* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis akan menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.
BAB 2: Mengenali Dunia Kewartawanan
Kerjaya wartawan bukan macam kerja pejabat. Masuk jam 8.00 pagi, balik jam 4.30 petang. Ia memerlukan komitmen tinggi. Berhubung perkara ini, saya tertarik benar dengan cara bekerja beberapa Pengarang Berita, Berita Harian (sekitar tahun 1980-90-an) seperti Ahmat Wahab dan Haji Nashruddin Abdul Rahman.
Selalu saya lihat pada jam 10.00 pagi, mereka sudah ada di meja masing-masing. Jam 1.00 tengah hari, ketika orang lain 'seronok-seronok' makan tengah hari, mereka masih berada di meja. Jam 5.00 petang, ketika orang lain 'mencuri-curi' ke kantin untuk membasahkan tekak, saya lihat mereka tetap di meja masing-masing. Malah kadang-kadang, pada jam 9.00 malam pun mereka masih berada di meja.
Kadang-kadang mereka bekerja berpasangan tetapi selalunya bersendirian.
Sebagai wartawan yang bekerja di bawah mereka, hati saya berkata-kata: "Bila 'Mamat' ni nak berhenti? Asyik kerja aje. Tak makan, tak minum ke? Asyik 'edit story' aje. Selagi Mamat ni tak 'blah' dari meja dia, susahlah aku!"
Jam menunjukkan pukul 6.00 petang, Pengarang Berita ini masih sibuk. Jam 7.00 petang masih sibuk lagi. Kalau sibuk di mejanya saja tak apa. Ini asyik-asyik jeling ke arah meja wartawan. Sekejap melaungkan nama seorang pemberita, kemudian pemberita lain. Mahu 'check' berita wartawan berkenaanlah, apa lagi dia mahu.
Di bangunan Balai Berita yang lama (sebelum tahun 1990), pejabat Berita Harian terletak bersebelahan The Malay Mail. Pada waktu petang, ada wartawan kanan mengajar 'budak-budak baru' macam saya menyelinap di sebalik pemidang kayu, dan kemudian angkat kaki untuk pulang.
Bagaimanapun, tidaklah selalu saya buat perangai begitu. Biasanya selepas semua 'berita' saya disemak oleh ketua pemberita atau pengarang berita barulah saya pulang. Ketika itu matahari sudah hilang, sebaliknya kelihatan bintang-bintang bertaburan di langit.
Senario 'angkat kaki' ini adalah pada peringkat saya bertatih-tatih dalam dunia kewartawanan. Tahun demi tahun berlaku, tibalah masa saya pula diamanahkan untuk mengepali unit-unit di dalam syarikat akhbar itu.
Pada waktu itu barulah saya tahu mengapa orang seperti Nashruddin dan Ahmat Wahab bekerja bermati-matian - sebabnya mereka cintakan dunia kewartawanan dan mahu memberikan sumbangan yang terbaik untuk akhbar yang mereka wakili.
Tugas dan tanggungjawab seorang pengarang adalah lebih berat dan hebat daripada seorang pemberita. Seorang pemberita mungkin boleh berasa lega selepas semua beritanya pada satu-satu hari itu sudah disemak oleh ketua pemberita atau pengarang berita. Dia boleh 'angkat kaki' dan bersiap-siap untuk pulang, tetapi seorang pengarang berita terpaksa pula memastikan kesahihan dan kebenaran fakta dan kemudian 'menyembahkan' berita berkenaan kepada peringkat lebih tinggi pula.
Pada peringkat inilah kewibawaan dan kesabarannya teruji apabila berita yang 'dipersembahan' itu diterima atau 'diperlekehkan' oleh pihak atasan.
Seorang pemberita mungkin boleh tersenyum lebar pada keesokan hari apabila namanya (byline) terpampang di dada akhbar, tetapi tidak demikian halnya dengan seorang pengarang berita. Berita yang tidak tepat, tersalah fakta dan menyinggung perasaan pihak tertentu akan mengundang masalah yang tidak habis-habis. Telefon akan sentiasa berdering mempersoalkan berita tersebut. Ini termasuklah kata-kata yang menyakitkan hati dan sumpah-seranah yang meloyakan.
Pengarang berita juga menjadi tempat 'luahan kemarahan' peringkat lebih tinggi seperti penolong pengarang atau pun pengarang sendiri.
Kesilapan bukan saja dari segi implikasi berita, kesahihan dan fakta tetapi juga dari segi bahasa sama ada ejaan atau tatabahasa.
Seorang pengarang di Berita Harian misalnya, gemar membulatkan sesuatu kesalahan bahasa dengan dakwat tebal (marker) dan kemudian menampalkannya di papan kenyataan yang terletak di tempat laluan ramai.
Dengan cara begitu, pemberita, pengarang berita dan penyunting yang terbabit akan mendapat 'malu besar' dan mendapat pengajaran untuk tidak mengulangi kesilapan berkenaan manakala wartawan lain akan 'tersenyum-senyum kambing' malah ada yang ketawa besar.
Salah satu kesalahan bahasa yang tetap menjadi ingatan sepanjang saya bertugas di Berita Harian, malah mungkin sampai bila-bila ialah penggunaan perkataan PISANG GORENG. Sebahagian daripada wartawan gemar menggunakan perkataan GORENG PISANG bagi maksud bahan makanan popular itu.
Maka jadilah ayat seperti 'GORENG PISANG itu sangat laris. Sepatutnya 'PISANG GORENG itu sangat laris'. Selepas ditayangkan di papan kenyataan, siapa yang tergigit cili, terasalah pedasnya, manakala yang lain 'tersenyum kambing' tetapi siapa yang sudah terlihat keratan akhbar yang dibesarkan berganda-ganda saiznya di papan kenyataan tersebut, akan berusaha tidak mengulanginya.
No comments:
Post a Comment