* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis akan menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.
Kisahnya bermula di Samarkand, Uzbekistan. Masanya, suatu hari pada bulan Mei 1992. Ketika itu saya mengikuti rombongan Menteri Luar masa itu, Dato' Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi, membuat lawatan ke Russia dan beberapa republik Asia Tengah bekas Soviet Union.
Suatu hari disebabkan terlalu sibuk menulis laporan untuk dihantar ke ibu pejabat Berita Harian di Kuala Lumpur, saya dan seorang rakan, Suhaimi Mokhtar dari Utusan Malaysia, ditinggalkan rombongan yang berkunjung ke Makam Imam Bukhari.
Selepas menyiap dan menghantar laporan masing-masing, kami membuat keputusan untuk berkunjung ke makam perawi hadis yang masyhur itu. Kami keluar dari hotel dan bertanya pemandu teksi sama ada mereka tahu dan boleh membawa kami ke makam itu.
Malangnya sebahagian besar daripada mereka menggelengkan kepala. Mereka tidak faham bahasa Inggeris. Lagikan nama Imam Bukhari dalam bahasa Russia dan tempatan tidak sama nama yang kita gunakan.
Selepas penat ke hulu, ke hilir, seorang pemandu bersedia membawa kami ke sana. Kami ingatkan makam itu dekat saja. Rupa-rupanya ia agak jauh dari Samarkand. Selepas beberapa kali berhenti, bertanyakan arah, sejam kemudian kami tiba di makam itu.
Lorong menuju makam sepi saja. Jaraknya lebih kurang 100 meter. Di pertengahan lorong terdapat sebuah madrasah. Kami tidak berhenti sebaliknya terus ke makam. Di situ terdapat sebuah bangunan kecil terbuka yang melindungi makam. Keharmonian binaan adalah sama seperti kebanyakan reka bentuk bangunan berciri Islam di Asia Tengah. Bersimetri dan terbuka - melambangkan adunan tempatan dan keharmonian yang amat dipentingkan dalam Islam.
Di pinggir makam itulah saya bertafakur - memberi salam dan seterusnya membaca Surah al-Fatehah. Terkenang-kenanglah saya akan pelajaran hadis yang saya ikuti di bangku sekolah. Hampir kebanyakan hadis mudah yang terdapat dalam buku teks mempunyai catatan bahawa Bukhari dan Muslim sebagai periwayatnya.
Kini saya berdiri, menghadap makam Tuan, wahai Imam Bukhari, bisik hati saya. Alangkah kecil terasa diri, berdiri di makam seorang periwayat hadis yang masyhur itu.
Selepas berdoa dan membelek-belek binaan makam, kami pun beredar ke madrasah yang berdekatan untuk solat sunat. Ketika melangkah ke madrasah, terdengar bacaaan ayat-ayat Suci. Apabila lebih dekat, kelihatan anak-anak muda sedang membaca al-Quran.
Alangkah syahdunya mendengar ayat-ayat Suci itu. Apatah lagi ketika berada di bumi bekas Soviet Union - sebuah negara komunis yang tidak mengakui agama. Pemerintahnya bertindak zalim ke atas rakyat yang berusaha mengamalkan ajaran agama masing-masing.
Apatah lagi ke atas orang Islam. Pemerintah komunis tidak membenarkan orang Islam bersolat secara terbuka. Masjid ditutup. Sebahagian besar dijadikan muzium dan stor.
Tetapi hari itu kami menjadi saksi bahawa kezaliman komunis selama lebih 70 tahun tidak dapat memadamkan syiar Islam. Alunan merdu suara anak-anak muda membaca ayat-ayat Suci itu menikam kalbu saya. Hati saya benar-benar tersentuh. Hati saya terpukul. Hati saya rasa sungguh sayu.
Sayu kerana dalam kesempatan yang banyak untuk belajar ilmu agama di Malaysia, saya amat jahil dalam agama. Tidak tahu membaca al-Quran - buta Quran. Buta huruf al-Quran. Sedangkan saudara seagama di negara komunis ini boleh membaca al-Quran dengan bacaan yang merdu pula. Oh! Alangkah malangnya nasib saya, keluh hati saya.
Rakan yang bersama tidak tahu perasaan dalaman saya. Secara fizikal, saya kelihatan biasa, tetapi dalam hati saya menangis semahu-mahunya. Ya, Allah, ampunilah aku, ampunilah aku ya Allah! Hati saya merintih-rintih, bagaikan dikoyak-koyakkan di Makam Imam Bukhari itu!
No comments:
Post a Comment