulatkan pada 1659.

Di Bukit Siguntang, keadaan suram dan menyeramkan. Terdapat sekurang-kurang tujuh kuburan raja, permaisuri dan pahlawan di sana. Penulis ditemui seorang wanita tua yang mendakwa sebagai Penjaga Kerajaan Sriwijaya di Bukit Seguntang. Pakaiannya pelik, berwarna merah, namanya Nyaton, 73 tahun. Dia mahu dikenali sebagai Nyai Bukit Siguntang.

Beliau mendakwa keturunannya diamanatkan Patih Gadja Mada dari Majapahit melalui mimpi untuk menjaga makam-makam di Bukit Siguntang Mahameru. Penulis bertanyakannya mengenai Parameswara, anak raja Palembang yang membuka Melaka, seterusnya memulakan Kesultanan Melayu Melaka pada 1400 Masihi. Sejarah Melayu menyebut baginda sebagai Raja Iskandar Syah.

Menurut Nyai Nyaton, Parameswara adalah anak Balaputra Dewa, raja pertama Lembang Melayu di Bukit Siguntang. Beliau beradik dengan Radja Segentar Alam. Selepas berlaku perbalahan, Parameswara membawa diri ke Singapura, seterusnya ke Melaka.

Takdir Allah s.w.t., di Bukit Seguntang, penulis ketemui sepasang suami isteri dari Melaka yang turut berminat akan sejarah orang Melayu dan raja-rajanya yang berasal dari Bukit Seguntang. Haji Minhad Azam, 54, adalah guru besar Sekolah Kebangsaan Batang Melaka manakala isterinya, Norhaslina Nordin, seorang pensyarah di Institut Perguruan Perempuan Melayu, Melaka.

Kata Haji Minhad, kunjungan mereka ke Bukit Siguntang adalah untuk mengetahui lebih lanjut sejarah orang Melayu; budaya, bahasa, dan raja-rajanya. Lebih menarik, katanya, asal usul Kesultanan Melayu Melaka dan sesetengah raja-raja di Semenanjung adalah dari Bukit Siguntang, jadi semakin bersemangatlah mereka.

Beliau berkata orang Melayu sewajarnya sedar, lama sebelum wujud kerajaan Melayu Melaka, bangsa mereka sudah ada tamadun besar, iaitu Kerajaan Sriwijaya yang pada kemuncak kekuasaan, menguasai sebahagian besar Sumatera dan Tanah Melayu.

Haji Minhad berpendapat apa jua perkara bersangkutan orang Melayu seperti budaya dan bahasanya perlu dimartabatkan. Bagaimanapun, beliau agak ‘reserve’ apabila ditanya apakah langkah kerajaan Malaysia memaksakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), tidak ‘menguncupkan’ (istilah yang digunakan Sasterawan Negara A Samad Said) bahasa Melayu.

“Bagi saya, apa yang penting ialah memartabatkan bahasa Melayu. Sepanjang berada di sini saya sempat mengunjungi beberapa sekolah (termasuk sekolah menengah atas), dan apa yang saya perhatikan budi bahasa pelajarnya sangat bagus, mungkin ia ada kaitan dengan budaya dan bahasa Melayu yang sangat halus itu. Inilah ciri-ciri kemelayuan yang perlu dikekalkan,” katanya.

Selepas berbual dengan pasangan dari Melaka itu dan Nyai Bukit Siguntang, kami meronda kawasan berkenaan. Selain kuburan, ada binaan persinggahan atas pelantar yang darinya dapat dilihat sebahagian bandar raya Palembang.

Di tengah-tengah kompleks itu ada sebuah replika tugu besar berwarna hitam yang merakamkan sejarah Palembang. Antara lakaran di atas batu itu adalah kedatangan rombongan Laksamana Cheng Ho ke Palembang; bendang Wan Empuk dan Wan Malini yang berpadikan emas dan lembu ditunggangi Nila Pahlawan, Kerisyna Pandita dan Nila Utama.

Kebanyakan binaan di situ uzur, prasarananya tidak terurus, dan ketika balik, isteri penulis beberapa kali tergelincir semasa menuruni bukit licin dan berlumut, menandakan Bukit Seguntang semakin lama semakin jauh dalam lipatan sejarah!

1 comment:

cicit tengku muda said...

saya ingin mencari keturunan sebelah ibu saya,sinawathi bt haji ismail bin jamek bin tengku muda...mengikut kisah yg diceritakan oleh adik kepada datuk saya,tengku muda mempunyai 3 org adik bradik,pernah ke bukit siguntang...mereka juga melihat padi kuning keemasan dan brjumpa dgn 2 borg perempuan..dan versi cerita oleh keturunan saya ni sama dgn spt ape yg diceritakan dalam cerita ini....adekah 3 beradik itu pergi ke tanah melayu dan menukar nama mereka???tolong saya,sy sgt ingin mncari keturunan(sejarah)saya...saye tinggal di tapah.perak dan kturunan sebelah ibu saya adalah rawa(rao)...