Suara Keadilan (SK) dan Harakah digantung permitnya tiga bulan (selepas 11 hari, penggantungan ini ditarik balik). Pihak yang menggantung, mempunyai kuasa besar. Mereka macam Firaun. Manakala yang tidak berkuasa adalah rakyat termasuklah suara rakyat seperti SK dan Harakah. Mereka seolah-olah Bani Israil.
Dalam kisah Bani Israil dan Firaun dalam al-Quran, pemerintah Mesir ini mengerahkan bala tenteranya melenyapkan tentangan rakyat. Sebelum itu, dia diberitahu tukang nujumnya akan lahir seorang anak lelaki di kalangan Bani Israil yang akan menghancurkan kerajaan dan dirinya.
Firaun memerintahkan setiap bayi lelaki Bani Israil dibunuh. Dia fikir dengan berbuat demikian, dia dapat melenyapkan tentangan rakyat, sekali gus menyelamatkan kedudukan dan kerajaannya.
Firaun merancang, tetapi perancangan Allah SWT lagi hebat. Seorang anak Bani Israil yang bernama Musa, membesar dalam istananya sendiri. Fikir-fikirkanlah bagaimana Firaun yang mahu memusnahkan Bani Israil, membela seorang anak Bani Israil dalam istananya. Anak itu kemudian membesar dan memusnahkan diri dan kerajaannya!
Kisah Nabi Musa dan Firaun ini dibaca berulang-ulang. Tetapi orang berkuasa tidak mahu mengambil pengajaran. Mereka sekadar membacanya tetapi tidak sedar mereka sudah bertindak bagaikan Firaun, mereka fikir mereka boleh lenyapkan kebangkitan rakyat dengan menghukum bunuh suara rakyat. Mereka tidak ingat bahawa apa yang mereka buat itu sebenarnya akan menyegerakan kemusnahkan diri sendiri.
Bagaimanapun, kepada pejuang-pejuang rakyat, mereka perlu banyak bersabar. Firaun tidak jatuh sekelip mata, tetapi menurut sesetengah riwayat, 40 tahun selepas Nabi Musa a.s. berdoa akan kehancurannya. Bayangkan 40 tahun, sedangkan Suara Keadilan dan Harakah yang dizalimi, boleh dikatakan masih muda. Suara Keadilan baru beberapa tahun manakala Harakah hampir 22 tahun.
Allah SWT memberi peluang kepada Firaun untuk mengumpulkan ‘lemaknya’, dan kepada pihak yang berbuat zalim hari ini ‘buatlah sesuka hati kamu, mengikut nafsu kamu’, tetapi akan tiba saatnya Allah Taala ‘merentap’nya, dan tahulah nasib kamu. Adalah semalang-malangnya manusia jika keinsafan hanya datang apabila nyawa sudah berada di halkum. Firaun pun tidak diampuni sekali pun dia mengakui akan Tuhan Musa (Allah SWT) ketika dia tenggelam dalam Laut Merah.
Fitnah dan memesongkan laporan – demikian hujah Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung SK dan Harakah. Firaun ketika membunuh bayi lelaki Bani Israil pun berkata demikian. Dia menuduh Bani Israil mengumpulkan kekuatan untuk menjatuhkannya, hakikatnya orang Bani Israil adalah hamba. Sudah semestinya Firaun, tidak mahu mengaku dirinya ‘Firaun’ sebaliknya memfitnah Nabi Musa dan pengikutnya sebagai pengkhianat yang mahu mengguling kerajaannya.
Kebenaran adalah sesuatu yang bersifat universal. Kebenaran itu tidak boleh diambil daripada satu sudut saja, dalam kes penggantungan SK dan Harakah, daripada sudut otak sempit pemimpin Umno-BN. Ambil contoh dalam kes pembunuhan wanita Mongolia dan masalah dihadapi Najib Razak; ia bukan dibahaskan oleh Harakah dan SK saja tetapi oleh akhbar dan media ‘on-line’ seluruh dunia.
Jika SK dan Harakah digantung kerana membuat fitnah dan memesongkan laporan, kenapa pihak yang sama ‘tidak bertindak menggantung’ akhbar Liberation (Perancis), The New York Times, International Herald Tribune, Times Online, The Times of India (India), The Australian (Australia), Kompas (Indonesia), The Nation (Thailand) dan NineMSN (berita internet antarabangsa)?
Bukan saja pihak berkaitan ‘tidak ada kuasa dan hati’ untuk menggantung akhbar dan agensi berita ini, untuk menyamannya mereka perlu fikir ratusan kali. Kalau begitu mengapa bertindak terhadap SK dan Harakah saja? Tidakkah tindakan ini akan memakan diri sendiri kerana di dunia tanpa sempadan kini, pelayar dunia siber tidak mempunyai masalah mengetahui siapa itu Najib, Muhyiddin, Zahid, Hishammuddin, Shafie dan ketua KDN, Hamid yang tewas sekalipun bertindak hebat dengan menggantung SK dan Harakah.
Percayalah, kebenaran tidak akan padam daripada muka bumi ini. Apabila Firaun membunuh seluruh bayi Bani Israil, bangkit juga Bani Israil berketuakan Nabi Musa; dibunuh Hassan Al-Banna lahir ribuan lagi Hassan Al-Banna; jika dibunuh Harakah dan Suara Keadilan, akan lahir ribuan lagi Suara Keadilan dan Harakah.
Kepada pejuang, ingatlah kata-kata hebat Confucius bahawa perjalanan 1,000 batu bermula daripada langkah pertama; bijak pandai mengungkapkan bahawa seseorang itu perlu menanam pokok kana sekalipun tahu buahnya tidak dapat dinikmati diri sendiri (menurut kisahnya, pokok ini memerlukan ratusan tahun sebelum berbuah), manakala Nabi Nuh berjuang selama 1,000 tahun tetapi pengikutnya cuma 83 orang.
Jadi penggantungan Harakah dan SK oleh pihak bernama KDN hanyalah gigitan semut saja kepada pejuang sejati.
Perjuangan menegakkan keadilan menjadi matlamat utama; kata-kata bersemangat Profesor Emeritus Dr Abdullah Hasaan ketika disembur gas pemedih mata pada demonstrasi Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) 7 Mac lalu, wajar dihayati.
Katanya, perjuangan dan rintangan yang dihadapi tidak ada apa-apa berbanding dakwah Nabi Nuh yang mengambil masa 1,000 tahun atau tribulasi dihadapi nabi-nabi lain. Seratus tahun akan dinanti apatah lagi tiga bulan! - diterbitkan di Suara Keadilan sebelum ini.
No comments:
Post a Comment