Tambang bas ekspres dinaikan sebanyak 30 peratus dalam bentuk surcaj sempena musim perayaan (Aidilfitri). Tempohnya sebulan saja (15 September-15 Oktober), kata menteri.
"Selepas itu, kita akan kaji balik!" kata menteri berkenaan.
Kini 15 Oktober sudah berlalu tetapi tambang masih macam musim perayaan. Tidak turun-turun sekalipun harga minyak sudah dikurangkan. Apa macam menteri, cakap bohong, betul-betul macam sindiran orang lama - siakap senohong, bercakap bohong lama-lama jadi pencuri, oppps, menteri.
"Don't surrender the country to a bunch of thieves," kata seorang teman sebas saya dalam perjalanan Melaka-Kuala Lumpur baru-baru ini. Lelaki India yang bekerja di sebuah penerbitan berbahasa Inggeris itu, berkata demikian sambil menunjukkan muka-muka calon yang menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi Umno di halaman depan akhbar New Straits Times (NST).
Sekalipun kenal lelaki itu, saya jarang bercakap-cakap dengannya. Tetapi berdasarkan inisiatifnya yang beriya-iya bercakap dengan saya pagi itu, ia membayangkan betapa seriusnya kebimbangan rakyat terhadap mereka yang akan menerajui Umno dan sekali gus menjadi pemimpin negara (kononnya) melalui pemilihan parti itu Mac depan.
Di muka depan akhbar itu terpampang gambar Najib Razak (yang dengan 'rendah diri' (heh...heh...heh...) menawarkan diri sebagai calon Presiden), Muhyidin Yassin, Nur Jazlan Mohamed, Mohd Ali Rustam dan Muhammad Muhd Taib (Timbalan Presiden) serta Zahid Hamidi (calon Naib Presiden).
Saya tertanya-tanya kenapa rakan India saya itu mendakwa mereka 'a bunch of thieves'? Saya pun membuat pencarian dan mendapat maklumat begini.
Salah seorang daripadanya ditangkap membawa wang tunai RM3 juta ke Australia, seorang didakwa meraih komisyen RM200 juta berhubung pembelian kapal selam, ada mengumpul harta berjuta-juta ringgit ketika berkuasa, dan senarai itu berterusan. Saya begitu malu untuk menyatakan secara tepat nama-nama mereka, yang penting pembaca perlu diberitahu mereka tiada kredibiliti dan tidak layak memimpin negara.
Pencarian mengenai kegagalan pemimpin Umno-BN dalam perkara membabitkan rakyat begitu banyak, antara lain memaparkan; gagal mengawal peningkatan harga minyak walaupun Malaysia adalah pengeskport minyak. Dari tahun 2000-2006, harga minyak meningkat daripada RM1.10/liter (2000) hingga RM1.92/liter (2006), peningkatan 75 peratus dalam masa enam tahun. Kemudian selepas pilihan raya umum Mac 2008, kerajaan menghadiahkan kenaikan sebanyak 78 sen seliter (petrol) dan RM1 (diesel) pada awal Jun.
Pemimpin Umno-BN juga gagal menyekat kebaikan harga tol, harga barangan keperluan manakala duit rakyat banyak dihabiskan untuk melakukan 'bailout' kerugian yang dibuat kerajaan dan kroninya, misalnya, dalam kes Bank Bumiputera yang membabitkan kerugian RM10.4 bilion, Perwaja Steel (RM10 bilion), Konsortium Perkapalan (RM1.7 bilion) dan LRT Putra dan Star (RM6 bilion). Senarainya begitu panjang, menggambarkan begitu dahsyatnya pemimpin pecah amanah ini.
Sebagai rakyat biasa, saya tidak seronok melaporkan kejijikan pemimpin, sebaliknya memilih untuk mengutarakan permasalahan rakyat bagi membolehkan pembaca menilai sama ada pemimpin zalim atau tidak. Atau sama ada mereka mempunyai sifat-sifat munafik, cakap tidak serupa bikin.
Rakyat biasa macam saya kerap turun naik bas. Pada musim Adilfitri lalu, tambang bas ekspres naik 30 peratus dalam bentuk surcaj. Selain kenaikan tambang, pusat operasi bas (perhentian) dipecahkan mengikut destinasi sepanjang tempoh sebulan (15 September-15 Oktober). Bagi bas dari utara, terminalnya adalah di Jalan Duta dan Puduraya; dari selatan di pekarangan Stadium Bukit Jalil; dan dari timur di Jalan Tun Razak.
Pada pagi saya bercakap dengan penulis India itu (10 Oktober), bas itu tidak pergi ke pekarangan Stadium Bukit Jalil sebaliknya ke Hentian Puduraya. Saya diberitahu operasi bas sudah kembali ke Puduraya pada 9 Oktober sedangkan apa dijanjikan selama ini pada 15 Oktober.
Sekalipun perkara ini kecil bagi sesetengah orang, ia mencerminkan bahawa pihak berkenaan memiliki sifat-sifat munafik - apabila bercakap berbohong, apabila berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah, pecah amanah. Apabila ini berlaku, rakyat terutama orang biasa macam saya menjadi susah, terkejar ke sana dan sini.
Jika dalam perkara kecil tidak beres dan sudah ada ciri munafik, adalah susah mengelakkannya dalam perkara lebih besar. Bohong, dusta, pecah amanah seolah-olah sudah menjadi biasa, dan orang tidak lagi malu melakukannya. Apabila malu (sebahagian daripada iman) hilang, maka hilanglah segala-galanya. Akan jadilah manusia itu tidak bermaruah, menjalankan kerja berdasarkan nafsu syaitannya - ikut suka aku (ISA).
Apabila dalam 'isu bas' pun pihak berkuasa (kerajaan BN), bersifat munafik, apa hendak diharapkan dalam kepimpinan negara. Pemimpin memerintah 'ikut suka aku'. Kalau dulu cakap mahu serahkan jawatan pada pertengahan tahun 2010, sekarang mahu serah pada Mac 2009 pula. Rakyat sudah nampak mereka ini tidak boleh dipakai cakap-cakapnya. Mereka 'autakan' rakyat saja. Mereka kaki kelentong.
Pemimpin 'auta' dan kaki kelentong ini cakap berdegar-degar. Minta rakyat berjimat cermatlah selepas kenaikan harga minyak, tetapi diri sendiri dan anak bini kaki joli, boros - menghabiskan harta negara.
Minta rakyat beramanahlah, sedangkan mereka khianat, melarikan wang berkarung-karung ke luar negara. Minta rakyat cintakan bahasa kebangsaanlah, sedangkan mereka menghancurkannya, menjayakan sesuatu projek untuk mengisi kantung sendiri dan kroni-kroni.
Pemimpin jenis tak tahu malu ini meminta rakyat bersikap patriotik, tetapi apabila berlaku jerebu, mereka hantar anak bini ke 'oversea', bercuti di LA dan Australia. Anak-anak juga ke hantar belajar di luar negara, tidak payah mengikuti sukatan pelajaran di tanah air yang tiada standard ini.
Selepas rakyat nampak kemunafikan pemimpin-pemimpin ini, apakah mereka mahu terus dipilih memimpin kita? Tepuk dada, tanyalah selera.
PS/ Menteri berkaitan pengangukutan awam sudah mengumumkan tambang bas termasuk bas ekspres akan naik lagi Januari depan. Seorang kerani kaunter sempat berlawak kepada saya: "Selepas ini tak da lah orang naik bas!"
No comments:
Post a Comment