Sekarang ini heboh pasal yoga. Majlis fatwa telah membuat keputusan. Dalam hidup ini, seorang bapa atau ibu memerlukan ketaatan anaknya. Seorang guru pula mendambakan kepatuhan anak muridnya. Demikian juga seorang mufti (dalam kes yang akan dibincangkan ini Majlis Mufti) memerlukan kepatuhan ummah.
Malangnya di negara kita, ketika ini berlaku satu perkembangan yang sungguh luar biasa dan menakutkan. Pandangan mufti tidak dipedulikan lagi, malah dibantah pula.
Orang ramai dan NGO membantak keputusan Majlis Fatwa. Sekarang isu yoga, dulu konsert. Kebanjiran kira-kira 100,000 penonton 'Sure Heboh' pada malam Isnin, tidak lama dulu, (esoknya pekerja akan bertugas manakala anak-anak akan bersekolah), adalah manifestasi bantahan kepada keputusan Majlis Mufti yang menyatakan konsert itu adalah haram.
Malah sesetengah akhbar nasional pula pada keesokan harinya, dengan bangga sekali menyiarkan sambutan luar biasa konsert itu sebagai tajuk utama muka depan, termasuk menyiarkan gambarnya secara besar-besaran.
Pemimpin negara termasuk menteri pula meminta penjelasan 'apa yang haram' di samping memberi ingatan bahawa pandangan mufti berkenaan boleh memecah-belahkan masyarakat.
Bagi penganjur konsert pula, selepas dihebahkan pengharamannya, berdasarkan persembahan pada malam itu, seolah-olah tidak ada langkah langsung untuk 'menghormati apatah lagi memikirkan apa yang telah diutarakan oleh Majlis Mufti'.
Persembahan masih keterlaluan, terutama artis wanita yang mendedahkan 'aset' mereka untuk memenuhi tuntutan nafsu ratusan ribu penonton.
Penganjur, pemimpin, artis dan penonton seolah-olah 'mengejek-ejek' mufti: "Lihatlah kamu kata haram, bagi kami ia tidak mendatangkan apa-apa kesan pun."
Nampaknya, bagi kebanyakan ummah sekarang ini, halal dan haram bukan lagi ukuran. Mereka tidak peduli lagi akan hukum hakam agama.
Jika ulama yang menyatakan konsert itu haram, tidak dipedulikan malah dibantah, apalah sangat yang dapat diperkatakan oleh orang kurang ilmu seperti penulis sendiri.
Tetapi disebabkan perjuangan untuk menegakkan yang hak dan menjatuhkan yang batil itu menjadi tanggungjawab setiap Muslim, adalah menjadi kewajipan penulis meneruskan perjuangan.
Kali ini penulis tidak berhajat untuk memanjangkan perbincangan, takut-takut nanti jadi macam kes mufti - cakapnya tidak dipedulikan malah dibantah.
Jadi kali ini penulis menyalin semula maksud dan tafsiran ayat 19, 20 dan 21 Surah Fusilat yang dipelajari ketika Tingkatan Empat dulu untuk dijadikan pengajaran kepada diri sendiri dan juga kepada yang mahu mendengar dan membuka pintu hati masing-masing.
Firman Allah Taala yang bermaksud: "Dan pada hari Qiamat akan dikumpulkan semua musuh-musuh Allah untuk ke neraka dan mereka dipandu ke sana sehingga apabila sampai ke situ, bersaksilah ke atas mereka oleh pendengaran mereka juga penglihatan mereka dan kulit-kulit badan mereka dengan kesalahan yang mereka lakukan.
"Dan mereka bertanya kepada kulit-kulit badan mereka itu, kenapa kamu bersaksi di atas kesalahan kami? Lalu jawab kulit badan, kami diberi kuasa bertutur oleh Allah yang mana Ia berkuasa memberi tuturan kepada segala sesuatu dan Dialah yang menjadikan kamu pada permulaan dahulu dan kepada-Nya kamu akan dikembalikan."
Keterangan Ayat
Tiap-tiap yang hidup mesti akan mati, tetapi bagi manusia kematiannya itu bukanlah bererti habis dan tamat kisahnya, bahkan ia akan menghadapi kehidupan lain pula, iaitu kehidupan akhirat yang kekal abadi sama ada di dalam nikmat atau azab.
Dan oleh kerana di dunia ini manusia terbahagi dua iaitu ada yang baik dan ada yang jahat, ada yang kafir dan ada yang beriman, maka di akhirat pun terbahagi dua juga.
Melalui ayat di atas Allah menerangkan bahawa orang-orang yang tidak mengikuti perintah-perintah Allah dan ajaran-ajaran Rasul-Nya itu anggap sebagai musuh Allah dan pada hari akhirat kelak mereka akan dipandu ke neraka.
Di sana tidak ada kesalahan yang dapat dinafikan dalam mahkamah Allah kerana saksi-saksi yang memberikan keterangan pada hari itu ialah anggota badan mereka sendiri.
Ayat ini seterusnya mengingatkan orang-orang yang tidak mengikuti ajaran-ajaran Rasul bahawa balasan azab akan menimpa mereka kelak.
Logiknya adanya hari kiamat ini ialah untuk memberikan pembalasan yang sewajarnya kepada orang-orang yang hidup di atas muka bumi ini, kerana berapa banyak orang yang melakukan kejahatan yang tidak mendapat pembalasan atau mendapat pembalasan yang tidak setimpal, demikian juga kebaikan.
Maka hari pembalasan yang maha adil sekali ialah hari akhirat yang tidak ada berlaku kezaliman sedikit pun.
No comments:
Post a Comment