Friday, November 28, 2008

Pembohongan kuasa besar di Afghanistan, Iraq

Barack Hussein Obama Jr, 47, akan dimasyhurkan sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-44 pada 20 Januari ini. Dulu tokoh yang digantikannya, George W Bush bertindak ganas dengan menjarah negara Islam, kini apa agaknya dalam fikiran Obama dan pasukan pro-Yahudinya (sebagai contoh pelantikan Rahm Emanuel daripada kumpulan pendesak Yahudi, AIPAC sebagai 'Chief-of-Staff') mengenai negara Islam dan ummahnya.

Obama pun sepanjang kempennya cuba menjarakkan diri daripada Islam. Dia sedaya upaya melarikan diri daripada bercakap mengenai Islam, termasuk hal berkaitan keluarganya. Ayah kandungnya dikatakan seorang Muslim dari Kenya sedangkan dia berbapa-tirikan seorang lelaki Indonesia, negara umat Islam terbesar di dunia.

Mungkin sorotan mengenai kezaliman Bush ini dapat dijadikan panduan dalam apa yang dilakukan oleh Obama. Dua negara majoriti umat Islam - Afghanistan dan Iraq - teruk 'dikerjakan' kuasa besar dunia, Amerika Syarikat selepas Tragedi 11 September 2001.

Di Afghanistan kerajaan Taliban digulingkan dengan alasan bagi menangkap Osama bin Laden manakala di Iraq, Saddam Hussein ditumbangkan dengan alasan rejim itu menyimpan dan mengeluarkan senjata pemusnah secara besar-besaran.

Bagi memulihkan Iraq dan Afghanistan, Amerika menjanjikan bantuan berbilion-bilion dolar selain memaksa negara lain seperti Jepun, China dan Korea Selatan menunjukkan komitmen kewangan selain menghantar tentera dan pekerja.

Hakikatnya, janji bantuan berbilion-bilion dolar itu hanya manisan mulut bukan saja oleh Amerika tetapi juga oleh negara-negara bakal penyumbang seperti Jepun. Rakyat Afghanistan terus dibiarkan terkontang-kanting mengharungi hidup.

Selepas Amerika menjarah bumi Afghanistan dan meletakkan rejim Hamid Karzai sebagai bonekanya, keamanan tidak kembali di negara berkenaan sebaliknya kehidupan rakyat terus sengsara.

Ribuan rakyat dilaporkan terus melarikan diri ke khemah pelarian termasuk di negara jiran, Pakistan.

Di Iraq, penduduk awam terus sengsara. Mereka tersepit dalam pertempuran tidak kunjung akhir antara tentera penceroboh Amerika dan pejuang pembebasan.

Dalam suasana genting untuk meneruskan hidup, kumpulan pendakwah Kristian dikatakan mengambil kesempatan.

Mereka memikat penduduk terbiar tanpa pembelaan, termasuk anak-anak yatim yang bersepah di jalanan, rumah orang tua dan juga pusat rawatan. Dengan dana besar, menggununglah hasrat mereka memesongkan ummah yang lemah.

Malah menurut sebuah laporan berita, puluhan ribu rakyat Iraq berjaya di Kristiankan melalui penyiaran sebuah stesen televisyen satelit oleh sebuah kumpulan agama di Amerika Syarikat.

Suasana genting di Iraq dan Afghanistan yang membawa mesej bahawa umat Islam kedua-dua negara ini dalam keadaan amat kritikal ini bukan dibawa oleh agensi berita Barat tetapi oleh 'Global Peace Mission Malaysia' (Misi Keamanan Sejagat Malaysia), sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin akan nasib umat Islam di seluruh dunia.

Pengarah Projeknya, Azlan Muhammad Sharif yang pernah menjalankan khidmat di Afghanistan dan Iraq, dalam satu pertemuan tidak lama dulu, menceritakan keadaan yang amat memilukan berlaku di bumi umat Islam itu.

Global Peace Mission Malaysia adalah antara segelintir organisasi sukarela Islam yang masih bertahan di bumi Afghanistan dan Iraq.

"Banyak juga organisasi sukarelawa Islam sudah meninggalkan bumi Afghanistan malah negara Islam yang menjadi penyumbang juga tidak berbuat demikian lagi," katanya.

Azlan berkata penduduk Islam Iraq dan Afghanistan merayu mereka terus berada di sana sekalipun tanpa membawa bantuan selepas mendengar ura-ura Global Peace akan berundur kerana kekurangan dana.

"Nampaknya kehadiran kami sudah cukup untuk menyemarakkan semangat juang saudara seIslam di sana. Mereka perlukan sokongan bagi menghadapi kebanjiran kumpulan pendakwah Kristian yang menawarkan pelbagai bantuan," kata Azlan.

Sekalipun tanpa dana mencukupi dan sokongan bantuan daripada pihak yang sepatutnya berbuat demikian, Global Peace sudah melaksanakan pelbagai khidmat bakti di kedua-dua negara.

Antaranya ialah pembinaan empangan dan perigi pam kerana pojek bekalan air amat mustahak di negara yang teruk dengan kemusnahan perang itu, pembinaan sekolah, rumah anak-anak yatim dan orang tua.

Pendedahan Global Peace Mission Malaysia ini amat memeranjatkan ketika dunia Islam melalui Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) begitu beriya-iya mendakwa mahu membantu.

Bagi kita, perkembangan amat memedihkan berhubung nasib dan masa depan umat Islam di Iraq dan Afghanistan adalah cermin kegagalan ummah, negara dan organisasi yang memayunginya iaitu OIC.

OIC nampaknya terus lembap dalam menghadapi percaturan politik antarabangsa, mungkin sesuai dengan nama sebagai sebuah pertubuhan persidangan - pendeknya bersidang dan terus bersidang saja.

3 comments:

zupigo said...

salam..

dah ada blogspot "ghopenyer"..

Singgah abbebakar said...

saudara,
Assalamualaikum,
Apa yang dapat kita hulurkan kepada saudara kita yang tertindas? Apa yang dapat kita buat terhadap musuh kita yang mengganyang saudara kita? Apa yang patut kita lakukan terhadap pemimpin kita yang sentiasa tamak kuasa, tamak harta tapi kurang masa untuk menghayati sebuah penderitaan. Pendedahan saudara sekurangnya mengembalikan keinsafan di mana duduk kita sebagai Muslimin. Melihat penderitaan saudara kita dengan jiwa yang kosong tanpa untuk menghalang musuh yang menerjang.
Allah maha besar.

Kembara said...

terus kan menulis....saya insyaAllah akan membacanya....banyak yang terkena pada batang hidung sendiri