Orang tua-tua selalu berpesan, biar gaji (pendapatan) kecil tetapi hidup penuh keberkatan (barakah). Keluarga yang ketuanya bergaji kecil tetapi hidup barakah, hidupnya sentiasa mencukupi, tidak mengeluh-ngeluh malah dapat membantu orang lain pula.
Berlainan pula orang yang bergaji besar tetapi hidupnya tiada barakah. Hidupnya penuh keluh-kesah, baru setengah bulan gajinya sudah habis, untuk meneruskan penghidupan, dia berhutang di sana sini. Hidupnya tiada barakah, mungkin disebabkan pendapatannya daripada sumber haram atau syubahat.
Orang yang hidupnya mempunyai keberkatan akan membelanjakan pendapatannya di jalan yang diredai Allah. Setiap sen yang dititipkan akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.
Misalnya dia akan membelanjakan pendapatannya untuk menampung diri, keluarga, mengeluarkan zakat, kemudian membeli sedikit sebanyak harta seperti kenderaan, rumah atau tanah, seterusnya bersedekah atau untuk mengeratkan siraturahim sesama keluarga dan jiran tetangga, sesekali dia mengadakan kenduri.
Dia juga dapat menabung dan akhirnya berjaya menunaikan haji sekalipun kosnya amat besar.
Orang yang hidupnya tiada keberkatan pula akan menghamburkan duitnya untuk tujuan sia-sia, misalnya berparti ke sana sini dengan minuman keras di tangan atau berjudi, tidak mengeluarkan zakat apatah lagi untuk bersedekah dan gemar sekali melonggokkan harta dengan jalan salah seperti menipu, merasuah, membunuh, merompak dan sebagainya. Akhir hidupnya dia akan menjadi perogol, pembunuh, perasuah dan sebagainya.
Orang yang mempunyai keberkatan hidup akan sentiasa sayang menyayangi sesama insan. Jika dia orang kaya dia adalah orang kaya disayangi jiran tetangga sekalipun si jiran orang miskin kerana dia sering bersedekah dan membantu mereka, malah tidak sombong pula.
Jika dia orang miskin, dia reda dengan kemiskinannya dan mempunyai harga diri menyebabkan dia tidak suka meminta-minta. Dia pun tidak sombong malah sedia mengorbankan tenaganya sebab dia sedar dia kekurangan dari segi harta benda.
Selalunya apabila bercakap mengenai keberkatan, kita selalu memperkatakan tentang diri seseorang atau keluarganya. Jarang benar kita menyoroti erti barakah membabitkan kelompok lebih besar seperti masyarakat dan negara.
Jika negara kita mempunyai pendapatan berbilion-bilion dolar, ertinya negara kita adalah negara kaya sama seperti sebuah keluarga yang kaya (demikian kita dihebohkan melalui keuntungan Petronas dan sebagainya), pembaca boleh membuat penilaian sama ada negara kita ini penuh keberkatan atau tidak.
Sama seperti sebuah keluarga yang hidup penuh keberkatan jika ahlinya dapat hidup dalam keadaan mencukupi (tidak berhutang ke sana sini), adakah negara kita juga dapat hidup dalam keadaan yang serba mencukupi? Kenapa pula negara kita sibuk berhutang ke sana ke sini?
Jika sebuah keluarga dikatakan hidup penuh keberkatan jika ia dapat memuaskan hati semua anggotanya dari segi pemberian nafkah dan keperluan hidup, adakah negara dapat memuaskan majoriti rakyat dari segi nilai penghidupan mereka?
Mengapa akhir-akhir ini rakyat semakin keras keluhan mereka, barangan keperluan semakin meningkat, harga minyak naik mendadak, kadar tol turut meningkat (10 peratus) manakala akhir-akhir ini terdengar ura-ura untuk mengenakan bayaran ubat-ubatan di hospital kerajaan?
Sebuah keluarga yang barakah tidak akan sesekali menindas ahlinya malah ia sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada orang lain pula. Sesebuah keluarga yang hidup barakah juga tidak akan membazirkan wang dengan sia-sia sebaliknya tahu kewajipannya untuk membayar zakat, cukai, segala macam bil dan sebagainya.
Jika demikian ukurannya, mengapa pula negara membazirkan wang rakyat dengan pelbagai macam pesta, membakar bunga api bernilai jutaan ringgit, mengadakan jamuan di sana, jamuan di sini sedangkan orang yang hadir itu sebenarnya tidak lapar dan bukannya miskin pula!
Jamuan dan pesta hari ulang tahun kelahiran VIP adalah tidak perlu, orang yang diraikan sudah cukup makan, yang tidak cukup makan ialah rakyat-rakyat miskin, anak-anak petani, nelayan dan anak-anak mangsa tahanan ISA nun jauh di ceruk kampung di pedalaman.
Ada pula pesta peragaan pakaian dan tarian yang sudah tentu wang kosnya diambil daripada khazanah negara yang membabitkan wang si petani, nelayan, pekedai, penoreh getah, pekebun kelapa sawit dan sebagainya yang membayar cukai tanah dan pelbagai lesen.
Sebenarnya rakyat miskin bukan lapar untuk makan di Jamuan Hari Raya, Deepavali atau Krismas Kebangsaan tetapi mereka mengeluh dan terpaksa mengerah tenaga dan menyabung nyawa di laut untuk menyekolahkan anak, membesarkan mereka agar menjadi 'orang' pada masa akan datang.
Jika dalam sesebuah keluarga, pada zahirnya keluarga yang tiada keberkatan ialah yang porak-peranda, anak tidak mendengar cakap ibu bapa, isteri dan suami selalu bertekak, anak isteri terbabit dengan maksiat, pendeknya keluarga ini tidak mengendahkan perintah Allah SWT.
Berdasarkan gejala keruntuhan akhlak yang semakin teruk di kalangan masyarakat sekarang ini manakala jenayah seperti bunuh, rogol, ragut dan rasuah semakin berleluasa, di mana sebenar kedudukan negara kita, penuh keberkatan atau penuh...?
Ini belum diambil kira kedudukan negeri-negeri yang dilaporkan muflis sana, muflis sini. Oleh itu, marilah sama-sama kita jawab persoalan ini dengan jujur dan kemudian bertindak segera untuk membetulkan keadaan.
No comments:
Post a Comment