Wartawan adalah kerjaya mulia. Dalam dunia semakin mencabar sekarang, akhbar menjadi medan untuk memperjuangkan kebaikan tetapi pada masa yang sama mempamerkan kejelekannya. Kebanyakan bahan yang disiarkan menjurus kepada kebaikan tetapi tidak kurang juga yang menjuruskan kepada kebinasaan.
Sebagai contoh, kita ambil sebuah rencana agama yang mengupas persoalan aurat wanita dan kewajipan menutupnya tetapi dalam akhbar yang sama juga disiarkan gambar-gambar artis yang memperagakan pakaian sesingkat-singkatnya.
Jika demikian halnya, nilai yang mana satu diperjuangkan oleh akhbar tersebut? Pembaca akan menjadi keliru kerana 'suara hati' akhbar berkenaan tidak selari.
Apabila memperkatakan hal-hal agama, ia akan berkata begini, tetapi apabila memperkatakan sesuatu mengenai masyarakat, ia tidak lagi mengikut apa yang dikhutbahkannya sendiri.
Percanggahan seperti ini melahirkan insan-insan sekular. Mereka menjadi baik pada waktu mereka diperlukan untuk menjadi baik tetapi di luar batasan tersebut, mereka tidak lagi terikat dengan nilai-nilai kebaikan itu.
Insan-insan seperti ini akan kelihatan begitu tertib di masjid, tetapi biadap di luar. Bagi yang perempuan pula, mereka akan bertudung ketika menghadiri kelas agama atau masjid tetapi tidak mempedulikannya apabila berada di luar persekitaran tersebut.
Pemikiran sekular ini juga wujud dalam syarikat-syarikat akhbar. Melalui majalah agama, segala kebaikan dan kemurniaan agama akan ditonjolkan. Kononnya, merekalah yang paling hebat memperjuangkan isu-isu agama. Tetapi pada masa yang sama, syarikat yang sama juga mengeluarkan bahan-bahan yang bertentangan dengan segala nilai murni yang diperjuangkan dalam majalah agama itu.
Akibatnya, masyarakat akan keliru dan terus keliru. Jika demikian halnya, di manakah kita mahu meletakkan peranan kita sebagai pemilik, penerbit, pencetak dan wartawan Muslim? Apakah pada suatu ketika kita boleh menjadi seorang Muslim yang paling taat dan hebat memperkatakan kemurniaan agama, tetapi pada ketika yang lain pula kita menjadi pemilik, pencetak, penerbit atau wartawan bahan-bahan yang meloyakan isi kandungannya?
Dalam dunia kewartawanan, inilah yang menjadi dilema seorang wartawan Muslim. Seorang Muslim yang baik yakin setiap apa yang mereka lakukan mempunyai kaitan dengan akhirat. Setiap perbuatan akan menerima pembalasan, sekalipun mereka tidak terbabit secara langsung dengan perbuatan tersebut.
Sebagai contoh kita lihat tugas seorang penyunting dalam sebuah firma penerbitan/akhbar. Seorang penyunting biasanya tidak terbabit dalam pembikinan laporan atau berita. Tugasnya menyunting berita (menyemak isi kandungan termasuk memastikan fakta dan tata bahasa dalam laporan itu betul), kemudian membabitkan diri dalam proses reka letak yang kadang-kadang memerlukan dia menggunakan gambar, ilustrasi dan gambar rajah.
Katakan pada hari tertentu dia dikehendaki bertugas menyiapkan muka surat yang membabitkan dunia hiburan. Dia diarahkan oleh ketua penyunting untuk menyiarkan sebuah laporan mengenai kemunculan seorang artis baru. Ketuanya turut mendesaknya menggunakan gambar artis baru itu dengan 'pos' menghairahkan.
Apakah reaksi penyunting itu? Bagi yang rendah imannya, tugasan itu tidak menjadi 'kudis' kepadanya. Dia dengan segera akan melaksanakan perintah 'bos'nya.
Tetapi bagaimana pula dengan penyunting yang beriman. Sudah tentu tugasan itu mencabar keimanannya. Bagaimana mungkin dia terbabit dalam kerja-kerja yang tidak seiring dengan rasa hatinya?
Dia mula memikirkan kesan penyiaran berita dan gambar itu kepada masyarakat. Masyarakat itu bukanlah sesuatu yang jauh tetapi orang yang mempunyai hubungan dengan dirinya seperti anak, isteri, anak saudara, anak kawan-kawan dan seumpamanya.
Dia mula memikirkan bahawa wang gaji yang dterimanya saban bulan adalah daripada hasil kerja subahat itu. Bagaimana dia dapat hidup dengan tenang apabila menyedari rezekinya termasuk dalam kerja-kerja subahat.
Bagaimana dia tidak gelisah apabila menyedari 'daging anak-isterinya' tumbuh daripada rezeki bersubahat melakukan perkara mungkar. Daging yang ditumbuh daripada rezeki haram, di akhirat kelak akan menjadi bahan bakar api neraka.
Sudah menjadi kebiasaan dalam dunia kewartawanan, bantahan seorang penyunting kepada ketuanya tidak akan dilayan. Demikian juga bantahan seorang pemberita kepada pengarang.
Apa yang dikehendaki oleh pengarang itulah yang perlu dibuat oleh pemberita. Hitam kata pengarang, hitamlah jadinya. Arahan ketua penyunting adalah perintah dan tidak mungkin disanggah seorang penyunting.
Seorang penyunting tidak terbabit secara langsung dalam pembikinan berita. Tetapi tangan-tangannya bersubahat, membantu menyiarkan berita dan gambar - termasuk yang tidak senonoh. Ertinya dia menanam saham - dan saham ini akan dipersoal di akhirat.
Seorang wartawan atau jurugambar pula terbabit secara langsung dalam pembikinan berita dan penghasilkan gambar. Jika berita dan gambar yang tidak senonoh dihasilkan, dia akan dipertanggungjawab mengenai perkara itu di akhirat. Dia juga terpaksa menanggung beban implikasi penyiaran bahan berkenaan. Jika masyarakat menjadi rosak, dia turut disoal di akhirat kelak.
Seorang rakan saya pernah berkata begini: "Jika jurugambar muda, 'tangkap' gambar artis baru 'yang mahu tunjuk sana, tunjuk sini', tidaklah nampak buruk sangat, tetapi cuba bayangkan seorang jurugambar veteran (sudah lama berkhidmat di sesebuah syarikat akhbar, malah ada yang sudah menunaikan haji), diberi tugas itu, alangkah aibnya.
Demikian juga alangkah malang nasib seorang penyunting veteran, sudah tua-tua pun terpaksa terkial-kial membelek gambar artis yang 'terbonjol sana, terbonjol sini'. Lebih malang lagi, dia pula suka melakukan kerja-kerja berkenaan, tidak sedar rambut sudah memutih di kepala!
***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.
No comments:
Post a Comment